32.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 22, 2026

Program Jejak Laksamana: Penghargaan terhadap Jasa dan pengorbanan mantan Ketua Pengarah Maritim Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) meneruskan legasi kecemerlangan dan penghargaan terhadap pemimpin-pemimpin terdahulu dengan melancarkan program bersejarah yang dinamakan Jejak Laksamana.

Program ini diadakan di bawah inisiatif Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah, dan bertujuan untuk memberi pengiktirafan tinggi terhadap sumbangan luar biasa serta pengorbanan mantan-mantan Ketua Pengarah yang telah memimpin agensi ini sejak penubuhannya.

Program Jejak Laksamana menyaksikan kunjungan khas ke kediaman tiga tokoh penting yang pernah menerajui Maritim Malaysia.

Mereka ialah Mantan Ketua Pengarah Pertama, Laksamana Maritim Dato’ Mohamad Nik (Bersara); Mantan Ketua Pengarah Kedua, Laksamana Maritim Datuk Amdan Kurish (Bersara); dan Mantan Ketua Pengarah Keempat, Laksamana Maritim Dato’ Sri Zulkifili Abu Bakar (Bersara).

Mohd Rosli berkata, program ini bukan sekadar kunjungan dan ziarah, tetapi lebih kepada pengiktirafan yang tulus kepada mereka yang menjadi tonggak kepada pembangunan Maritim Malaysia.

“Tanpa komitmen dan visi yang diterajui oleh mantan-mantan ini, Maritim Malaysia tidak akan berada pada tahap seperti sekarang,” katanya.

Sebagai simbol penghargaan, setiap mantan Ketua Pengarah telah dianugerahkan gelaran Nakhoda Kehormatan, yang mengabadikan jasa dan pengorbanan mereka.

Berikut adalah gelaran yang diterima oleh mantan-mantan Ketua Pengarah:

  • Nakhoda Haluan: Diberikan kepada Laksamana Maritim Dato’ Mohamad Nik (Bersara), sebagai pengiktirafan kepada peranan penting beliau sebagai perintis kepimpinan dalam penubuhan Maritim Malaysia.
  • Nakhoda Strategik: Diberikan kepada Laksamana Maritim Datuk Amdan Kurish (Bersara), atas kebijaksanaan dan kepakaran beliau dalam melakar hala tuju dan strategi organisasi.
  • Nakhoda Pembangunan: Diberikan kepada Laksamana Maritim Dato’ Sri Zulkifili Abu Bakar (Bersara), sebagai pengiktirafan terhadap peranan penting beliau dalam pembangunan dan kemajuan agensi ini.

Program Jejak Laksamana bukan hanya sekadar penghargaan, tetapi juga mencerminkan hubungan erat antara kepimpinan terdahulu dan generasi kepimpinan masa kini.

Ia bertujuan mengukuhkan perpaduan serta meneruskan legasi kecemerlangan yang telah dimulakan oleh pemimpin terdahulu.

Pengiktirafan ini juga menegaskan betapa pentingnya kesinambungan visi dan misi untuk menjadikan Maritim Malaysia sebuah badan Coast Guard yang disegani di peringkat global, selaras dengan Pelan Perancangan Strategik Maritim Malaysia 2040.

Seiring dengan ulang tahun Maritim Malaysia yang akan memasuki usia dua dekad pada 15 Februari ini, Mohd Rosli mengajak seluruh warga Maritim Malaysia untuk terus memperjuangkan visi dan misi agensi ini demi keselamatan dan kedaulatan perairan negara.

“Semangat kebersamaan yang dibina oleh para pemimpin terdahulu harus diteruskan oleh kita semua.

“Maritim Malaysia akan terus progresif, bersiap sedia menghadapi pelbagai cabaran dan ancaman maritim yang semakin kompleks,” katanya.

Dengan semangat kebersamaan yang dipupuk melalui program ini, Maritim Malaysia berkomitmen untuk meningkatkan moral warga serta memperbaiki prestasi dalam usaha menjaga dan mensejahterakan perairan negara.

Program ini juga bertujuan mengukuhkan keyakinan dalam kalangan pegawai dan anggota Maritim Malaysia agar terus berkhidmat dengan penuh dedikasi dalam memastikan kedaulatan negara terpelihara.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular