22.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, November 19, 2025

Pertaruh pelakon berkualiti, Cerana Biduk Bu Merah temui penonton hari ini

KUALA LUMPUR – Mengetengahkan filem bergenre seram, Cerana Biduk Bu Merah menampilkan pelakon-pelakon hebat dan berbakat besar sebagai kekuatan utama dalam filem terbitan Goldhill Pictures Sdn Bhd itu.

Menemui penonton di seluruh pawagam tanah air bermula hari ini, filem terbitan dan arahan Haizul Anafer Ali itu dilakonkan oleh Fasha Sandha, Pekin Ibrahim, Wan Hanafi Su, Sara Daewoo, Badrul Muhayat dan Pyan Kepoh.

Haizul berkata, dia memilih genre seram kerana yakin ia mudah diterima penonton apatah lagi melihat sambutan penonton terhadap genre seperti itu.

“Saya yakin genre ini senang diterima penonton apatah lagi di minggu hallowen diharap dapat memberi ‘mood’ penonton untuk ke pawagam menyaksikan filem ini.

“Dengan pelakon hebat dan berkualiti yang saya ketengahkan ia sudah cukup untuk membuat filem ini lebih menarik ditonton.

“Seperti mana saya menjadikan rujukan filem dari Indonesia, Asih yang menggunakan pelakon berkualiti sehingga berjaya begitu juga harapan saya untuk filem ini,” katanya ketika ditemui selepas tayangan filem berkenaan, baru-baru ini.

Selain menampilkan pelakon hebat, kesan khas yang digunakan untuk watak hantu juga menjadi tonggak utama filem ini yang boleh menarik penonton ke pawagam.

“Saya mengeluarkan kos yang tinggi bagi mendapatkan kesan khas untuk watak hantu kerana itulah tidak banyak babak yang dipaparkan.

“Banyak rujukan saya buat sebelum menampilkan watak hantu ini. saya berharap watak berkenaan memberi sedikit kelainan daripada filem seram yang sedia ada,” katanya.

Memperuntukkan bajet sebanyak RM1.5 juta, Haizul tidak meletakkan sebarang sasaran kutipan namun berharap biarlah pulang modal.

“Saya hanya berserah pada Allah, kerana tidak mahu berharap sehingga menghampakan orang lain tetapi kutipan yang diterima biarlah lepas segala kos pembikinan filem ini,” katanya.

Beliau juga bersyukur apabila keseluruhan filem ini bebas potongan daripada Lembaga Penapis Filem (LPF).

Selain di Malaysia, Cerana Biduk Bu Merah turut menemui penonton di pawagam Brunei dan Singapura.

Dalam pada itu, Haizul berkata, filem ini wajib menjadi tontonan umum kerana banyak mesej dan pengajaran yang ingin disampaikan.

Segelintir masyarakat mulai alpa dengan duniawi, rakus ingin mencapai kejayaan, ghairah dengan keseronokan dan keindahan dunia yang sementara sehingga terlupa beban syurga dan neraka yang menanti.

Selain hiburan ia menyelitkan natijah perbuatan syirik, saka, semangat dan spiritual yang masih berleluasa dalam masyarakat kita.

Diharap filem ini dapat memberikan impak kesedaran rohani dan spiritual yang besar.

Menjalani penggambaran di beberapa lokasi menarik di negeri Perak, filem ini mengisahkan tentang seorang wanita tua iaitu Bu Merah yang dipinggirkan oleh orang kampung tinggal sendirian di sebuah rumah pusaka telah menyelamatkan seorang gadis yang cuba dirogol bernama Sofia.

Bu Merah biar pun tua, tapi kulitnya tidak berkedut malah dia sentiasa kelihatan cantik. Penjaga Cerana Biduk yang berpuaka menjadikan Bu Merah sentiasa cantik dan muda.

Takdir menentukan, Sofia adalah warisnya yang dilarikan oleh anak dan menantunya. Menantu dan anaknya telah melarikan diri kerana bimbang dibunuh oleh penunggu Cerana Biduk.

Saka Cerana Biduk tinggalan suami menyebabkan Bu Merah hidup terseksa. Kehadiran Sofia menyedarkan Bu Merah. Cerana Biduk perlu dibunuh demi menyelamatkan warisnya Sofia dari mewarisi Cerana Biduk yang mencari penyambungnya. 

ARTIKEL BERKAITAN

Popular