27.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, July 10, 2025

Hargai penggiat industri muzik, RIM teruskan program Sumbangan Rahmah Industri Muzik 2024

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Meraikan penggiat industri muzik tempatan, Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) bersama-sama Public Performance Malaysia (PPM) memberikan ‘Sumbangan Rahmah Industri Muzik 2024’ (SRIM) sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Majlis bermakna ini bertujuan untuk memberikan sokongan kepada mereka yang menghadapi cabaran kewangan dan kesihatan dalam perjalanan profesional mereka dalam industri muzik tempatan.

Pengerusi RIM dan PPM Rosmin Hashim berkata, pihaknya melahirkan rasa terima kasih di atas sokongan yang diterima terhadap program amal ‘Sumbangan Rahmah Industri Muzik’ yang dilancarkan pada 31 Mei 2023.

Program amal ini, pengembangan daripada inisiatif bantuan Dana Kecemasan RIM dan disokong oleh Public Performance Malaysia (PPM), Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) tertua di Malaysia menyediakan peruntukkan tahunan sebanyak RM100,000 untuk membantu penggiat industri muzik yang menghadapi masalah kewangan dan kesihatan.

“Program amal ‘Sumbangan Rahmah Industri Muzik’ ini bertujuan untuk menyokong Kerajaan Perpaduan dengan inisiatif Negara Madani bagi mengurangkan beban kos sara hidup yang dihadapi oleh rakyat termasuk penggiat industri muzik.

“Setakat ini, seramai 48 penggiat industri muzik tempatan telah mendapat manfaat daripada program amal SRIM dan Dana Kecemasan RIM”, katanya.

Rosmin berkata, program amal SRIM boleh memanfaatkan semua penggiat industri muzik daripada penyanyi, pemuzik, pencipta lagu, pegawai perhubungan awam syarikat rakaman sehinggalah wartawan hiburan yang kesemuanya memainkan peranan penting dalam pembangunan industri muzik tempatan.

“Dengan penganjuran SRIM 2024, kami meneruskan usaha kami untuk menyediakan bantuan yang amat diperlukan oleh penggiat industri muzik tempatan yang layak bagi meringankan beban mereka.

“Kami juga amat berbesar hati kerana Menteri KPDN Datuk Armizan Mohd Ali dapat merasmikan majlis, menunjukkan komitmen kerajaan menyokong inisiatif yang bertujuan meringankan kesusahan yang dihadapi rakyat termasuk penggiat industri muzik tempatan,” katanya.

Antara acara kemuncak majlis adalah pengiktirafan 21 penerima yang layak terdiri daripada pencipta lagu, penghibur, kakitangan syarikat rakaman dan wartawan hiburan yang mengalami kesusahan.

Penggiat industri muzik tempatan yang layak telah diiktiraf atas perkhidmatan mereka yang lama dan sumbangan besar mereka kepada industri muzik tempatan.

Pengiktirafan istimewa turut diberikan kepada dua artis tempatan yang cemerlang, Ernie Zakri dan Dolla yang telah mencapai kemajuan besar di pasaran antarabangsa.

Baru-baru ini, Ernie Zakri mengungguli carta radio Gen 98.7 FM di Indonesia dengan lagu duetnya “Masing Masing” bersama penyanyi Indonesia, Govinda manakala Dolla baru-baru ini mewakili Malaysia dalam program realiti popular, ‘Show It All’ di China.

Pencapaian terbaharu mereka menjadi bukti lanjut keupayaan bakat-bakat Malaysia untuk menembusi pasaran serantau dan global.

Dalam ucapannya, Rosmin turut menekankan kepentingan memanjangkan tempoh perlindungan hak cipta kepada 70 tahun atau lebih bagi membolehkan pemegang hak memperoleh royalti untuk tempoh yang lebih lama dan selaras dengan piawaian antarabangsa baharu.

Rosmin turut memuji tindakan penguatkuasaan anti cetak rompak kementerian KPDN yang telah membantu industri muzik tempatan mencapai hasil pendapatan tertinggi dalam sejarah pada 2023.

Susulan perasmian majlis oleh Menteri KPDN, tetamu dihiburkan dengan persembahan istimewa oleh artis-artis semasa dan malar segar seperti Amir Masdi, Ernie Zakri, Dolla, Syamel, Dina dan Xpose, Datuk Aishah dan Jay Jay.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular