31.2 C
Kuala Lumpur
Monday, June 15, 2026
Home Blog Page 170

Misi : First Look Ejen Ali the Movie 2 bakal temui penonton tidak lama lagi

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Primeworks Studios dan WAU Animation dengan bangganya mempersembahkan tayangan khas bagi misi baharu Misi : First Look Ejen Ali the Movie 2 (EATM 2), buat pertama kalinya.

Majlis pelancaran ini telah dirasmikan oleh Gobind Singh Deo, Menteri Digital, sebagai sebahagian daripada pelancaran program di Festival Kandungan Digital Malaysia 2024 (MYDCF) yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KL Convention Centre). 

Misi baharu EATM 2 ini adalah trailer teaser rasmi yang menampilkan aksi berintensiti tinggi dan misteri yang mendebarkan dan penuh tanda tanya serta diselang-selikan dengan babak dan sinematik yang menyentuh hati untuk tontonan seisi keluarga. 

Selepas kejayaan pecah panggung menerusi filem pertama Ejen Ali The Movie (EATM) pada tahun 2019, sekuel filem kedua, EATM 2, kini seterusnya melantik Ejen Ali sebagai juruterbang Projek Satria, iaitu sebuah sut berperisai baharu dengan bantuan  program Kecerdasan Buatan (AI) yang direka khas bagi mengoptimumkan lagi prestasi fizikal dan kemahiran mental ejen-ejen MATA semasa menjalani misi rahsia mereka.

Sekuel yang dinanti-nantikan ini dijangka akan menggegarkan pawagam secara rasminya pada tahun 2025 dengan mengekalkan barisan penyumbang suara watak utama iaitu Ida Rahayu Yusoff sebagai Ejen Ali bersama kucing peliharaannya, Comot, Noorhayati Maslini Omar sebagai Ejen Alicia, Shafiq Isa sebagai Ejen Bakar dan Azman Zulkiply sebagai Rizwan dan Jeneral Rama.

Pengarah EATM 2 dan Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation Usamah Zaid Yasin berkata, mereka sangat teruja untuk memperkenalkan misi baharu tayangan pertama  Ejen Ali The Movie 2.

“Kami di WAU telah mencabar diri kami dalam penyelidikan dan pembangunan untuk tidak hanya meningkatkan kualiti produksi teknikal filem ini, tetapi juga untuk menghasilkan jalan cerita yang menarik bagi peminat yang menantikan misi Ejen Ali yang seterusnya.

“Kami berharap agar filem ini mendapat maklum balas positif serta tidak sabar untuk berjumpa dengan kesemua ejen-ejen yang setia bersama Ejen Ali di pawagam nanti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios Nini Yusof berkata, Ejen Ali The Movie 2 adalah filem yang sangat dinantikan dalam perancangan mereka dan mereka juga harus berterima kasih kepada peminat semua serta MDEC atas sokongan berterusan mereka. 

“Memandangkan kami bakal mendedahkan dan menyiarkan lebih banyak lagi kandungan khas berkenaan Ejen Ali The Movie 2 ini di seluruh platform Media Prima menjelang tayangannya nanti, saya ingin mengalu-alukan kepada semua untuk terokai peluang kerjasama sebagai rakan kongsi dengan Ejen Ali melalui kandungan penjenamaan, program pelesenan dan pembarangan,” katanya.

Kunjungi www.youtube.com/ejenali untuk dapatkan info menarik dan terkini mengenai Ejen Ali the Movie 2. 

EB Kranch kukuhkan kedudukan Kumpulan EB sebagai pengeluar produk sejuk beku penggoreng udara

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Menjadi antara jenama yang mendominasi pasaran produk sejuk beku air-fry, Kumpulan EB terus mengorak langkah dalam mempelbagaikan pilihan produk mereka melalui pelancaran EB Kranch.

Menawarkan 11 produk sejuk beku, sembilan daripada produk ini sudah berada dalam pasaran negara manakala enam daripada produk ini juga turut dijual di Singapura.

