editormaxinfo@gmail.com
JOHOR – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) telah menyalurkan sumbangan berjumlah RM316,000 dalam Majlis Santuni Madani yang berlangsung di Johor pada Sabtu lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata bantuan ini disalurkan melalui Projek Pembangunan Komuniti YaPEIM (PPKY) dan Program Sinar Lestari YaPEIM, yang bertujuan meringankan beban golongan memerlukan di negeri Johor.
Menurutnya, YaPEIM mengagihkan RM150,000 di bawah PPKY, termasuk sumbangan YaPEIM Didik bernilai RM20,000 yang disalurkan dalam bentuk bantuan kewangan RM100 kepada 200 pelajar sekolah.
Selain itu, sumbangan YaPEIM Prihatin berjumlah RM20,000 juga diberikan dalam bentuk set makanan bernilai RM100 kepada 100 keluarga yang memerlukan.

“Sebanyak 10 keluarga yang terjejas akibat musibah dan bencana turut menerima wang tunai RM500 setiap satu, manakala Masjid Bandar Labis menerima sumbangan RM5,000,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Na’im berkata, YaPEIM memperuntukkan sumbangan sebanyak RM90,000 kepada Pejabat Pembangunan Negeri Johor (ICU JPM) Jabatan Perdana Menteri.
Bantuan ini bertujuan untuk mengenal pasti tiga calon penerima yang layak bagi bantuan baik pulih premis perniagaan dan sumbangan untuk majlis keraian serta kemasyarakatan bernilai RM20,000.
YaPEIM juga turut mengadakan taklimat keusahawanan kepada komuniti setempat dan berhasrat untuk mengenal pasti individu yang berpotensi untuk dibantu melalui program dan skim di bawah YaPEIM Niaga.
“PPKY, melalui program Usahawan Komuniti YaPEIM, telah membantu usahawan tempatan mengembangkan perniagaan mereka dengan bantuan pembiayaan serta pemantauan jangka panjang.
“Projek ini adalah pendekatan holistik dalam menyantuni masyarakat dan memastikan aktiviti serta pemantauan berterusan,” katanya.
Selain itu, YaPEIM turut menyerahkan dua buah rumah kepada penerima manfaat kategori keluarga miskin eKasih melalui Program Sinar Lestari YaPEIM.

Rumah yang bernilai RM166,000 itu diserahkan kepada Salasiah Paiman, 48, seorang tukang cuci dari Kampung Sungai Alai, Muar, dan Baharuddin Suandi, 55, seorang penjaja makan dari Kulai.
“Semoga bantuan ini dapat memberi manfaat yang besar kepada penerima serta meningkatkan kualiti hidup mereka.
“Kami juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penyumbang Tabung Amanah YaPEIM yang telah berinfak untuk menjayakan program-program seperti ini,” katanya.
Melalui usaha berterusan ini, YaPEIM berharap program-program yang dijalankan dapat memberi impak positif dan membantu memperbaiki kehidupan golongan yang memerlukan di seluruh negara.

