editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) menggesa agar orang ramai lebih bijak dan berhati-hati ketika menghadiri acara hiburan, berikutan insiden tragis yang mengorbankan empat pengunjung dalam Konsert Ambang Tahun Baharu 2025, Pinkfish Countdown.
Presiden KARYAWAN, Datuk Freddie Fernandez berkata, hiburan seharusnya dinikmati melalui muzik tanpa sebarang unsur negatif seperti penyalahgunaan dadah.
Beliau turut mencadangkan agar garis panduan untuk penganjuran konsert atau acara hiburan perlu diperketatkan untuk mencegah tragedi serupa.
“Pada 2014, kita pernah menyaksikan kejadian yang sama di Festival Muzik EDM, Future Music Festival Asia, yang meragut enam nyawa, kebanyakannya remaja. Hasil siasatan menunjukkan ada unsur dadah sintetik terbabit,” katanya.
Katanya, selepas insiden itu, beberapa dasar baru telah digubal, termasuk menetapkan konsert EDM hanya dibenarkan diadakan di premis tertutup untuk memudahkan kawalan.
Namun, tragedi serupa terus berlaku dan kini, beliau meragui perubahan syarat yang membenarkan konsert di lokasi terbuka, yang lebih sukar untuk dikawal.
“Ini adalah satu perkara yang sangat menyedihkan. Kehilangan nyawa akibat penyalahgunaan dadah semasa menikmati muzik memberi kesan negatif kepada industri konsert, yang juga punca rezeki dan ekosistem penting bagi penggiat muzik,” katanya lagi.
Freddie berkata, pihaknya menasihati pengunjung untuk lebih berhati-hati jika ditawarkan bahan mencurigakan, kerana ia mungkin dadah sintetik atau ‘ramuan baharu’ yang diuji tanpa pengetahuan orang ramai.
“Pengunjung konsert ibarat tikus makmal bagi pihak yang tidak bertanggungjawab yang ingin menguji bahan-bahan ini,” katanya.
Meskipun terdapat ratusan anggota polis yang melaksanakan pemeriksaan ketat, kemunculan pelbagai jenis dadah sintetik dalam bentuk jus, pil, kepingan kertas atau ‘vape’ menyukarkan proses pengesanan.
Hal ini menjadi lebih mencabar di kawasan terbuka yang luas dengan pengunjung yang ramai, menjadikan kawalan lebih sukar.
Sehubungan itu, KARYAWAN menggesa agensi berkaitan seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk memainkan peranan lebih aktif.
Mereka mencadangkan agar AADK membuka ‘booth’ pameran atau mengadakan kempen kesedaran di lokasi konsert.
Selain itu, penggunaan slogan “Muzik Tanpa Dadah” pada bahan promosi konsert seperti poster dan papan iklan boleh mengingatkan golongan muda tentang bahaya dadah.
Katanya, genre muzik tidak seharusnya dipersalahkan dalam isu ini kerana apa yang menjadikannya “kotor” adalah penyalahgunaan dadah oleh segelintir individu.
“Mana mungkin karier profesional dalam muzik yang diajar di universiti seluruh dunia dianggap budaya ‘hedonistik’ hanya kerana perbuatan segelintir orang.
“Berhiburlah dengan sihat, seperti bersukan. Anda boleh menyanyi dan menari dengan gembira tanpa perlu berhubung dengan dadah atau suasana khayal,” katanya.
Untuk makluman, insiden tragis yang membabitkan empat kematian ini berlaku selepas pengunjung menghadiri Konsert Pinkfish di Bandar Sunway, Selangor.
Selain empat mangsa yang meninggal dunia, tiga mangsa lain dilaporkan sedang menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan bahawa siasatan mendapati semua mangsa membeli dan menggunakan pil ekstasi semasa konsert terbabit, dan pihak polis tidak menolak kemungkinan wujud aktiviti penjualan dadah semasa acara itu berlangsung.
KARYAWAN berharap dengan memperketatkan garis panduan dan kesedaran lebih tinggi, insiden seperti ini dapat dielakkan demi keselamatan dan kesejahteraan semua pengunjung konsert.