27.3 C
Kuala Lumpur
Friday, October 10, 2025
Home Blog Page 222

Gendang Pati M Nasir, kali ini di Kuala Lumpur

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Ini bukan sembarangan ‘gendang’. ‘Gendang’ yang satu ini auranya sejak dahulu dan sampai bila pun tetap sakti yang tidak akan tergoyah.

Lewat persembahan yang digelar Gendang Pati, figura penuh sakti ini mahu menjadikan ia sebuah pesta rakyat yang mengisi bukan sahaja kegembiraan luaran tapi diikuti jiwa sekali.

Malam itu nanti ‘roh’ dan jiwa jiwa segenap pelusuk dewan plenary bertebaran kegembiraan, berbahagia menyambut lalu meraikan pesta muzik yang bakal dipersembahkan oleh sang legenda, sang meastro dan sang sifu nan tiada gantinya, Datuk M Nasir.

Keraian muzik yang mengisi seluruh kecanduan pesta Gendang Pati yang telah memberi kesan saat dipersembahkan tempoh hari di Singapura kini mahu dikongsi dan diserapkan ke dalam jiwa sekalian penggemarnya di Kuala Lumpur.

Gendang Pati Datuk M Nasir Live in Kuala Lumpur begitu nama persembahan yang bakal menyapa penggemar di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre pada 18 November depan, bermula jam 8 malam.

Percayalah tidak pernah ada yang sederhana dalam pesta dari sang M Nasir yang selalu berjaya mengajak jiwa menyanyi dan menari di sepanjang pesta.

Di pesta Gendang Pati Datuk M Nasir Live in Kuala Lumpur yang dibawakan oleh MND Sport & Event Sdn Bhd, M Nasir tidak perlu menjanjikan persembahan yang spektakular atau luar biasa.

Bagi M Nasir, Gendang Pati diadakan versi Kuala Lumpur kerana sedar kecintaan dan kecanduan penggemar yang sentiasa mahu melihat dia beraksi di atas pentas sebagai sebuah lambang kelangsungan kariernya yang sentiasa ‘hidup’ tak lapuk dek zaman.

“Saya perlu bersyukur kerana meskipun sudah melakukan banyak persembahan pentas, masih seorang M Nasir sentiasa ingin disapa, ditonton dan diminta mendendangkan karya yang ada secara langsung.

“Ini bukan tentang saya seorang tapi indikasi sihat industri muzik dan perkembangannya yang sentiasa positif.

“Pastinya, malam itu nanti akan dipenuhi dengan bunyi-bunyian gendang yang akan membuatkan semua berdendang bergoyang.

“Saya harap Gendang Pati Datuk M Nasir Live in Kuala Lumpur akan menjadi sebuah lagi persembahan saya di tahun ini yang mampu membantu mengisi kecanduan semua terhadap karya saya,” katanya.

Sementara itu, wakil MND Sport & Event Sdn Bhd, Daniel berkata, nama M Nasir sendiri sudah merangkumi seluruh perkara seni yang luar biasa dan hebat.

“Kami di MND Sport & Event Sdn Bhd percaya dengan kemampuan penghibur yang satu ini. Beliau telah membawa roh yang kuat terhadap karya yang dilahirkan sejak berzaman dan mendendangkan ia dalam Gendang Pati Datuk M Nasir Live in Kuala Lumpur ibarat kerja seni yang akan mengalir dengan lancar dan semula jadi,” katanya.

Konsert kali ini akan dibarisi pemuzik-pemuzik hebat yang menjadi tulang belakang M Nasir iaitu pengarah muzik dan pemain gitar- Nan Alias, gitar rhythm- Rafi Mohd, bass- Norman, keyboard-Firdaus Mahmud dan Eddie Slam, dram- Ujang Exists serta penyanyi latar vokal- Eja, Widy, Yuaz & Awe.

Ia turut dikuatkan lagi dengan kehadiran pemain perkusi utama- Paang, perkusi tradisional- Mat Din, pemain perkusi – Che Long dan Anas.

Juga ditambah dengan kemunculan Awe selaku pemain perkusi, rebab, serunai dan penyanyi jemputan.

Selain mempersembahkan M Nasir, pesta muzik ini akan diterbitkan oleh Roman Abadi Sdn Bhd yang pastinya memperkuatkan Gendang Pati Datuk M Nasir Live in Kuala Lumpur bakal mempersembahkan sebuah konsert yang menusuk jiwa dan meninggalkan momen istimewa pada malam itu nanti.

Untuk menyaksikan Gendang Pati Datuk M Nasir Live in Kuala Lumpur, tiket dengan beberapa kategori harga boleh didapati di laman web MyTicket.Asia.

Tiket-tiket berharga RM228 (Bronze), RM258 (Silver), RM388 (Gold), RM428 (Platinum), RM488 (Diamond) dan RM888 (Meet & Greet).

Selain di MyTicket.Asia, tiket boleh dibeli di support@myticket.asia atau hubungi talian hotline 03 8605 0195. 

TAPAUfest kembali ke Lenggong, indie bertemu keindahan alam

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Selepas kejayaan menarik kira-kira 3000 pengunjung pada tahun lalu, TAPAUfest kembali lagi dan akan berlangsung pada 7 dan 8 Oktober ini di Resort Tasik Raban, Lenggong, Perak.

Berlatarbelakangkan tasik yang indah dan gunung-ganang, TAPAUfest menjemput komuniti indie Asia Tenggara untuk #LepakLenggong bersama artis indie ternama dan berpotensi dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand dengan tema #SerumpunBerpesta.

Pengarah Kreatif TAPAUasia Sdn Bhd, Ahmad Faris berkata, bermula dengan taksub mahu menjadikan festival ini lebih besar setiap tahun, mereka mengambil keputusan untuk memberi lebih perhatian kepada butiran-butiran kecil terutamanya dalam kurasi bagi membawakan komuniti indie dan rakyat Lenggong terbabit sama.

“Tahun ini TAPAUfest memberi penghormatan kepada wanita yang membentuk ‘scene’ ini.

“Ini dapat dilihat melalui kerjasama mereka dengan Newruul, seniman muda di sebalik rekaan poster dan ‘merchandise’ rasmi, sementara barisan di PENTAS (pentas muzik) pula menampilkan ramai bakat wanita yang sedang menempa nama,” katanya.

Persembahan hari pertama akan dimulakan dengan kugiran ‘Midwest Emo’, Mascot yang menawarkan aksi bertenaga serta agresif dengan lirik terapeutik sebelum diteruskan oleh kumpulan reggae dub eksperimental asal Indonesia, Rub Of Rub, sekaligus melengkapkan nuansa mempesonakan kala matahari terbenam.

Membuka persembahan malam adalah duo elektronik Wobbebong. Bersenjatakan tenaga dan semangat ingin mencuba, gadis-gadis ini pasti akan membawa keseronokan dengan sentuhan eksentrik dalam set mereka.

Persembahan diteruskan dengan kugiran legenda dari Singapura, Force Vomit yang baru menyambut ulang tahun ke-20 album kedua mereka, ‘Give It Up For The Trustfund Rockers’ dalam bentuk vinil.

Berbekalkan bunyian ‘Garage Surf’, mereka pastinya tidak sabar untuk menghidupkan kembali kisah cinta dengan komuniti peminat indie Malaysia.

Kumpulan Rock n’ Roll Jemson kemudian akan mengambil alih pentas dengan memberi penghormatan kepada era keemasan ‘rock kapak’ Malaysia sambil menyuntikkan bunyi moden dan elemen humor mereka yang tersendiri.

Menutup tirai hari pertama adalah penyanyi muda Indonesia, Nadin Amizah yang kian memenangi hati jutaan peminat terutamanya dari Indonesia dan Malaysia.

Dengan karya terbaharunya “Rayuan Perempuan Gila” dan “Semuanya Dirayakan” mendapat sambutan hangat, persembahan Nadin berlatarkan tasik nanti pastinya menjanjikan pengalaman yang cukup istimewa.

Persembahan hari kedua dimulakan antara kugiran Indonesia yang menarik perhatian pada masa kini, The Jansen.

Dikenali sebagai kugiran punk mid-tempo era 70-an dari Bogor, kumpulan ini meledak selepas keluaran album mereka, ‘Banal Semakin Binal’ tahun lalu.

Seterusnya, ‘Local Thrash Heroes’ dari Ipoh, Muck akan naik ke pentas sebagai penghormatan kepada wira tempatan.

Ditubuhkan pada tahun 1994, band ini dianggap sebagai salah satu perintis ranah indie Malaysia.

Door Plant bakal melakar sejarah sebagai kugiran pertama dari Thailand yang menghiasi pentas TAPAUfest dengan membawa irama lepak dan santai ke Malaysia yang menjadi salah satu destinasi kembara ‘Tournament’ mereka.

Dengan membawakan genre neo-folk, Bayangan yang biasanya bergerak secara solo, kini ditemani kugiran lengkap yang pasti membawa persembahan yang memukau.

PENTAS diteruskan dengan penanda generasi masa kini dari Indonesia iaitu Lomba Sihir.

Pengunjung sudah tentu tidak mahu melepaskan peluang merayakan karya mereka dengan menari, tersenyum sambil hanyut bersama dalam karya cinta-benci di kota ia membesar serta tumbuh.

Artis yang akan mengakhiri persembahan TAPAUfest tahun ini adalah anak kelahiran Borneo yang menjadi perintis awal dalam pergerakan muzik indie.

Pada tahun 2009, single hitsnya “Kantoi” dan “Bitter Heart” membawanya jauh sehingga ke peringkat antarabangsa.

Pernah tampil di NPR Music Tiny Desk Concerts pada 2020, kemunculan Zee Avi dengan lagu-lagu melankolik adalah cara paling indah untuk melabuhkan tirai TAPAUfest 2023.

Persembahan muzik di PENTAS hanya akan bermula pada jam 5 petang bagi memberikan masa kepada pengunjung festival untuk meneroka keajaiban Lenggong yang penuh dengan keindahan alam serta destinasi makan dan minum.

Pengunjung juga boleh berteduh dari matahari sambil belajar dan berkongsi pengetahuan di BENGKEL atau terokai karya pembikin filem indie di LAYAR yang dikurasi dengan kerjasama Kaki Seni.

Pengunjung boleh menghilangkan dahaga dan mengisi perut dengan sajian Malaysia terbaik dihidangkan oleh peniaga dari Lenggong dan ‘foodtruck’ dari seluruh Malaysia di WARUNG.

Bagi mereka yang suka membeli-belah atau mengumpul rekod, ‘merchandise’ atau karya seni, PASAR menghimpunkan karya artis dan jenama indie sambil dihiburkan oleh DJ di pentas mini.

Satu perkara yang membezakan TAPAUfest daripada festival seni lain adalah peluang untuk berkhemah selama dua malam di Resort Tasik Raban dan merasai sepenuhnya pengalaman di Lenggong.

Pengunjung boleh menempah tapak khemah di Santuy Campsite dan sertai sesi unggun api dan persembahan akustik atau buat mereka yang inginkan pengalaman lebih minimal boleh mengikat ‘hammock’ di antara dahan pokok menerusi Outsiders Campout.

TAPAUfest 2023 adalah pengalaman festival oleh TAPAUasia dengan kerjasama Majlis Daerah Lenggong, Ipoh Social Club, Verssusika serta rakan rasmi Vans, Yoodo, Batik Air, Era, Gempak dan Syok.

Sebarang pertanyaan untuk tiket dan maklumat lanjut layari www.TAPAUfest.asia atau ikuti @TAPAUfest.