30.1 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 19, 2026

Malaysia ambil pendekatan berhemah hadapi dasar perlindungan perdagangan baharu Amerika Syarikat

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia memandang serius perkembangan terkini di peringkat global susulan pengumuman Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang melaksanakan dasar perlindungan perdagangan dengan mengenakan tarif baharu yang tinggi terhadap beberapa negara rakan dagang, termasuk Malaysia.

Dasar baharu ini menyaksikan produk Malaysia yang dieksport ke Amerika Syarikat dikenakan tarif sebanyak 24 peratus satu kadar yang besar dan berpotensi menjejaskan daya saing produk tempatan di pasaran Amerika.

Dengan pelaksanaan tarif berkenaan, harga produk eksport Malaysia dijangka meningkat sekurang-kurangnya 24 peratus berbanding sebelumnya, sekali gus memberi tekanan kepada prestasi eksport negara.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Amerika Syarikat adalah antara rakan dagang utama Malaysia, dan langkah unilateral oleh Washington itu bukan sahaja memberi kesan langsung kepada Malaysia, tetapi turut mencetuskan reaksi daripada kuasa ekonomi lain.

“Negara seperti Kesatuan Eropah, China, dan beberapa lagi telah mengambil tindakan balas dengan mengenakan tarif terhadap produk-produk Amerika Syarikat.

“Situasi ini menimbulkan persoalan mengenai kesan rantaian yang lebih meluas terhadap ekonomi global.

“Bagi Malaysia, kemungkinan besar impak turut akan dirasai dalam eksport ke negara-negara lain yang mungkin terkesan secara tidak langsung melalui gangguan rantaian bekalan dan harga pasaran global,” katanya ketika berucap pada majlis interaksi Menteri Kerja Raya bersama-sama warga KKR sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri Siri 2 tahun 2025.

Beliau berkata, kerajaan melihat keperluan mendesak untuk mengenal pasti peluang baharu yang boleh dimanfaatkan dalam usaha mengurangkan kesan daripada perubahan dasar perdagangan ini.

Sehubungan itu, Jemaah Menteri telah mengadakan mesyuarat khas pada Jumaat lalu bagi meneliti situasi semasa dan merangka strategi bersepadu serta inisiatif berimpak tinggi dalam menangani isu ini secara lebih tersusun.

“Dalam perkembangan berkaitan, beberapa pemimpin ASEAN turut menyatakan komitmen untuk bekerjasama.

“Presiden Indonesia telah mengadakan kunjungan hormat dan pertemuan bersama Perdana Menteri, manakala Presiden Vietnam pula telah menghubungi Perdana Menteri bagi membincangkan isu yang sama, mencerminkan kesepaduan dan semangat kerjasama serantau dalam menghadapi cabaran ekonomi global ini,” katanya.

Alexander berkata, walaupun cabaran ini besar, Malaysia tetap komited untuk menguruskan isu ini dengan penuh kebijaksanaan.

“Hubungan dagang antara Malaysia dan Amerika Syarikat masih berada dalam keadaan baik, dan kerajaan akan terus memantau perkembangan dari semasa ke semasa sambil memperkukuhkan daya tahan ekonomi negara melalui kerjasama strategik bersama negara ASEAN dan rakan dagang lain.

“Dalam masa yang sama, adalah terlalu awal untuk merumuskan kesan jangka panjang dasar ekonomi yang dibawa oleh pentadbiran Trump terhadap Malaysia dan rantau ASEAN secara keseluruhan.

“Menteri-menteri Kewangan dan Ekonomi ASEAN dijadualkan bersidang dalam masa terdekat bagi membincangkan pendekatan kolektif dan strategi pelaksanaan yang lebih holistik,” katanya.

Mengakhiri ucapan, beliau menyeru agar seluruh rakyat terus memberi sokongan padu dan solidariti kepada usaha kerajaan dalam memastikan negara kekal stabil dan berdaya saing, terutamanya dalam penerokaan sektor baharu strategik seperti teknologi mikrocip dan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence), yang menjadi pemacu utama ekonomi masa hadapan.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular