editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini melancarkan kempen LESTARIPendidikan sebagai inisiatif strategik untuk memastikan pendidikan tinggi di Malaysia kekal inklusif, mampan, dan relevan untuk generasi akan datang.
Kempen ini bertujuan untuk memperkukuh tanggungjawab sosial dan kewangan peminjam, sekaligus menjamin kelestarian dana pendidikan negara.
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, berkata kempen ini selaras dengan visi kerajaan dan konsep Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan, keadilan sosial, serta kemampanan.
PTPTN berkomitmen untuk memastikan setiap individu, tanpa mengira latar belakang, mendapat peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi tanpa dibebani masalah kewangan.
“Melalui LESTARIPendidikan, PTPTN tidak hanya memenuhi tanggungjawab sosialnya, tetapi juga memainkan peranan penting dalam membentuk modal insan negara.
“Pendidikan tinggi adalah pemangkin pembangunan masyarakat progresif, dan kelestarian dana pendidikan adalah kunci kejayaan ini,” katanya.
Setakat ini, PTPTN mencatatkan tunggakan pinjaman sebanyak RM11.32 bilion yang melibatkan lebih 1.25 juta peminjam culas hingga September lalu.
Kempen LESTARIPendidikan merangkumi beberapa inisiatif penting, antaranya #PTPTNBolehBincang, yang memberi peluang kepada peminjam untuk merundingkan pelan pembayaran yang lebih fleksibel mengikut kemampuan mereka.
Selain itu, PTPTN turut melaksanakan #PTPTNSediaBantu bagi memudahkan peminjam berurusan dan menyediakan pelbagai saluran pembayaran balik yang cepat, mudah, dan selamat.
Ini adalah usaha proaktif untuk membantu peminjam yang mempunyai sebarang pertanyaan atau masalah berkaitan bayaran balik pinjaman.
Datuk Seri Norliza turut menyeru masyarakat, termasuk pihak berkepentingan, untuk bersama-sama menyokong kempen ini dengan memainkan peranan penting dalam menyampaikan mesej positif mengenai tanggungjawab sosial pembayaran balik pinjaman PTPTN.
Beliau juga menekankan bahawa kegagalan membayar balik pinjaman bukan sahaja memberi kesan kepada dana pendidikan tetapi juga masa depan ribuan pelajar yang memerlukan bantuan.
“Bayaran balik pinjaman adalah tanggungjawab sosial yang memastikan peluang pendidikan terus tersedia untuk generasi akan datang.
“Melalui sokongan masyarakat dan tindakan kolektif, kita dapat memastikan sistem pendidikan tinggi terus kukuh dan inklusif,” katanya.
PTPTN turut mengambil langkah-langkah termasuk menghantar surat peringatan, notis tuntutan rasmi, serta memperkenalkan pelan pembayaran fleksibel untuk membantu peminjam menyelesaikan tunggakan mereka.
Menurutnya, setiap pembayaran balik, adalah pelaburan untuk masa depan pendidikan generasi akan datang.
Melalui bayaran balik ini, PTPTN dapat terus menyokong lebih 450,000 peminjam sedia ada dan 150,000 peminjam baharu setiap tahun, terutamanya daripada keluarga berpendapatan rendah, dengan anggaran lebih RM3 bilion setahun.
Dengan usaha bersama, PTPTN berharap agar LESTARIPendidikan akan menjadi simbol komitmen untuk memastikan pendidikan tinggi kekal sebagai platform pemerkasaan sosial yang berterusan.

