editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Kenyataan Menteri Pelajaran mengenai cadangan mengekalkan jadual sekolah seperti biasa sepanjang bulan Ramadan telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan umat Islam di Malaysia.
Ketua Penerangan Bersatu WP, Rosman Nordin berkata, jika benar cadangan itu, ia dilihat sebagai kurang sensitif terhadap keperluan dan amalan umat Islam, terutamanya dalam bulan yang penuh keberkatan ini.
“Sejak sekian lama, umat Islam telah menikmati kelonggaran waktu persekolahan pada bulan Ramadan, suatu tradisi yang bukan sahaja memudahkan pelajar dan guru yang berpuasa, tetapi juga mengambil kira keperluan rohani dan fizikal mereka.
“Langkah untuk mengubah jadual sekolah tanpa mengambil kira sensitiviti ini dilihat sebagai berisiko tinggi dan boleh mencetuskan ketidakpuasan hati dalam masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, bagi pelajar yang bersekolah sesi petang, terutama mereka yang bergantung pada pengangkutan awam seperti van atau bas sekolah, mereka sering pulang ke rumah sekitar jam 7.30 malam atau lebih lewat.
“Akibatnya, mereka mungkin terlepas waktu berbuka puasa di rumah bersama keluarga, suatu amalan yang sangat dihargai dalam agama Islam.
“Keadaan ini bukan sahaja menyusahkan pelajar tetapi juga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa yang ingin memastikan kesejahteraan anak-anak mereka,” katanya lagi.
Selain itu, waktu berbuka puasa dan solat terawih adalah amalan penting dalam bulan Ramadan.
“Sepuluh minit terakhir sebelum berbuka puasa adalah waktu mustajab untuk berdoa, dan ini telah menjadi sebahagian daripada amalan rohani umat Islam.
“Dengan jadual persekolahan yang ketat, pelajar mungkin tidak dapat menikmati waktu-waktu penting ini dengan sepenuhnya, yang boleh menjejaskan pengalaman rohani mereka pada bulan yang mulia ini.
“Bersandarkan kepada isu ini, kami menyeru Kementerian Pelajaran untuk mempertimbangkan semula keputusan terbabit dan mengekalkan jadual sekolah seperti tahun-tahun sebelumnya.
“Bulan Ramadan adalah bulan yang penuh dengan keberkatan dan kemaafan, dan sebarang keputusan yang diambil seharusnya mencerminkan semangat ini.
“Kami percaya masih ada ruang Menteri Pelajaran bertindak dengan bijak untuk mengelakkan keputusan yang berisiko menimbulkan kemarahan atau ketidakpuasan hati rakyat.
“Pada masa yang sama, kami ingin mengingatkan kementerian berkenaan tentang janji-janji reformasi yang pernah dilontarkan sebelum ini.
“Adakah janji-janji ini hanya sekadar retorik politik semata-mata, atau ianya telah dilupakan begitu sahaja,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya berharap agar kerajaan Madani akan terus peka dan prihatin terhadap keperluan rakyat, terutamanya dalam soal yang membabitkan agama dan kepercayaan.
“Mari kita bersama-sama menjadikan bulan Ramadan ini penuh dengan rahmat, keberkatan, dan keharmonian, serta mengelakkan sebarang ketidakpuasan hati yang boleh merosakkan suasana bulan yang penuh dengan keberkatan ini,” katanya.