28.2 C
Kuala Lumpur
Saturday, July 12, 2025

PRK DUN Mahkota : Pengusaha hotel dan rumah penginapan tak menang tangan

editormaxinfo@gmail.com

KLUANG – Menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota pada 28 September ini, pengusaha hotel dan rumah penginapan di sekitar daerah ini tidak menang tangan menerima tempahan orang ramai.

Ketua Jualan, Prime City Hotel, Ruhaiza Ruslan berkata, semua 105 bilik di hotel yang terletak di No. 20, Jalan Bakawali, Kampung Masjid Lama itu habis terjual bermula 13 hingga 28 September ini.

“Dari segi harga, masih sama sahaja, tiada perubahan dan dalam tempoh PRK Mahkota.

“Kami mempunyai tiga pakej harga iaitu untuk biasa, korporat dan kerajaan.

“Sebelum ini tempahan banyak berlaku ketika musim cuti persekolahan dan jika ada seminar dan acara.

“Namun, PRK Mahkota yang tiba tiba diadakan ini sebenarnya juga memberi limpahan rezeki kepada kami pengusaha hotel,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berjanji akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan di hotel berkenaan pada setiap masa.

Bagi seorang pengusaha rumah penginapan, Homestay Hajah Sal di Taman Desa, Zainudin Rentah, 56, berkata, dia menerima tempahan penuh bermula 18 hingga 28 September ini dari pelanggan di Putrajaya.

“Harga penginapan dicaj adalah RM200 satu malam dan pelanggan berkenaan sudah tempah selama 11 hari 10 malam.

“Harganya masih sama dan tak berubah dari sebelum ini kerana saya tak mahu menjadi apa-apa masalah dan sudah tentu PRK Mahkota ini juga memberi limpahan rezeki buat kami pengusaha rumah penginapan,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September ini.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September ini.

Ramlan berkata, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula dari tarikh pengisytiharan calon yang bertanding hingga jam 11.59 malam 27 September. -Berita Harian

ARTIKEL BERKAITAN

Popular