26.7 C
Kuala Lumpur
Friday, March 6, 2026

Bakal gegar Axiata Arena, Rossa hibur lebih 11,000 penonton menerusi konsert ‘Here I Am’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Ratu Pop Indonesia, Dato’ Sri Rossa Roslaina, bakal menggegarkan Axiata Arena Kuala Lumpur dengan konsert terbarunya, “Here I Am” yang dijadualkan pada 14 Jun 2025.

Konsert ini adalah kesinambungan daripada kejayaan jelajah konsertnya, “Rossa 25 Shining Years” (2022) dan “Another Journey: The Beginning” (2023) yang berjaya menarik lebih 80,000 penonton di tiga negara.

“Here I Am”, anjuran Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Inspire Production, dengan sokongan strategik daripada Maybank, menawarkan pengalaman konsert yang lebih segar, kreatif, dan penuh kejutan.

Rossa berkata, konsert ini bakal menampilkan pelbagai kolaborasi serta konsep unik yang pastinya akan membuatkan penonton teruja.

“Nama ‘Here I Am’ mencerminkan perjalanan kerjaya saya yang telah membawa saya sejauh ini,” kata Rossa mengenai tajuk konsertnya yang menggambarkan legasi dan pencapaiannya sepanjang bertahun-tahun dalam industri muzik.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN Dato’ Mohd Aizuddin Ghazali berkata, konsert ini adalah lanjutan kerjasama mereka dalam usaha kebajikan.

“Kami telah bekerjasama sejak 2012, dan kali ini kami akan terus menggunakan konsert sebagai platform untuk mengumpul dana demi tujuan kebajikan, khususnya dalam bidang pendidikan,” katanya.

Konsert ini tidak hanya akan menjadi hiburan, tetapi juga satu usaha amal melalui jualan tiket.

Sebahagian daripada hasil jualan tiket akan disalurkan ke Tabung Kasih Prihatin yang menyokong inisiatif pendidikan di Malaysia.

Pihak korporat dan individu juga dijemput untuk membeli tiket dalam kategori Royale, First Class, dan Executive, yang mana sebahagian hasilnya akan digunakan untuk tujuan amal.

Tiket untuk konsert “Here I Am” ini dijual pada harga bermula RM228 untuk kategori Festival dan sehingga RM788 bagi kategori Diamond Center (tidak termasuk cukai dan yuran pentadbiran).

Tiket boleh dibeli melalui platform www.ticket2u.com atau menghubungi Puan Cik Rohaiza di talian 019-288 9764 untuk tiket korporat.

Bagi pemegang kad kredit dan debit Mastercard serta Visa Maybank, terdapat diskaun istimewa yang ditawarkan semasa pra-jualan tiket pada 14 hingga 15 Februari 2025, serta diskaun 8 peratus dan 5 peratus selepas tempoh terbabit.

Konsert “Here I Am” akan turut diadakan di Indonesia dan Singapura dengan jadualnya di Malaysia pada 14 Jun 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Pertunjukan di Singapura pula akan berlangsung pada penghujung tahun ini.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan luar biasa Rossa yang penuh dengan kejutan, dan pada masa yang sama memberi sumbangan untuk tujuan amal.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular