editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) tampil memberi penjelasan berhubung proses pembayaran hasil jualan saham kepada ahlinya dan menegaskan proses berkenaan sedang dilaksanakan secara berfasa mengikut keutamaan dan garis panduan yang telah ditetapkan.
Menurut wakil pengurusan KPF, pihak koperasi kini sedang melaksanakan proses penyusunan semula portfolio pelaburan dengan memberi penekanan kepada aset-aset yang mempunyai daya saing tinggi.
Langkah ini bertujuan memastikan kelestarian pulangan kepada ahli dalam jangka panjang.
Pada masa yang sama, aset yang dikenal pasti kurang menyumbang secara optimum akan dilupuskan secara strategik bagi menyeimbangkan keperluan semasa dengan kepentingan masa depan pemegang saham.
“Kami memiliki lebih RM4 bilion aset, dan kami sedang menilai secara profesional aset mana yang sesuai untuk dilupuskan bagi tujuan memenuhi tuntutan semasa ahli dan pada masa sama memperkukuh pelaburan jangka panjang,” katanya.
Dalam menjelaskan proses pembayaran saham, KPF turut memaklumkan keutamaan diberikan kepada ahli yang berada dalam keadaan mendesak.
Golongan seperti warga emas, mereka yang memerlukan rawatan perubatan atau yang berhasrat menunaikan ibadah haji akan diberikan laluan khas melalui sistem yang dinamakan “green lane”.
Sementara itu, ahli lain tetap akan menerima pembayaran mengikut giliran yang adil dan telus.
Pihak pengurusan turut mengingatkan orang ramai bahawa KPF adalah sebuah koperasi, bukan institusi kewangan konvensional.
Oleh itu, operasi dan pengurusan dana pelaburan tertakluk kepada peraturan serta undang-undang yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
“Koperasi bukan seperti bank. Setiap pelaburan ada tempoh matang dan pengurusan dana dilakukan secara berhemah dan mengikut peraturan,” katanya menjelaskan kekeliruan segelintir pihak mengenai mekanisme operasi koperasi.
Sebagai langkah strategik meningkatkan nilai kepada ahli, KPF turut diberi mandat khas sebagai ejen tunggal bagi urusan pembelian buah tandan segar (BTS) daripada peneroka Felda.
Inisiatif ini dijangka akan memberi pulangan lebih tinggi kepada ahli bermula tahun ini dan seterusnya, selaras dengan matlamat memperkukuh prestasi perniagaan koperasi secara keseluruhan.
“Kami optimis bahawa inisiatif baru ini akan memperkukuh prestasi perniagaan dan membolehkan kami memberikan pulangan yang lebih baik kepada pemegang saham,” kata wakil itu lagi.
Katanya, pihak koperasi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pemegang saham yang terus menunjukkan sokongan dan kepercayaan.
KPF turut menyeru semua pihak agar memahami kedudukan sebenar koperasi ini sebagai institusi yang telah berkhidmat selama lebih empat dekad tanpa merekodkan sebarang kerugian.