29.8 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 10, 2026

Dua Surga Dalam Cintaku angkat kisah poligami dan pengorbanan isteri pertama

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Bagi anda yang meminati filem cinta romantis dengan genre religi, filem dari Indonesia berjudul Dua Surga Dalam Cintaku adalah sebuah naskhah hebat adaptasi daripada novel yang wajib anda tonton.

Bakal menemui penonton di seluruh pawagam tanah air tidak lama lagi, filem ini diarahkan oleh sutradara Kiki Nuriswan dan adaptasi daripada novel terlaris di Indonesia dengan judul yang sama karya Allahyarham Atho Al Rahman.

Cerita filem ini disusun oleh penulis terkenal Boni Faisal dan diinterpretasikan dalam babak bertemakan kemelut dalam perkahwinan serta dikemaskan dalam sinematik berdurasi 111 minit.

Filem ini dibintangi oleh Yuki Kato, Aliff Alli, Keira Shabira, Early Ashyla, Iwan Burnani, Ivanka Suwandi, Azza Galedda, Nurul Anissa Hasanah, Cahya Arynahara, Irza Mahatir, Yugo Werner, dan Edy Tambudo.

Filem ini diedarkan oleh AD Interact International Sdn Bhd dan diterbitkan oleh rumah produksi dan penerbit yang cukup berpengalaman.

Filem ini telah pun disunting dan diedit mengikut kesesuaian penonton di Malaysia dan Brunei dan sudahpun menemui penonton di Indonesia pada 21 Mac lalu dengan terbitan dari rumah produksi Cakrawala Pictures.

Mewakili AD Interact International Sdn Bhd, Dato’ Rozzana berkata, filem ini memiliki tajuk yang sangat kuat dan bermakna.

“Dalam Islam, poligami dibenarkan dengan sebab-sebab tertentu. Filem ini mungkin akan memberikan perspektif yang berbeza mengenai isu poligami, dan membuka ruang untuk pemahaman yang lebih mendalam tentang amalan ini.

“Saya berharap filem ini ditonton oleh semua lapisan masyarakat terutamanya anak muda yang suka ke pawagam,” katanya.

Disulam dengan latar belakang cerita moden, filem ini telah menjalani penggambaran di Mekah, Madinah dan Taif, Arab Saudi serta Bogor dan kampus Universiti Islam Negeri (UIN) Jakarta.

Menampilkan perpaduan budaya Islam dari Arab dan Indonesia, mencipta sisi cerita yang menarik dan bermakna melalui setiap dialognya.

Rozzana berkata, mereka berharap peminat filem di Malaysia dapat menerima dan menghargai karya ini.

“Kami akan terus memberi komitmen untuk membawa variasi yang berbeza kepada penonton di Malaysia.

“Selain itu, kami juga bercita-cita untuk menerbitkan filem pada masa akan datang,” katanya.

Dibarisi oleh pelakon-pelakon berpengalaman yang sudah banyak menghiasi layar lebar, filem ini menjanjikan pengalaman menonton yang tidak akan dilupakan.

Lagu tema filem ini dinyanyikan oleh El Alice yang turut mencipta lagu ini istimewa buat filem Dua Surga Dalam Cintaku.

Berkongsi pengalaman menjayakan watak sebagai isteri yang berpoligami, Keira berkata, ini adalah kali pertama dia menjayakan watak seperti.

“Secara jujurnya saya sendiri tidak suka poligami dan untuk menghayati watak ini agak sukar namun saya bersyukur banyak dibantu oleh pengarah dan pelakon yang lain.

“Saya menerima watak ini kerana ingin mencabar diri dengan watak isteri poligami di samping teruja apabila penggambaran turut diadakan di Mekah dan Madinah.

“Secara tidak langsung ia memberi peluang untuk saya melakukan ibadah umrah,” katanya.

Sinopsis:

Dua Syurga dalam Cintaku berkisarkan tentang Arham, seorang pelajar tahun akhir di sebuah universiti di Jakarta, yang terperangkap dalam situasi cinta yang rumit dengan dua wanita.

Arham mempunyai seorang sahabat sejak kecil bernama Husna di kampung halamannya di Bogor. Mereka saling mencintai dalam diam dan akhirnya, setelah dewasa, mereka mengakui perasaan mereka dan membuat keputusan untuk berkahwin.

Namun, kehidupan mereka berubah apabila Husna disahkan menghidap kanser otak, dan doktor meramalkan bahawa dia tidak mempunyai banyak masa yang tinggal.

Arham, dengan penuh kasih sayang, berjanji untuk menemani Husna sehingga ke akhir hayatnya. Tetapi, Husna mempunyai pandangan yang berbeza.

Dia meminta Arham untuk menamatkan pelajarannya terlebih dahulu, walaupun Arham berat hati untuk meninggalkannya.

Dengan sokongan daripada keluarga Husna, Arham akhirnya bersetuju untuk kembali ke Jakarta dan menyelesaikan pengajiannya.

Di tengah-tengah kesibukan menamatkan pelajaran, Arham secara tidak sengaja bertemu dengan seorang wanita muda bernama Zilka, yang sedang melarikan diri daripada beberapa orang yang mengejarnya.

Zilka adalah seorang wanita yang terperangkap dalam dunia gelap, dan dia sedang cuba melarikan diri daripada bekas teman lelakinya, Erwin, yang sentiasa menghantuinya.

Pertemuan dengan Arham memberikan Zilka harapan baru, dan dia berusaha mendekati Arham kerana dia percaya Arham boleh membantunya keluar dari kehidupan lamanya yang kelam.

Arham kini berada dalam dilema besar. Jika dia menerima Zilka dalam hidupnya, rumah tangganya dengan Husna mungkin akan hancur.

Tetapi jika dia tetap setia kepada Husna, dia mungkin akan terus dibayangi oleh Zilka yang tidak mahu melepaskannya.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular