25.3 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 16, 2026

Kenangan

Ada kenangan-kenangan yang layak untuk kita simpan dan kenang, terutama bersama keluarga. Ada pula kenangan yang membuatkan kita mengenang tentang masa lalu. Terselit jenaka seraya membuatkan kita tersenyum. Ada yang hadir dan pergi. Dan ada kenangan yang layaknya kita lupakan kerana ianya bukan sesuatu yang manis untuk disemat. Hanya pedoman.

Salah satu subjek dalam ‘kenangan’ adalah ego, permasalahan diri. Ego adalah suatu sifat yang selalu menang didalam pertelingkahan khususnya perhubungan. Dan segalanya lebih jelas apabila hati mulai menjauh. Dimana kerana keegoan, banyak masa dibiarkan terbuang begitu saja. Dan acapkali kesedaran yang datang terlalu lewat. Pernah terjadi, dua nisan menjadi saksi.

Seperti jauhari juga yang mengenal manikam, begitulah perumpamaannya. Kita sedar maklum akan kesan dan akibat, tetapi tetap jua kalah dengan nafsu dan perasaan. Kita selalu meletak kedua-duanya dihadapan. Kewarasan akal ditolak tepi. Rela membakar diri.

Tidak mengapa sesekali terkenang, kerana kita dianugerahkan kekuatan memori. Salah satu nikmat yang ALLAH beri. Tetaplah terus berjalan dalam menempuhi hidup. Kita bukan siapa-siapa untuk mempersoal dugaan yang mendatang.

Demi hati yang selalu berbolak balik, kita akui bahawa kebenaran itu jalan yang lurus, hanya menunggu masa mengambil tempat dan haknya. Walau kadang kala penuh berliku, penuh benci. Kenangan itu mengikut acuan manusia. Kita yang mencipta. Sang PENCIPTA yang merealisasi.

Coretan ini hanya mengingatkan diri. Yang jauh semakin dekat, yang dekat menuju sesat. Kita punya pilihan. Bila ada ilmu, kita akan faham. Yang sudah, sudah lah. Kita hadam dan teruskan belajar. Mungkin tidak susah, mungkin juga tidak mudah. Selalu bangkit, walau kita biasa rebah.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular