31.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 12, 2026

‘Cinta Tak Mungkin’ taruhan terbaharu Siti Nurhaliza

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Baru sahaja berpanggung di konsert solo Sebuah Epitome, Saya Siti Nurhaliza pada 9 Mac lalu, penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza kembali dengan single terbaharu berjudul Cinta Tak Mungkin.

Lagu ciptaan Farouk Roman dan lirik oleh Adrianna Cinta ini telah terpilih menjadi lagu runut bunyi bagi drama bersiri siaran Astro Ria yang berjudul Malang Si Puteri.

Lagu Cinta Tak Mungkin susunan Reza Ramsey terhasil menerusi perbincangan di antara komposer Farouk Roman dan pihak penerbit, Radius One Sdn Bhd, Farouk menghasilkan lagu

dan lirik sesuai dengan kehendak penerbit dan jalan cerita drama bersiri berkenaan.

Siti berkata, Cinta Tak Mungkin adalah kerjasama kali kedua beliau dengan Farouk Roman yang pernah menghasilkan lagu berjudul Senyawa menerusi album Sitism.

Melodi dan lirik lagu yang sinonim dengan kehendak sesebuah jalan cerita menjadikan lagu ini istimewa di hatinya.

“Farouk memang terkenal dengan penghasilan lagu runut bunyi dan saya percaya dengan sentuhannya. Selain itu Farouk juga memberikan kebebasan kepada saya untuk menyanyikan

lagu berkenaan dengan emosi saya sendiri setelah diperjelaskan mengenai jalan ceritanya.

“Pertama kali diperdengarkan demo, lagu ini terus memikat hati saya,’’ kata Siti.

Sewaktu merakamkan single terbaharu ini, Siti mengakui beliau masih lagi dalam fasa pemulihan suaranya namun tidak menjadi masalah untuk melunaskan tanggungjawab yang diberikan.

Menyanyikan lagu runut bunyi dianggap sebagai satu peluang terbaik kepada seseorang penyanyi kerana lagu itu akan selalu diperdengarkan dan mudah mendapat perhatian penonton serta pendengar.

Lagu ini turut diterima baik oleh penonton drama Malang Si Puteri yang sedang ditayangkan ini.

Siti berkata, meskipun lagu berkenaan bukan tentang kisah hidupnya, namun beliau cuba membawa watak yang digarap dalam drama siaran itu dengan baik.

Luahan perasaan lelah, terpenjara serta keperihan hidup diungkap menerusi emosi dalam nyanyian beliau.

Cinta Tak Mungkin adalah pertaruhan terbaharu Siti dan beliau berharap agar lagu ini akan diterima baik oleh seluruh peminat dan pencinta muzik tanah air.

Lagu ini kini boleh distrim di seluruh pelantar digital.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular