KOTA KINABALU – Shell membatalkan rancangannya untuk menutup 34 stesen minyak di Sabah menjelang Januari tahun depan. Ia susulan siri perbincangan dengan kerajaan negeri itu.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan berita baik itu.
“Kami telah bawa isu ini ke perhatian kerajaan Persekutuan, kami hargai cakna dan keprihatinan kerajaan Persekutuan terhadap situasi di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan daripada pengumuman Shell mengenai rancangan penutupan stesen itu pada Jun lalu.
Berikutan itu, Hajiji telah bertemu dengan Pengerusi Shell Malaysia, Siti Hurrairah Sulaiman untuk membincangkan perkara berkenaan.
Sebelum ini, dilaporkan 35 stesen minyak di Sabah dan Labuan di bawah Shell Timur Sdn Bhd akan ditutup menjelang Januari tahun depan.
CHICAGO – Seorang pelajar di United Kingdom (UK) mendakwa menjadi individu pertama membuat aiskrim perisa vanila daripada plastik kitar semula.
Oddity Central melaporkan, rasa aiskrim itu dikatakan seperti aiskrim berperisa vanila biasa.
Pembuatan aiskrim itu sebahagian daripada projek tahun akhir seorang pelajar Central Saint Martins Design School, sekolah seni dan rekaan, di London.
Pelajar itu, Eleonora Ortolani mahu melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh individu lain sebelum ini.
Projek bertajuk Guilty Flavours itu diilhamkan oleh kekecewaan pereka muda itu mengenai plastik kitar semula.
Lazimnya, ia dijadikan produk yang tidak boleh dikitar semula lagi, kerana dicampur dengan resin atau bahan lain, yang hanya memburukkan lagi masalah sampah plastik.
Selepas mengetahui spesies cacing yang boleh mencerna beg plastik, Ortolani mula tertanya-tanya sama ada ada cara manusia boleh makan plastik dan mengurai serta menghapuskannya untuk selamanya.
“Saya tidak pernah membayangkan saya sebenarnya boleh membuat makanan daripada plastik.
“Sukar bagi saya untuk mencari seorang saintis yang benar-benar berminat untuk bekerja dengan saya mengenai idea ini,” kata Ortolani kepada Majalah Dezeen.
Akhirnya, Ortolani menemui saintis makanan dan penyelidik dari Universiti Metropolitan London, Joanna Sadler yang membantunya mensintesis vanillin sintetik daripada plastik.
Vanillin adalah perasa makanan biasa dijual di pasar raya dan digunakan sebagai alternatif yang lebih murah kepada vanila.
Ia dihasilkan daripada bahan mentah yang sama seperti plastik minyak mentah.
Apa yang mereka perlukan hanyalah enzim untuk memecahkan ikatan kuat antara molekul dalam struktur plastik, dan satu lagi untuk mensintesis molekul ini menjadi vanillin.
Ketika enzim pertama memecahkan rantaian molekul itu, ia bukan lagi plastik atau polimer. -Agensi
PUTRAJAYA – Sedar akan ramainya pendidik di Malaysia yang kadang kala dipandang sepi, Anugerah Pendidik Paling Berpengaruh Malaysia 2023 (MIE) mengambil inisiatif memberi pengiktirafan kepada mereka.
Anugerah yang dianjurkan oleh Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) itu telahpun mengiktiraf sebanyak 585 pendidik daripada pelbagai kategori sejak tahun 2022.
Pengerusi MIE, Tiffany Tan Tian Yee berkata, MIE ditubuhkan dengan tujuan memberi penghargaan terhadap individu yang cemerlang dalam bidang pendidikan malah ada yang telah mencapai kejayaan luar biasa.
Katanya, setiap penerima anugerah dinilai berdasarkan kepada kecekapan, kebijaksanaan, bakat serta memperlihatkan pengetahuan dan kemahiran yang tinggi dalam bidang pendidikan masing-masing.
“Ini adalah MIE yang kali kelima diadakan dan untuk penerima anugerah 2022/2023, sebuah buku biografi bakal diterbitkan untuk semua pendidik yang dinominasi berjudul ‘Biografi Pendidik Berpengaruh Malaysia 2022/2023.
“Biografi ini akan dikeluarkan selewatnya akhir tahun ini. Menerusi biografi ini kita akan memperkenalkan kepada masyarakat barisan pendidik yang cemerlang dalam kategori masing-masing,” katanya pada majlis penyampaian MIE yang diadakan di sebuah hotel di Putrajaya, baru-baru ini.
Hadir sama Ketua Penolong Setiausaha Kanan, Bahagian Perancangan Strategik dan Hubungan Antarabangsa, Kementerian Pendidikan Malaysia, Heizrul Ali dan Presiden Majlis Tindakan Pengguna Negara, Datuk Paduka Dr Kevy KY Yeo.
Dalam pada itu, Tan berkata, dengan adanya MIE diharap dapat melahirkan lebih ramai lagi pendidik profesional yang mampu memberi sumbagan kepada masyarakat.
“Tidak sekadar memberi ilmu kami yakin tugas mereka sebagai pendidik yang kaya dengan pengalaman mampu mendorong dan memberi inspirasi kepada pelajar untuk merancang haluan kerjaya serta berkongsi cabaran sebenar dunia pekerjaan.
“Kami juga yakin pendidik atau mentor ini turut memainkan peranan yang penting sebagai panduan dalam membentuk laluan kerjaya pelajar,” katanya.
Tan berkata, diharapkan keprihatian guru tidak hanya terhenti pada pembangunan kerjaya sahaya tetapi membabitkan kesihatan mental, kepuasan kerjaya dan sokongan emosi pelajar.
“MIE bukan sekadar mengiktiraf pendidik berpengalaman, mereka yang baru menceburkan diri dalam dunia pendidikan juga berpeluang menjadi salah seorang penerima anugerah ini.
“Tiada had untuk pendidik dalam menerima anugerah ini, tidak kira baru atau sudah lama mereka layak selagi masih bergelar pendidik.
“MIE adalah platform untuk semua golongan pendidik mengetengahkan bakat dan sumbangan mereka kepada masyarakat.
“Semua pendidik termasuklah guru silat, kebudayaan, pusat bahasa dan sesiapa sahaja berkenaan dijemput untuk menyertai dan diiktiraf oleh MIE,” katanya lagi.
KUALA LUMPUR – Terkenal dengan menu nasi kandar kuah banjir, restoran Hameediyah yang cukup popular di Pulau Pinang terus menaik taraf kualiti restoran dan makanan mereka.
Dengan pembukaan cawangan terbaharu di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, daripada konsep klasik kali ini ia dinaik taraf kepada konsep bistro yang lebih elegan dan menarik.
Pembukaan cawangan kelima itu dilihat lebih premium dan dekorasi setiap tingkat juga berbeza.
Pemilik restoran Hameediyah, Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim berkata, konsep ini dibawa bersesuaian dengan lokasinya yang terletak di tengah bandar dan dipenuhi dengan orang ramai terutamanya pelancong.
“Di sini, kami menawarkan pelbagai kelainan kepada pengunjung kerana kebanyakan mereka yang datang adalah dalam kalangan pelancong.
“Kita mahu pelancong lihat sendiri bagaimana cara orang dulu berniaga nasi kandar. Dengan penampilan pekerja memakai kain pelikat dan baju-T pagoda serta bertali pinggang hijau ‘umrah’, ini adalah pakaian orang lama yang cuba kami bawakan di restoran ini.
“Ia sebagai mengimbau kenangan restoran ini di awal pembukaannya dahulu,” katanya ketika ditemui pada majlis pengenalan restoran berkenaan kepada media, baru-baru ini.
Hadir sama pada majlis itu, Datuk Seri Vida yang juga pelanggan setia restoran berkenaan.
Muhammad Riyaaz adalah Pengarah Hameediyah Sdn Bhd yang juga adalah generasi ketujuh dari pelopor restoran ini.
Restoran empat tingkat itu memberi pelanggan pilihan untuk duduk di mana-mana sahaja sama ada bistro di tingkat 1 dengan suasana mamak atau galeri yang berada di tingkat 2.
“Jika berada di galeri, terasa seperti sedang makan dalam muzium kerana kami ada meletakkan koleksi barangan asal datuk dan nenek saya dulu berniaga.
“Kami pamerkan di ruang ini untuk dilihat oleh pelanggan sambil menikmati hidangan mereka.
“Selain itu, dinding-dinding juga kami hias cantik dengan lukisan kenangan mereka ketika berniaga dulu.
“Sambil makan sambil dapat tahu sejarah asal Hameediyah,” katanya.
Beliau berkata, dua lagi tingkat restoran ini akan beroperasi tidak lama lagi dengan berkonsepkan ’fine dining’ dan juga roof top.
“Nasi kandar atau beriani, semuanya masih sama, cuma dalam suasana berbeza. Anda kena cuba sendiri datang dan makan di sini,” katanya.
Katanya, menu-menu di sini masih mengekalkan keaslian dari negeri Pulau Mutiara namun ada beberapa menu baharu diperkenalkan sebagai signature baharu buat Hameediyah.
Antaranya rendang ayam, kari itik, lamb shank dan ayam turki (piru). Tidak ketinggalan menu sotong viral, ayam bawang, ketam serta mi goreng antara menu yang sering mendapat perhatian ramai.
Restoran Hameediyah Multi Concept Bukit Bintang turut dibuka untuk sebarang acara atau majlis keramaian.
Beroperasi setiap hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam dan 11 malam untuk Sabtu dan Ahad, restoran ini juga sangat dekat dengan stesen MRT Bukit Bintang.
CYBERJAYA – Pengeluar produk makanan kesihatan DXN menggunakan herba tradisonal tempatan dalam penghasilan produk keluarannya sehingga mendapat tempat ke pasaran antarabangsa.
Boleh dikatakan, semua produk DXN 90 peratus adalah dirumus daripada herba dan tumbuhan tempatan.
Pengasasnya, Datuk Lim Siow Jin berkata, sebagai contoh ialah herba yang dikenali sebagai hempedu bumi dan nama saintifiknya Andrographis.
Katanya, herba itu terkenal dalam kalangan pengamal perubatan tradisional Cina, Ayurveda dan Greek.
“Andrographis paniculata amat dikenali dan digunakan secara meluas dalam perubatan traditional.
“Oleh itu, ia dipilih untuk dirumus sebagai salah satu suplemen kesihatan dan pemakanan DXN,” katanya ketika ditemui pada sesi temubual bersama media baru-baru ini.
Beliau berkata, antara khasiat hempedu bumi ialah herba itu mengandungi komponen bioaktif (seperti andrographolide dan neoandrographolide) yang boleh membantu melegakan haba badan dan menggalakkan kesihatan respiratori.
“Sebagai contoh produk DXN Andro G digunakan untuk melegakan kepanasan dalam badan seperti produk indikasi yang diluluskan oleh NPRA (MAL 19973096T) dan mendapat keluluskan MAB (Lembaga Iklan Ubat).
Lim berkata, DXN juga menjalankan pelbagai kajian dan penyelidikan sebelum menghasilkan sesuatu produk bagi memastikan kualitinya.
Menerusi R&D yang dijalankan, khasiat herba berkenaan diteliti dan diperiksa bagi tujuan ramuan sebelum digunakan dalam produk DXN.
Lebih menarik lagi, herba-herba berkenaan diperoleh menerusi DXN Pharmaceutical Sdn Bhd sendiri yang mempunyai ladang di Kedah.
Lim berkata, rasa herba yang pahit seperti hempedu bumi itu mungkin menyukarkan orang ramai untuk mengamalkannya.
Justeru, DXN Andro G adalah suplemen kesihatan dan pemakanan dihasilkan dalam bentuk kapsul di mana serbuk Andro G yang dikapsulkan telah mengurangkan rasa pahit semasa pengambilannya.
“Pengguna boleh menikmati produk kami dalam bentuk kapsul yang kurang pahit pada bila-bila masa.
“Buat masa ini Andro G adalah produk kami yang mendapat sambutan begitu menggalakkan terutamanya daripada pengguna Melayu,” katanya.
Andro G antara produk kesihatan yang mendapat sambutan apabila penjualannya menyumbang 4.04 peratus daripada 1 bilion jumlah jualan keseluruhan produk DXN sejak Julai 2022 sehingga Jun 2023.
Andro G sudahpun berada dipasaran sejak 26 tahun yang lalu mendapat sambutan memberangsangkan berikutan kesedaran pengguna mengenai rahsia dan khasiatnya.
KUALA LUMPUR – Atas sambutan yang begitu menggalakkan diterima pada tahun terdahulu, Pesta Kopi kini menjadi acara tahunan yang wajib diadakan sejak 2020.
Dianjurkan oleh Pesta Kopi Ventures, penganjuran kali ini turut mendapat kerjasama daripada Tourism Malaysia.
Dengan tema Miss SHOPhia GO Pesta Kopi Extended 2023, acara kali ini bakal diadakan selama 3 hari bermula 29 September sehingga 1 Oktober, bertempat di Pavilion Bukit Jalil.
Selain Tourism Malaysia sebagai Rakan Strategik Utama, program kali ini turut mendapat kerjasama Pavilion Bukit Jalil selaku Rakan Strategik Lokasi dan Mister Coffee selaku Rakan Strategik Acara.
Pengurus Besar Pesta Kopi Ventures Syahmi Pozi berkata, objektif utama penganjuranbukan sahaja untuk menyerlahkan kopi sebagai trend gaya hidup semasa, malahan memperlihatkan seni penyediaan kopi artisan sebagai salah satu peluang perniagaan yang kian menjadi pilihan ramai anak muda sekali gus mempromosikan industri kopi di Malaysia.
“Kita masih mengekalkan konsep asal Pesta Kopi seperti tahun terdahulu di mana penganjuran Miss SHOPhia Go Pesta Kopi Extended 2023 ini akan menghimpunkan 40 usahawan kopi dari Cameron Highlands, Johor Bahru, Kota Bharu, Melaka, Alor Setar, Selangor dan Kuala Lumpur yang bakal memperkenalkan produk serta menunjukkan cara dan seni penyediaan kopi masing-masing.
“Saya juga gembira dan teruja apabila Tourism Malaysia sudi menjadi rakan kerjasama dan dengan kerjasama Sabah Tourism Board dan Sarawak Tourism Board, mereka akan membawakan kopi khas dari Borneo bagi memperkenalkannya kepada pengunjung dari dalam dan luar negara yang hadir ke pesta itu nanti,” katanya pada sidang media pengumuman pesta berkenaan baru-baru ini.
Hadir sama Penolong Pengurus Besar Pemasaran, Pavilion Bukit Jalil, Stephanie Mak dan Pengarah, Bahagian Pembangunan Pakej Tourism Malaysia Shahrin Mokhtar.
Sementara itu, Shahrin berkata, penganjuran pesta kopi ini diharap dapat merangsang kembali pemulihan industri pelancongan sekali gus membantu kepada pemulihan ekonomi negara secara keseluruhan.
“Selaku agensi yang bertanggungjawab mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan, kami mengambil inisitif program ini dalam mempromosikan industri pelancongan berasaskan kopi yang sedang berkembang pesat.
“Tourism Malaysia juga akan melancarkan pakej-pakej pelancongan berasaskan kopi dengan kerjasama pengusaha pelancongan yang diberi nama ‘Miss SHOPhia Coffee Experience’ yang juga kesinambungan kepada pakej ‘Northern Malaysia Coffee Experience’ yang telah dilancarkan pada tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata, bagi membantu usahawan-usahawan kopi di Malaysia, Tourism Malaysia akan bekerjasama dengan penyedia laman sesawang “petakopi.my” dalam penyenaraian kedai kopi dan kafe yang terbabit menerusi kempen ini.
“Setakat ini, lebih 2,000 kedai kopi di seluruh Malaysia telah tersenarai di laman sesawang berkenaan dan Tourism Malaysia berharap dapat mempromosikan “coffee mapping” ini sehingga ke peringkat antarabangsa.
Sementara itu, pada acara Pesta Kopi yang akan berlangsung nanti, pelbagai produk kopi akan dijual, malahan mereka juga dapat melihat sendiri pelbagai cara penyediaan kopi termasuk peralatan-peralatan mampu milik yang digunakan serta boleh dipraktikkan sendiri di rumah.
Bukan itu sahaja, pengunjung turut berpeluang mendapatkan penerangan berkaitan cara memilih dan menilai biji kopi.
Selain itu, Pertandingan Barista Terpantas yang memasuki edisi kedua pada tahun ini, akan dianjurkan oleh Mister Coffee dan bakal disertai oleh pembuat kopi dari seluruh negara.
Cabaran penyediaan kopi ini menilai kebolehan peserta untuk menghasilkan kopi dengan cara yang betul mengikut kuantiti yang ditetapkan tanpa menjejaskan rasa dan isi setiap cawan.
Tahun lalu, pertandingan ini telah dimenangi oleh seorang pembuat kopi dari Kuching, Sarawak.
KUALA LUMPUR – Memulakan kerjaya nyanyian di negara kelahirannya, Brunei, nama Syafiq Abdilah kini semakin menjadi sebutan di sini selepas terbabit dalam program realiti, Big Stage musim keempat, tahun lalu.
Biarpun tidak bergelar finalis, Syafiq atau nama sebenarnya Mohammad Syafiq Abdilah Soony, 24, berjaya membuka mata peminat muzik tanah air akan bakat yang dimiliki.
Dari satu sudut lain, Syafiq antara bintang baharu yang wajar diberikan perhatian. Selepas muncul dengan single Kekal sekitar Mac lalu, Syafiq tidak menunggu lama untuk menghadiahkan buah tangan terbaharu berjudul Suara Hidup.
Syafiq berkata, Suara Hidup hasil nukilan Navigator dan Pique yang sudah dicipta sejak 2020 itu membawakan ‘vibe’ baharu dan berbeza dengan single sebelumnya.
“Suara Hidup adalah lagu yang sangat berbeza daripada Kekal. Mesej yang ingin disampaikan dalam lagu ini adalah betapa pentingnya seseorang itu dalam hidup kita.
“Lagu ini juga membawa ‘vibe’ yang baharu kerana ia diinspirasikan daripada lagu balada Korea dan OST K-Drama.
“Seperti lagu Kekal, saya tidak terbabit dalam poses penulisan lagu Suara Hidup. Sebenarnya, lagu ini mula dicipta pada 2020 dan pertama kali saya mendengar demo lagu ini pada tahun itu juga.
“Pada masa itu hanya bahagian korus yang sudah ditulis dan tahun lalu barulah Pique menyiapkan lagu ini bersama Navigator,” katanya.
Syafiq berkata proses rakaman lagu itu mengambil masa yang panjang kerana dia perlu memberikan sepenuh emosi.
“Lagu ini mengambil masa yang begitu panjang untuk dirakamkan. Kerana sukar untuk saya menyampaikannya dengan penuh emosi yang sesuai dengan lagu Suara Hidup ini.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk berterima kasih kepada Banni Basyishar yang turut membantu semasa proses rakaman.
“Tidak dilupakan Mike Chan yang membantu memilih ‘take vocal’ yang paling sesuai untuk lagu ini,” kata Syafiq.
Berkongsi tentang video muzik (MV) Suara Hidup, Syafiq berkata, jalan ceritanya adalah kesinambungan daripada lagu Kekal.
“MV Suara hidup adalah kesinambungan daripada MV Kekal yang menceritakan perjalanan kisah cinta pasangan yang diwatakkan oleh Hakim Parker dan Sara Mack Lubis.
“Pada penghujung MV Kekal, ia diakhiri dengan ‘clif hanger’ apabila watak Hakim melintasi Sara seperti tidak pernah berkenalan sama sekali.
“Menerusi MV Suara Hidup ini akan terangkan dan menjawab segala persoalan semua yang sudah menonton MV Kekal,” katanya.
Syafiq berkata, MV Suara Hidup turut membabitkan pasukan sama yang menjayakan MV Kekal iaitu pengarahnya Harith Zazman dan pengarah fotografi adalah Asyrafiqal.
Tidak ketinggalan Hakim dan Sara turut serta untuk menyampaikan cerita MV ini. MV Suara Hidup dirakam serentak bersama rakaman MV Kekal pada awal tahun ini dan mengambil masa dua hari di beberapa lokasi yang terpilih.
Dalam pada itu, Syafiq mengakui terdapat cabaran yang perlu dilalui sepanjang proses menghasilkan lagu dan MV.
“Ketika proses menyiapkan lagu ini sangat mencabar kerana ia adalah lagu ‘slow ballad’ pertama yang saya rakamkan dan lagu ini perlu disampaikan dengan penuh emosi.
“Bagi rakaman vokal sahaja kami mengadakan lebih daripada empat sesi dan lebih dari lima versi lagu ini. Alhamdulillah, proses rakaman MV semuanya berjalan dengan lancar,” katanya.
Suara Hidup adalah projek JV antara Universal Music Malaysia dan 1212.
Suara Hidup boleh didengari di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Deezer dan YouTube Music, sementara video muziknya boleh ditonton di saluran YouTube Universal Music Malaysia.
PETALING JAYA – Pelakon Diana Danielle mengesahkan dia bakal ke mahkamah untuk rujuk semula dengan bekas suami yang juga pelakon dan pengarah, Farid Kamil.
Diana berkata, apa yang berlaku tidak seperti yang dirancangkan selepas lima bulan mereka turun naik mahkamah bagi menyelesaikan masalah rumahtangga yang berlaku.
“Kami masih dalam proses untuk mendapatkan semula keserasian bersama. Ini semua kami lakukan demi anak-anak.
“Saya sendiri tidak menyangka dengan apa yang berlaku namun berharap semuanya akan lebih baik lagi selepas ini.
“Namun begitu, kami tidaklah mahu tergesa-gesa, masih ada masa dan proses ini mengambil masa. Bukan saya tidak mahu umum perkara ini tetapi ia membabitkan proses mahkamah dan memerlukan masa,” katanya.
Diana ditemui pada Karnival Mega Suria yang berlangsung di Padang Timur Majlis Badaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Sabtu.
Sementara itu, Farid turut hadir menemami istetinya namun tidak boleh bercakap banyak berikutan mengalami masalah sakit tekak yang dihidapi sejak beberapa hari lalu.
Farid sempat berbisik ke telinga Diana memberitahu mereka tidak berhenti berdoa agar mendapat jalan penyelesaian terbaik berikutan kemelut rumah tangga yang dihadapi sebelum ini.
Dalam pada itu, Diana berkata, mereka kini masih dalam fasa untuk memperbaiki diri serta mencari jalan terbaik bagi rumah tangga mereka untuk masa akan datang.
“Farid kata kami tidak pernah berhenti berdoa. Kami juga tidak tahu ini pengakhirannya kerana semua telah ditentukan oleh Allah.
“Sekarang ini kami masih dalam tempoh masa mencari jalan terbaik untuk masa depan. Kami kembali membina apa yang pernah ada sebelum ini.
“Tetapi saya tidak mahu terlalu banyak bercakap tentang hal ini. Perlu ada privasi antara hubungan kami,” katanya.
Diana berkata, dia gembira kerana Farid akan terus menjadi bapa terbaik buat anak-anak mereka.
“Saya membesar tanpa kasih sayang bapa. Jadi tidak mahu anak-anak melalui perkara yang sama.
“Apa yang penting anak-anak mendapat kasih sayang seorang bapa. Itu adalah hadiah terbaik buat saya,” katanya.
Terdahulu, pada 10 Ogos lalu, pasangan itu sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor.
Diana dan Farid mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012.
Mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.
KUALA LUMPUR – Selama 32 tahun dalam industri menjadi bukti utuh kumpulan Exists sebagai kugiran tempatan yang berkualiti.
Jika tidak, mustahil Exists akan kekal malah masih menjadi kegemaran pendengar pelbagai generasi sejak salam kenal di tahun 90-an sehingga 2023 menjelma.
Sehingga kini, Exists sentiasa menjadi kugiran pilihan penganjur untuk mengadakan persembahan.
Sepanjang kembara 32 tahun ini, Exists sudah merasa bermain di sekecil-kecil pentas funfair, membawa ke festival-festival muzik sehingga mempamerkan kredibiliti mereka sebagai pemuzik profesional di pentas berprestij Dewan Filharmonik Petronas.
Belum lagi kejayaan yang diraih menerusi beberapa siri konsert dan festival yang membawa Exists bertemu peminat sehingga ke Singapura dan Indonesia.
Baru-baru ini Exists disambut baik oleh peminat Indonesia sewaktu kemunculan mereka di Festival 90’s yang diadakan di Kemayoran, Jakarta.
Semua pencapaian itu terjadi pada tahun 2023. Namun Exists masih belum mahu menutup portfolio dengan cantik dan kemas tanpa melakukan sebuah persembahan yang disifatkan paling didamba sepanjang 32 tahun berkarya.
Oleh itu, selaku penganjur, Persatuan Global Malaysia dengan bangganya mahu melengkapkan impian Exists menerusi projek bersejarah yang bakal dilaksanakan pada Disember hujung tahun ini.
Konsert Exists X Orkestra bakal diadakan di Megastar Arena Kuala Lumpur pada 22 Disember ini.
Pengarah Program Persatuan Global Malaysia, Mohd Roslan Mohd Rafi berkata, Konsert Exists X Orkestra akan menjadi sebuah sejarah peribadi buat kugiran yang dianggotai Ajai, Ujang, Musa, Along, Mamat dan Ezad sepanjang pembabitan mereka sebagai pemuzik.
“Sudah tentu Konsert Exists pada kali ini berbeza dengan apa yang pernah dilihat dan dipersembahankan mereka sebelum ini.
“Jika sebelum ini Exists bermain sebagai sebuah kugiran tetapi untuk konsert kali ini anda buat pertama kalinya akan menjadi sebahagian daripada sejarah kerana Exists akan bergabung dengan kumpulan Orkestra.
“Kami selaku penganjur mengucapkan jutaan terima kasih kepada Exists dan Orkestra kerana menyambut baik proposal kami lalu menjadikan ia sebuah kenyataan,” katanya.
Buat Exists sendiri, bergabung ‘permainan’ dengan pemuzik orkestra yang hebat memang sudah menjadi impian sekian lama.
Namun mereka menunggu waktu yang sesuai untuk menghasilkan sebuah persembahan kolaborasi apa lagi dengan kumpulan pemuzik orkestra.
“Tanyalah kepada mana-mana band, kugiran atau pemuzik, salah satu impian tentang dunia kami ini adalah melakukan persembahan konsert atau bergabung dengan orkestra.
“Kami fikir sudah banyak persembahan skala kecil kepada skala besar, dengan usia 32 tahun Exists, ini adalah masa yang sesuai untuk kami berkolaborasi dengan orkestra.
“Exists sendiri tidak sabar untuk mencipta sejarah ini secara peribadi buat setiap anggota yang sudah berkelana sangat jauh dari usia remaja sehingga sekarang.
“Apapun terima kasih yang sebesarnya mahu kami sampaikan kepada peminat kerana jika tanpa sokongan dan kepercayaan bahawa Exists masih relevan dan perlu terus hidup dalam industri ini, mungkin Exists tidak akan wujud lagi,” ujar Along.
Dengan pengumuman yang dibuat, jangan terlepas untuk menjadi saksi nyata dan sebahagian daripada sejarah yang bakal dicetak di Konsert Exists x Orkestra pada 22 Disember 2023 di Megastar Arena Kuala Lumpur.
Tiket-tiket berharga bermula RM 568, RM 468, RM 368, RM 268 dan RM 168 dan boleh dibeli menerusi laman sesawang Www.MyTicket.Asia.