28.4 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 29, 2026

Pelajar UiTM cipta platform “Safe Space” bagi laporan gangguan seksual di tempat kerja

editormaxinfo@gmail.com

SHAH ALAM – Sebuah platform inovatif yang dikenali sebagai Safe Space kini menjadi tumpuan di Pameran Chroma, hasil ciptaan seorang pelajar tahun akhir jurusan Rekaan Grafik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Platform ini direka untuk memberi ruang selamat kepada pekerja di Malaysia untuk melaporkan sebarang gangguan seksual yang berlaku di tempat kerja.

Dicipta oleh Muhd Aizad Marzuki, 25, pelajar tahun akhir jurusan Seni Kreatif, inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang isu gangguan seksual di tempat kerja yang semakin meningkat.

Aizad memilih topik ini setelah melihat statistik kes gangguan seksual yang membimbangkan, di mana 95 kes telah dilaporkan pada tahun 2023 sahaja, dengan 88 peratus daripadanya membabitkan wanita.

“Kes gangguan seksual ini memberi impak besar kepada kesejahteraan pekerja dan produktiviti organisasi.

“Banyak kes berlaku kerana pelaku memanfaatkan kedudukan mereka, yang seterusnya mengancam maruah dan emosi mangsa.

“Dengan Safe Space, saya berharap dapat meningkatkan kesedaran dan menyokong usaha kerajaan dalam mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat,” kata Aizad.

Selain pameran yang diadakan di Grey Box GMBB, Kuala Lumpur, pelajar UiTM juga telah mengadakan program bual bicara yang memberikan penjelasan lanjut mengenai aktiviti dan pameran yang diadakan.

Inisiatif menarik lain turut dipamerkan, antaranya Husni Jasoffy Arman Jasoffy yang mencipta inovasi pembungkusan kuaci yang boleh diguna semula selepas dibuka, serta Nik Faiz Nik Kamaruzaman yang memperkenalkan kit untuk pesakit ekzema.

Sementara itu, Nuraqilah Ramlee memodenkan pembungkusan bahulu mesra alam tanpa penggunaan plastik.

Di samping itu, Noramira Zulaika Zaizulkamar memperkenalkan pembungkusan segera keropok lekor yang mudah digunakan untuk memanaskan makanan dalam ketuhar gelombang mikro.

Pelajar lain, Anis Nabila Azahari pula memperkenalkan inhaler aromaterapi untuk mengatasi masalah microsleep ketika memandu, sementara Nurina Fariha Kamaluddin membawa inisiatif bagi memudahkan penanaman pokok di rumah bertingkat.

Pameran ini bukan sahaja mengukuhkan kreativiti pelajar UiTM, tetapi juga menyumbang kepada penyelesaian masalah masyarakat melalui inovasi-inovasi praktikal yang berfokuskan kelestarian dan kesejahteraan bersama.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular