30.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, July 9, 2025

Misi buru emas LA 2028, KBS mula bantu empat atlet skuasy

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ‘bergerak pantas’ dengan mengeluarkan satu inisiatif baharu buat empat pemain skuasy negara memburu kilauan pingat di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA 2028).

Empat atlet berkenaan adalah S Sivasangari, Ng Eain Yow, Aifa Azman dan Aira Azman dengan kesemuanya berada di bawah program Fast Track Road To Gold (RTG) LA 2028.

Atlet di bawah inisiatif ini bakal menerima geran latihan individu berbentuk bantuan kejurulatihan khusus, peralatan latihan dan pemulihan, perkhidmatan sokongan perubatan dan sains sukan, pendedahan latihan luar negara serta khidmat kepakaran teknikal dalam sukan masing-masing.

Perkara itu diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam satu sidang media di Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini.

Hannah berkata, segala permintaan pemain akan cuba dipenuhi dan ia akan bermula pada musim baharu Ogos ini hingga Mac depan.

“Kita sudah perincikan program latihan peribadi mereka. Jika sebelum ini mereka hanya mendapat kurang dari 10 pertandingan tapi di bawah program baharu ini mereka akan mendapat sekurang-kurang 12 hingga 16 pertandingan dalam kalendar Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA).

“Pertandingan ini adalah penting untuk mereka meningkatkan prestasi dan ranking kerana mereka perlu memenuhi sasaran ditetapkan antaranya meningkatkan ranking dunia serta memenangi pingat di temasya Sukan Asia dan Komanwel 2026,” katanya.

Di bawah program itu, Sivasangari yang bakal berpangkalan di Ithaca, New York, akan menjalani latihan di bawah David Palmer sebagai jurulatih peribadi serta mendapat perkhidmatan jurulatih fizikal Mark Burn.

Pemenang pingat emas Sukan Asia Hangzhou itu juga akan menerima perkhidmatan sokongan sains sukan dan perubatan sukan di pusat latihannya serta di Institut Sukan Negara (ISN).

Manakala Eain Yow memilih untuk berlatih di Msquash Norwalk, Connecticut Amerika Syarikat (AS) di bawah jurulatih Shaun Moxham dan akan turut menjalani kem latihan pusat di Kaherah, Mesir.

Bagi dua adik beradik iaitu Aifa dan Aira Azman persiapan awal mereka akan lebih tertumpu kepada menjalani kem latihan pusat di ibu negara bersama jurulatih, Andrew Sam Cross dan akan menjalani latihan secara berkala di Pontefract, United Kingdom.

Kedua- dua atlet ini juga akan dibantu jurulatih fizikal yang dikenal pasti dan prestasi fizikal mereka dipantau oleh ISN.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular