editormaxinfo@gmail.com
JELUTONG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terus memantapkan kedudukannya sebagai agensi utama dalam menjaga keselamatan perairan negara.
Dengan pencapaian luar biasa dalam penguatkuasaan undang-undang di laut serta operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT), Maritim Malaysia terus memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan perairan negara.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli berkata, sejak 2006 hingga 2024, Maritim Malaysia telah berjaya merekodkan 16,259 kes tangkapan yang membabitkan pelbagai kesalahan, antaranya di bawah Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen 1959/1963, dan Ordinan Perkapalan Saudagar.

“Maritim Malaysia juga berjaya menggagalkan 1,789 kes pencerobohan Vesel Nelayan Asing (VNA) dengan menahan 15,162 kru dari negara-negara seperti Vietnam, Indonesia, dan Thailand,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Sambutan Dua Dekad Maritim Malaysia yang disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Persiaran Karpal Singh, Pulau Pinang, semalam.
Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Awang Alik Jeman.
Selain penguatkuasaan, Maritim Malaysia turut berperanan aktif dalam operasi CARILAMAT.
Dalam tempoh yang sama, 3,285 operasi CARILAMAT telah dijalankan, membabitkan 16,517 mangsa insiden laut, dengan 14,094 mangsa berjaya diselamatkan.
Mohd Rosli berkata, Maritim Malaysia akan memiliki Ibu Pejabat baharu yang bakal dibina di Bandar Baru Salak Tinggi.
Projek yang diluluskan dalam Rolling Plan Kelima Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) ini dijangka menelan belanja hampir RM176 juta.
Projek yang akan dilaksanakan melalui konsep Reka dan Bina (Design & Build) oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) ini dijangka siap pada tahun 2029 dan akan meningkatkan kecekapan operasi serta memenuhi keperluan strategik agensi ini dalam jangka panjang.
Bersempena dengan ulang tahun ke-20 Maritim Malaysia, agensi ini dengan kerjasama Koperasi Maritim Berhad telah menganjurkan Karnival Maritim Perkasa 2025 yang berlangsung dari 14 hingga 16 Februari 2025 di lokasi yang sama.
Pelbagai acara menarik telah diadakan, termasuk pameran kerjaya, persembahan kebudayaan, mini konsert, kaunter perkhidmatan kerajaan seperti pemeriksaan kesihatan, penukaran kad pengenalan, serta jualan produk IKS.

Karnival ini juga diwarnai dengan majlis penyampaian sijil penghargaan kepada rakan strategik industri seperti Galaxy Aerospace dan Amcorp Group Berhad yang turut menjayakan penganjuran Karnival Maritim Perkasa 2025.
Acara utama majlis sambutan ini dimeriahkan dengan Fleet Review, menampilkan 11 kapal Maritim Malaysia. Para tetamu kehormat dan orang ramai yang hadir turut disajikan dengan demonstrasi menyelamat di laut oleh Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Maritim Malaysia.
Dengan pencapaian yang mengagumkan ini, Maritim Malaysia terus komited dalam menjaga keselamatan perairan negara dan memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.