editormaxinfo@gmail.com
ROM – Satu-satunya putera raja Itali, Vittorio Emanuele of Savoy mangkat pada usia 86 tahun di rumahnya di Geneva, menurut kenyataan Royal House of Savoy.
Emanuele yang hidup dalam buangan di negara jiran Switzerland sepanjang hayatnya, dilahirkan di bandar Naples di selatan Itali.
Beliau meninggalkan tanah airnya ketika berusia sembilan tahun apabila bapanya, Umberto II terpaksa berundur, berikutan referendum kebangsaan 1946 yang memansuhkan monarki dan menyaksikan penubuhan negara republik.
Emanuele mengisytiharkan dirinya sebagai Raja Itali dan sudah lama menentang peraturan dalam Perlembagaan Itali yang melarang semua ahli keluarganya daripada pulang ke tanah air.
Emanuele kembali ke Itali pada November 2022, selepas Parlimen menarik balik larangan itu, singgah di Rom untuk lawatan singkat sebelum Krismas dan bertemu dengan Paus John Paul.
Bagaimanapun, kepulangannya mendapat sambutan dingin, imej keluarga diraja, House of Savoy, sudah dicemari oleh sejarah hubungan dengan diktator fasis, Benito Mussolini ketika era Perang Dunia Kedua.
Reputasinya sendiri rosak apabila didakwa pada 1978 secara tidak sengaja menembak dan membunuh warga Jerman, Dirk Hamer, 19, di pelabuhan Corsica.
Hamer tidur di bawah dek di bot apabila Emanuele melepaskan tembakan ketika pertengkaran dengan pelancong.
Hamer meninggal dunia beberapa bulan kemudian, akibat kecederaannya.
Emanuele akhirnya dibebaskan daripada pertuduhan itu di sebuah mahkamah Perancis pada 1991, dan dijatuhkan hukuman penjara yang ditangguhkan kerana memiliki senapang secara haram.
Keluarga Hamer sudah lama membantah keputusan itu dan kes berkenaan mendapat perhatian baharu apabila ia menjadi tumpuan dalam dokumentari Netflix, baru-baru ini, The King Who Never Was.
Putera itu berdepan masalah undang-undang apabila ditangkap pada 2006 atas arahan majistret di bandar Potenza di selatan Itali, atas tuduhan racketeering (kegiatan haram untuk kaut keuntungan) dan terbabit dalam pelacuran, namun dibebaskan selepas perbicaraan.
Emanuele berkahwin dengan juara ski air Switzerland dan pewaris, Marina Doria, pada 1971, dalam satu majlis di Tehran, dan mereka tinggal selama bertahun-tahun di sebuah vila mewah di tepi Tasik Geneva. -Agensi

