editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Biarpun diduga dengan pelbagai cabaran dalam kehidupan peribadi, bintang jelita, Bella Astillah masih teguh meneruskan kerjayanya sebagai seorang penyanyi dan juga pelakon.
Terus aktif melebarkan karier seni, Bella tampil dengan sebuah lagu karya baharu berjudul ‘Tapi Bukan Denganmu’ ciptaan dan terbitan komposer popular Sharon Paul.
“Lagu ini adalah sebuah karya yang dekat di hati Bella kerana liriknya Bella yang tulis sendiri. Ia begitu istimewa. Apatah lagi kali ini Bella dapat bekerjasama dengan kak Sharon Paul, seseorang yang sudah banyak pengalaman dalam bidang muzik,” kata Bella membuka bicara.
Bella yang sedang sibuk menjalani penggambaran sebuah siri drama TV, sempat memberitahu kesenangannya berkolaborasi bersama Sharon Paul.
“Bella sangat selesa bekerja dengan Kak Sharon. Orangnya tak pernah marah, dan apa sahaja permintaan Bella dia turuti.
“Dia terbuka menerima idea dan sentiasa membantu saat masuk studio rakaman. Kak Sharon menerima segala kekurangan Bella sebagai seorang penyanyi dan membenarkan Bella menjadi diri sendiri.

“Inilah sebabnya mengapa Bella suka bekerjasama dengan orang lama sebab mereka sangat berpengalaman dan tahu cara menjaga kita dan mengekalkan mood penyanyi semasa proses rakaman,” kata Bella lagi.
Saat ditanya tentang proses rakaman, Bella memeberitahu bahawa ada beberapa kali pertukaran pada lirik lagu.
“Dari segi gaya dan melodi, kak Sharon telah mengikuti permintaan Bella dan Bella memang sukakan irama lagu ini. Jadi lirik yang ditulis memang pilihan Bella sendiri.
“Cuma proses penulisan telah memakan masa yang agak lama kerana Bella asyik menukar lirik. Alhamdulillah, selesai juga akhirnya,” katanya lagi.

Lebih istimewa lagu ini juga menampilkan sebuah video muzik yang telah diarah oleh Bella sendiri.
“Saya nak lagu ni ‘sampai’ ke hati dan dapat diterima dengan baik oleh peminat dan pendengar lain. Semoga apa yang terbuku dalam lagu ini dapat menyentuh emosi yang mendengar, dan moga-moga mampu menjadi sebuah lagu galau,” kata Bella menutup bicara.
‘Tapi Bukan Denganmu’ kini boleh didengar di semua platform digital manakala video muziknya pula boleh disaksikan di laman YouTube.