26.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 2, 2026

Warga KL sudah terbeban, jangan ditambah dengan caj kesesakan – Muqharabbin

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penduduk ibu kota semakin terhimpit dengan kos sara hidup yang tinggi, dan cadangan pelaksanaan ‘Caj Kesesakan’ hanya akan menambah lagi tekanan kepada mereka. 

Ketua Bersatu Bahagian Lembah Pantai, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, pihaknya menggesa kerajaan agar menangguhkan pelaksanaan caj ini sehingga pengangkutan awam mencapai tahap yang lebih baik.

Menurutnya, beban hidup di Kuala Lumpur sudah cukup berat dengan peningkatan kos barangan keperluan, kadar tol yang tinggi, serta gaji yang tidak seiring dengan kenaikan kos hidup. 

“Kos sara hidup di KL semakin meningkat, lebuhraya bertol ada di mana-mana, tetapi pendapatan rakyat tidak meningkat seiring. Mengapa perlu menambah beban dengan caj kesesakan seperti di Eropah?” katanya.

Sebaliknya, beliau mencadangkan agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaleha Mustafa, memberi keutamaan kepada kajian mengenai tekanan kos hidup rakyat Kuala Lumpur berbanding mekanisme caj kesesakan. 

“Lebih baik kajian dilakukan mengenai kesempitan hidup warga KL. Itu lebih relevan dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Muqharabbin berkata, pihaknya yakin majoriti penduduk Kuala Lumpur akan menolak pelaksanaan caj ini sekiranya ia dikuatkuasakan. 

“Saya percaya 100 peratus warga KL tidak bersetuju dengan cadangan ini,” katanya.

Beliau turut berkongsi pengalaman peribadi sebagai penduduk ibu kota yang terpaksa menanggung kos tol sehingga RM300 hingga RM400 sebulan. 

“Setiap hari saya menggunakan lebuhraya bertol, kadangkala terpaksa menggunakan motosikal untuk menjimatkan kos. 

“Namun, itu masih belum cukup kerana perbelanjaan lain seperti sewa rumah, harga makanan, dan cukai terus meningkat,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu mencari jalan lain untuk meningkatkan pendapatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan negara tanpa membebankan rakyat. 

“Kerajaan harus lebih kreatif dalam mencari sumber pendapatan lain. Jangan sesekali menggunakan poket rakyat yang sudah cukup terbeban,” katanya.

Katanya lagi, sebelum memperkenalkan caj kesesakan, kerajaan perlu memastikan sistem pengangkutan awam berada pada tahap yang lebih baik. 

“Selagi sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur belum memuaskan, cadangan ini tidak sepatutnya dibincangkan. Fokuslah kepada penambahbaikan pengangkutan awam terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berharap kerajaan mendengar keluhan rakyat dan tidak meneruskan cadangan yang hanya akan membebankan penduduk Kuala Lumpur. 

“Dengar suara rakyat, jangan buat keputusan yang membebankan mereka,” katanya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular