29.6 C
Kuala Lumpur
Saturday, July 12, 2025

Selangor sasar 84 pusat NADI menjelang akhir Mac ini

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Selangor dijangka akan mempunyai 84 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) menjelang penghujung Mac ini, meningkat daripada 76 pusat yang beroperasi sebelum ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata NADI bukan sahaja berperanan dalam memperkasakan rakyat melalui digitalisasi dan komunikasi, tetapi juga menyediakan aplikasi dan laman sesawang yang memberi manfaat besar, khususnya kepada generasi muda.

“Alhamdulillah, pagi ini saya memulakan hari saya dengan merasmikan NADI Sungai Tua.

“NADI bertujuan untuk memperkasa rakyat, termasuk dalam aspek pendidikan, keusahawanan, dan pengembangan kemahiran insaniah,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau percaya pusat-pusat NADI ini akan memberi manfaat besar kepada masyarakat, dengan membantu mereka mendapatkan maklumat mengenai inisiatif dan program Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Negeri.

Ia juga akan menjadi pusat komunikasi penting bagi rakyat.

Terdahulu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebelum ini turut menyatakan pusat NADI, yang dilaksanakan melalui Komuniti Madani di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN), akan membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.

Menurut SKMM, inisiatif ini dijangka memberi impak positif kepada kesejahteraan rakyat dan telah disusun semula dengan berpandukan kepada lima teras utama iaitu keusahawanan, pembelajaran sepanjang hayat, kesejahteraan kendiri, kesedaran, dan inisiatif kerajaan.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular