29.6 C
Kuala Lumpur
Saturday, March 7, 2026

Manfaatkan potensi 5G untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan – Fahmi

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Potensi rangkaian 5G akan dimanfaatkan untuk meningkatkan literasi kesihatan rakyat dan memperbaiki kualiti perkhidmatan kesihatan negara melalui Program Rintis Future Health for All (FH4A).

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, program yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ini akan mengintegrasikan teknologi 5G dan memastikan akses kesihatan yang lebih inklusif dan adil untuk semua rakyat Malaysia.

Sebagai langkah pertama, program rintis FH4A ini akan dijalankan di 20 lokasi terpilih di enam negeri, iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Johor.

Katanya, program ini berpotensi untuk diperluas ke lebih banyak tempat melalui kerjasama dengan penyedia perkhidmatan kesihatan lain, termasuk hospital pengajar dan hospital swasta.

“Kami bermula di Kuala Lumpur dan akan berkembang ke lima negeri lain, dan berakhir di Johor.

“Namun, saya yakin lebih banyak kerjasama dengan penyedia perkhidmatan kesihatan lain akan membuka peluang yang lebih luas kepada rakyat untuk mendapatkan manfaat,” katanya selepas melancarkan program itu.

Fahmi berkata, liputan rangkaian 5G di seluruh negara telah mencapai 82.4 peratus di kawasan berpenduduk pada Disember 2024, menjadikan Malaysia antara negara terpantas di dunia dalam memperluas akses komunikasi dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Lebih menarik, kadar penembusan akses 5G di kalangan rakyat Malaysia juga telah melonjak hampir lima kali ganda, iaitu 53.35 peratus berbanding hanya 10.8 peratus pada Oktober 2023.

“Dengan ketersambungan yang semakin meluas ini, akses kepada 5G akan memberikan keupayaan penjagaan kesihatan kendiri yang lebih baik, sekaligus memberi manfaat besar kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Program FH4A dilaksanakan melalui kerjasama strategik MCMC bersama beberapa pihak, termasuk Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Majlis Amanah Rakyat (MARA), ProtectHealth, Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) dan KPJ Healthcare Bhd.

Ia bertujuan untuk mempromosikan teknologi kesihatan masa hadapan dalam menghadapi cabaran penyakit tidak berjangkit (NCD) yang semakin meningkat, yang memberikan impak besar kepada ekonomi negara.

Katanya, Malaysia sedang berhadapan dengan kadar NCD yang tinggi, yang telah menyumbang RM9.65 bilion atau 16.8 peratus daripada perbelanjaan kesihatan negara.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) menunjukkan bahawa literasi kesihatan rakyat Malaysia belum menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan sejak 2019, dengan purata peningkatan hanya satu peratus hingga 2023.

“Saya berharap program ini dapat meningkatkan tahap literasi kesihatan rakyat Malaysia, sekaligus membentuk masyarakat yang lebih peka dan bersedia menghadapi pelbagai cabaran kesihatan,” katanya lagi.

Bagi memperluaskan manfaat kepada kawasan pedalaman, Fahmi berkata hampir 1,100 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara juga akan berperanan dalam meningkatkan literasi kesihatan melalui program e-Kesihatan.

Sebagai contoh, beberapa NADI di Sabah, seperti di Pulau Bum Bum di Semporna dan Ranau, akan menyediakan kemudahan Internet untuk rakyat di kawasan terpencil mendapatkan perkhidmatan kesihatan secara dalam talian, termasuk kaunseling atau berinteraksi dengan doktor, tanpa perlu pergi ke bandar besar seperti Kota Kinabalu.

Program ini dijangka akan memberi impak besar dalam memastikan setiap lapisan masyarakat, terutamanya di kawasan luar bandar, dapat mengakses perkhidmatan kesihatan dengan lebih mudah dan efisien.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular