editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Radio Televisyen Malaysia (RTM) terus berada di barisan hadapan dalam dunia penyiaran dengan pelancaran Majlis RTM… What’s New 2025.
Majlis ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan antara RTM, penaja, dan rakan korporat, malah memberi gambaran tentang rancangan dan kandungan unggul yang bakal disiarkan oleh RTM sepanjang tahun 2025.
Majlis yang diadakan dengan kerjasama pelbagai bahagian utama RTM bertujuan memperkenalkan barisan program terbaharu serta memperkukuhkan hubungan dengan sektor korporat, yang turut memainkan peranan penting dalam menyokong RTM.
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, program ini bertujuan untuk meningkatkan hubungan antara RTM dan agensi atau syarikat yang ingin bekerjasama dalam membawa jenama RTM lebih ke hadapan.
“Apabila kita menghasilkan program berkualiti, jenama-jenama lain akan tertarik untuk bekerjasama dan menyertai produksi berkualiti dari RTM,” katanya.

Sebagai “Teman Setia Anda”, RTM terus menyajikan program-program yang tidak hanya relevan, tetapi juga mengikuti perkembangan teknologi dan trend terkini untuk menarik minat audiens muda.
Tahun 2025 ini, RTM bakal menyajikan lebih banyak pilihan menarik melalui saluran TV, radio, dan penstriman RTMKlik.
RTM akan terus menjadi saluran utama untuk siaran langsung acara besar seperti Langkawi International Maritime and Aerospace 2025 (LIMA 2025) pada 20 hingga 24 Mei 2025, Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos 2025, dan program musim haji Salam Baitullah yang bermula pada 24 Mei depan.
Bagi menyambut Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, RTM juga akan memperkenalkan segmen Hello ASEAN dan Biz ASEAN bermula Februari 2025.

TV1 akan terus menghiburkan penonton dengan Panggung RTM yang menyajikan telemovie penuh makna seperti Sagon Tumbuk, Sireh Pinang Mudo, dan Bagaikan Aur. Program lain yang turut menjadi tumpuan adalah Selamat Pagi Malaysia dan Panorama.
TV2 menjanjikan hiburan seisi keluarga dengan program seperti Muzikal Big Band Project musim ke-2, Citra Reka Busana, dan Konsert Mega RTM. Slot Screen On 2 akan turut menayangkan filem-filem popular seperti Baahubali 2, Sonic the Hedgehog, dan Spider-Man Far From Home.
Okey menampilkan program santai dan ringan seperti Layar Okey dengan telemovie popular, dan Foodie Okey yang menampilkan selebriti memasak hidangan istimewa mereka.
Sukan membawa acara sukan yang dinanti-nantikan seperti Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor dan Temasya Sukan SEA Bangkok Thailand 2025.
TV6, dengan konsep retro, membawa kembali sitkom dan telemovie klasik yang pasti membangkitkan nostalgia di kalangan penonton. Program seperti Retromania dan Anta Permata akan menghidupkan kembali hiburan dari era 90-an.
Program radio RTM tidak ketinggalan dengan konsep segar dan santai. 34 Jer Kita Suka akan menghimpunkan 34 stesen radio serentak dalam satu siaran khas, dengan konsert Muzik Menyatukan Zon bermula pada 24 Mei 2025.
Selain itu, dua siri jelajah besar, Jelajah Ramadan 2025 dan Jelajah Aspirasi Malaysia 2025, akan diadakan sepanjang tahun ini untuk menyemarakkan lagi semangat perpaduan dan kebersamaan di seluruh negara.

Menjawab perkembangan pesat platform digital, RTM juga memperkenalkan RTMKlik sebagai saluran penstriman langsung yang lebih cepat diakses.
Tiga program digital utama yang bakal hadir di RTMKlik adalah Ivan Dan… (musim kedua, Februari 2025), Betul-Betul Asean (sebuah travelog, Mei 2025), dan Jawab Betul-Betul (podcast isu semasa).
MDI juga akan menganjurkan tiga karnival RTMKlik di Pahang, Sabah, dan Sarawak untuk mempromosikan platform ini.
Dengan semua rancangan hebat yang disusun, RTM terus komited untuk menawarkan program berkualiti dan menarik bagi semua lapisan masyarakat.
RTM tidak hanya menjadi saluran hiburan tetapi juga medium penyampaian maklumat yang berkesan, menghubungkan penonton dengan dunia luar dan memperkasa budaya serta jati diri Malaysia.