Mempromosikan kaedah memasak tanpa minyak, antara kelebihan rangkaian produk EB Kranch juga melalui cara penyediaan ringkas yang hanya mengambil masa 10 minit, sekaligus mencapai matlamat ESG dengan menggalakkan kecekapan tenaga dan mengurangkan kesan pada alam sekitar.

Pengerusi Kumpulan Syarikat EB, Ang Chin Hooi berkata, pihaknya yakin melalui strategi pemasaran yang diguna pakai mereka mampu mencapai matlamat sebagai jenama Nombor 1 produk sejuk beku penggoreng udara di negara ini dan global.

“Kami mahu membina nama ini menjadi jenama terdepan di peringkat global, supaya apabila seseorang memikirkan mengenai penggoreng udara, mereka akan secara automatik memikirkan EB Kranch.

“Langkah pertama kami adalah mewujudkan model perniagaan yang berkesan di Malaysia yang kemudiannya akan direplikasi di Singapura, Hong Kong, China, Indonesia, Vietnam dan negara lain.

“Seterusnya, kami berharap untuk melancarkan lebih banyak produk baharu untuk memenuhi keperluan gaya hidup sibuk pengguna moden.

“Menjadi Impian pihak EB Group juga untuk menjadi perintis industri makanan dengan rangkaian produk sejuk beku baharu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat EB Chris Ooi berkata, pengenalan produk baharu ini juga mempelbagaikan pilihan pengguna melalui penawaran makanan yang mudah dimasak tanpa mengorbankan kualiti, rasa atau tekstur.

“Ini menandakan satu peristiwa penting bagi kumpulan kami. Saya menjangkakan apabila pengguna mencari makanan bergoreng, mereka akan memikirkan EB Kranch.

“Dalam memastikan rangkaian ini menghasilkan produk yang menepati cita rasa pengguna, proses penghasilannya juga di buat melalui pemilihan bahan-bahan yang  teliti dalam memastikan kualiti produk ini kekal terjaga,” katanya.

Antara produk yang akan berada di pasaran negara ini adalah Chicken Kaarage, Cheezy Chicken Meatball, Mini Cheese Sticks, Tempura Chicken Nugget, Cheezy Chicken Nugget, Original Popcorn Chicken, Alaska Pollock Finger, Alaska Pollock Patty dan Flower Cheese Tofu.

Kesemua produk ini juga boleh didapati di Aeon Big, Aeon Max Value, Aeon, Mydin, TF Value-Mart, NSK Grocer, Billion dan banyak lagi.

Di Singapura pengguna pula boleh mendapatkan Alaska Pollock Finger, Mini Cheese Sticks, Crispy Shrimp Ball, Alaska Pollock Patty, Flower Cheese Tofu dan Handmade Fried Fish Bean Curd. Semua produk ini akan dipaparkan di pasar raya Fairprice dan Sheng Shiong.

Sebagai sebahagian daripada strategi pemasaran komprehensif Kumpulan EB juga turut memperuntukkan RM20 juta untuk tujuan promosi dalam memastikan jenama EB Kranch menjadi pilihan ramai.  

Selain itu, pasukan EB juga akan turun padang dengan beberapa siri jelajah dan aktiviti dinamik dalam beberapa minggu akan datang, sekali gus menawarkan sokongan komunikasi pemasaran dan promosi di dalam kedai di saluran peruncitan bersama rakan kongsi di seluruh Malaysia dan Singapura.

Sementara itu pengguna juga berpeluang memenangi 3,000 unit Russell Taylors 3D Visible Window Air Fryer secara percuma melalui pembelian produk EB Kranch.

Jangan lepaskan peluang menyertai program penebusan hadiah ini juga yang akan diadakan tidak lama lagi.

‘Malaysia Kita Roadshow’ meraikan kemajmukan negara dengan persembahan artis-artis hebat tempatan sempena Hari Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Hari Malaysia sememangnya menjadi detik bersejarah dan terpenting buat seluruh rakyat negara ini.

Tarikh 16 September akan terus teguh dalam ingatan bagi meraikan kemajmukan dan perpaduan kita kecapi.

Universal Music Malaysia (UMM) dengan kerjasama Sunway Putra Mall, HotFM dan FlyFM (rakan radio), serta Pop Meals (rakan makanan dan minuman) tidak ketinggalan ingin hangatkan sambutan itu menerusi acara Malaysia Kita Roadshow.

Berlangsung selama dua hari iaitu 14 dan 15 September, jam 10 pagi hingga 10 malam, di Main Concourse, GF, Sunway Putra Mall, pelbagai aktiviti menarik dijalankan termasuk acara utama iaitu showcase lebih 30 artis tempatan terkemuka.

Lebih istimewa, penghibur yang beraksi digabungkan dari label rakaman berbeza iaitu UMM sendiri, Def Jam Malaysia, Faithful Music, RUSA Music, dan Alternate Records. Syarikat-syarikat yang bukan calang-calang namanya.

Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim menyifatkan usaha menggabungkan artis dari pelbagai latar belakang untuk showcase terbabit adalah pendekatan unik. Ia menjadi bukti betapa indahnya Malaysia kerana kaya dengan nilai majmuknya.

“Malaysia Kita Roadshow adalah kombinasi unik artis serta penghibur yang ditampilkan di acara hebat selama dua hari itu bagi meraikan Hari Malaysia serta pamer kemajmukan mengagumkan dalam negara kita.

“Kami sedari nadi sebenar Malaysia adalah rakyatnya dan muzik satukan kita semua.

“Acara cukup bermakna di Sunway Putra Mall iaitu rakan kerjasama kami sanjungi itu adalah aktiviti ideal untuk dinikmati sempena cuti hujung minggu yang panjang ini.

“Barisan bakat hebat naungan UMM, Def Jam Malaysia, Faithful Music, RUSA Music, dan Alternate Records akan ditampilkan.

“Inilah peluang keemasan untuk rakyat Malaysia terutama yang berada di Lembah Klang untuk hadir beramai-ramai, berhibur dengan persembahan, kibarkan bendera kita,peragakan pakaian tradisional, dan menikmati setiap aspek yang menjadikan Malaysia cukup istimewa,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan, A&R dan Pengurusan Artis Universal Music Malaysia, Hermond Cheng pula berkata, Malaysia Kita Showcase membawa makna yang cukup besar dan mendalam.

Khususnya buat industri hiburan tempatan bagi sama-sama menjulang muzik sebagai wadah menyatupadukan rakyat kita.

“Menjelang Hari Malaysia, keluarga Universal Music Malaysia sangat teruja untuk kongsikan muzik kami kepada ramai.

“Kami mengadakan khusus showcase istimewa untuk menyatukan dan meraikan kesungguhan kami terhadap muzik bersama barisan artis hebat kami,” katanya.

Barisan artis yang menghangatkan pentas pada hari pertama iaitu 14 September adalah Anna & Hanna dari Universal Playground, Hariz Fayahet dan Puteri Khareeza (Alternate Records) Zel dan Keka Nizam (RUSA Music), A-Jin dan Madykit (Faithful Music), Ismail Izzani, Sophia Liana, KillaDriz, Asyraf Nasir, Yonnyboii, dan Lil J (Def Jam Malaysia) serta Dj Ziqq.

Hari kedua iaitu 15 September pula menampilkan Anna & Hanna dari Universal Playground), Julia Duclos, Kat Roshan, Shi En, Elva, Nicole Lai, The Gadys, Nadia Rosli, dan ALVN

(Universal Music Malaysia), Nabila Razali, HarsonBee, dan Ara Johari (gabungan bersama UMM), NAKI dan Mal Hamka (Faithful Music), Aqmal Ramdan dan Ika Mustafa (Alternate Records), serta HarsonBee (LY music).

Apa yang pasti, pengunjung bukan saja sekadar dapat menonton barisan penghibur itu beraksi atas pentas.

Sebaliknya, mereka juga akan turut mengadakan sesi ramah mesra pada selama sejam dari 6.30 petang hingga 7.30 malam sebelum showcase bermula.

Satu lagi aktiviti yang menjadi tarikan utama acara itu adalah Pertandingan Mewarna Anna & Hanna khusus untuk kanak-kanak yang berlangsung pada 14 September, jam 3.30 petang.

Pelbagai hadiah menarik tajaan Anna & Hanna turut diberikan. Pertandingan itu dibuka kepada kanak-kanak berumur 4 hingga 8 tahun yang mendaftar menerusi pautan disediakan Sunway Putra Mall di media sosialnya.

Kertas serta peralatan mewarna juga turut disediakan sewaktu pertandingan.

Tidak ketinggalan, terdapat juga segmen ‘podcast’ yang membicarakan pelbagai topik khususnya berkaitan Hari Malaysia.

Segmen itu tentunya menarik bagi pengunjung mendalami lagi keindahan mengenai negara kita.

Isu sijil halal: Nashriq mohon Teresa Kok hormati agama lain

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Bahagian Bera, Nashriq Ismail Sabri menyokong penuh tindakan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr Akmal Saleh dalam mempertahankan maruah agama islam berkenan isu sijil halal yang telah dibangkitkan oleh Teresa Kok.

Nashriq berkata, sebagai seorang pemimpin yang berpengalaman seperti Terasa Kok sepatutnya sudah tahu untuk menghormati sensitiviti kaum dan agama lain di dalam negara ini.

“Sebagai seseorang yang menganut agama lain dengan fahaman yang bebeza tidak sepatutnya campur tangan dalam hal agama individu lain.

“Mana-mana bangsa pun sekiranya ada bangsa lain campur tangan dalam agama mereka dengan mempersoalkan ajaran mereka, pasti akan membawa ketegangan antara satu sama lain.

“Selama ini isu sijil halal ini tidak pernah pun menjadi masalah. Jangan kerana kini sudah berkuasa semakin berani untuk membuat kenyataan tanpa mengira sensitiviti rakyat lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Nashriq berkata, pihaknya berharap Teresa Kok menarik balik saman terhadap KPUM Dr Akmal Saleh dan membuat permohonan maaf secara terbuka.

“Jangan mengeruhkan lagi keadaan, ia tidak berbaloi. ‘Lower down your ego YB,It’s not about wining or losing in this fight. “It’s about showing peace and harmony, it’s about understanding one another, it’s for the greater good,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya Naib Pengerusi DAP itu masih berkeras, pihaknya sentiasa ada dibelakang KPUM.

HONOR MagicBook Art 14 komputer riba dikuasa AI, ultra-nipis dan ringan akan mula dijual pada 20 September

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – HONOR mengumumkan komputer riba canggih yang dikuasakan AI, HONOR MagicBook Art 14, akan tersedia di seluruh negara mulai esok, 20 September 2024.

Berharga RM5,999, komputer riba berprestasi tinggi ini menampilkan pemproses Intel® Core™ Ultra 5 125H dan Intel® Arc™ Graphics. Dengan RAM 16GB dan storan 1TB, peranti ultra-nipis ini didatangkan dalam warna Emerald Green.

Setiap pembelian HONOR MagicBook Art 14 akan disertakan dengan pakej hadiah percuma bernilai RM1,106, terdiri daripada beg galas HONOR, jaminan lanjutan 1+2 tahun, dan langganan percuma Microsoft 365 selama setahun.

HONOR MagicBook Art 14 mentakrif semula inovasi ringan dengan Struktur Ringan Topologi. Rekaan termaju ini membolehkan komputer riba ini menjadi ringan dengan hanya seberat 1kg dan berukuran setebal 1cm, menggabungkan bahan aloi gred aeroangkasa dan papan kekunci titanium yang tahan lasak dengan berat yang minimum.

Sistem Penyejukan Vapour dan Rekaan Bersepadu Antena pada peranti ini pula memastikan prestasi dan kesambungan yang optimum walaupun semasa melaksanakan tugasan yang intensif.

Menggabungkan keupayaan AI terhebat HONOR serta beberapa teknologi yang pertama dalam industri, HONOR MagicBook Art 14 menawarkan pengalaman pengguna yang amat transformatif. Berikut sebab-sebab mengapa komputer riba ini lebih menonjol berbanding yang lain.

1. Skrin Sentuh Pemandangan Penuh 3.1K OLED 14.6 Inci Yang Pertama Dalam Industri

HONOR MagicBook Art 14 menampilkan Skrin Sentuh Pemandangan Penuh 3.1K OLED 14.6 Inci berinovatif yang menetapkan tanda aras baharu dalam prestasi visual.

Dengan liputan warna gamut DCI-P3 100 peratus dan 10.7 bilion palet warna, paparan ini mempersembahkan butiran yang lebih nyata dengan warna yang hidup dan amat jelas. Kecerahan puncaknya pada 700 nits pula memastikan visual yang jelas dalam pelbagai keadaan pencahayaan.

Nisbah penyegaran semula 120Hz meningkatkan lagi pengalaman pengguna dengan memberikan interaksi yang lancar dan bertindak balas, sama ada anda sedang melayari menu, bermain permainan maya atau menonton video berdefinisi tinggi. Skrin termaju ini bukan sahaja mengayakan produktiviti bahkan mengubah hiburan, yang menjadikannya satu ciri HONOR MagicBook Art 14 yang menonjol.

2. Nisbah Skrin ke Badan 97 peratus, Yang Terbesar dalam Industri

Komputer riba ini membawakan nisbah skrin ke badan peneraju industri sebanyak 97 peratus, memberikan pengalaman visual yang imersif. Nisbah bidang 3:2 skrin peranti ini memberikan keseimbangan sempurna antara produktiviti dan hiburan, manakala bezel ultra-sempit yang berukuran hanya 2.2mm ini memaksikmumkan kawasan paparan.

Rekaan ini membolehkan pengguna untuk melibatkan diri dengan konten secara sepenuhnya, menjadikan setiap video, pembentangan, dan sesi permainan lebih menarik dan menyeronokkan.

3. Paparan Perlindungan Mata Lima Lapis Yang Kukuh Dalam Industri

Direka dengan mementingkan kesejahteraan pengguna, HONOR MagicBook Art 14 menampilkan Standard Perlindungan Lima Lapis Mata yang termaju dalam industri. Paparan tersebut menggabungkan teknologi Pemalapan PWM Berfrekuensi Tinggi 4320Hz untuk mengurangkan kerlipan dan mengurangkan kesakitan mata, walaupun semasa penggunaan yang lama.

Diiktiraf dengan pensijilan TÜV Rheinland untuk Bebas Kerlipan dan Cahaya Biru Rendah, paparannya menyokong masa skrin yang lebih lama dengan mengurangkan kesakitan mata. Teknologi Pemalapan Dinamik menandingi corak cahaya semula jadi, memperkukuhkan keselesaan untuk tugasan atau sesi pembelajaran yang lama, termasuk penggunaan pada lewat malam. Mod E-book juga menyelaras kecerahan, suhu warna, dan skala kelabu untuk pengalaman seakan membaca buku yang sebenar.

4. Kamera Magnetik AI Pasang Tanggal Yang Pertama Dalam Industri

HONOR telah mengambil langkah besar dalam inovasi komputer riba dengan memperkenalkan Kamera Magnetik AI pasang tanggal yang pertama dalam industri bagi memberikan pengguna fleksibiliti dan privasi yang dipertingkatkan.

Rekaan magnetik ini membolehkan kamera ini dipasang, ditanggal atau dipusingkan ke 180 darjah, memberikan fungsi serba boleh semasa bermesyuarat, temuramah, dan tetapan yang diperibadikan. Dengan memanfaatkan AI yang termaju, kamera ini juga memiliki ciri-ciri seperti penjejakan jisim, bokeh latar belakang, dan sokongan pandangan mata.

Tambahan kepada fleksibilitinya, kamera ini mengutamakan privasi pengguna dengan penyelesaian storan yang selamat. Apabila tidak digunakan, kamera ini boleh disimpan di dalam ruang penyimpanan khas di sebelah kiri papan kekunci. Rekaan ini meningkatkan lagi kawalan pengguna dan mengurangkan akses tanpa kebenaran atau pengaktifan tidak sengaja secara lebih signifikan, menawarkan alternatif yang lebih selamat berbanding kamera terbina yang ada selama ini.

5. AI Magic Workstation dengan Integrasi Microsoft Copilot 

Dalam memenuhi keperluan tugas secara pantas dalam hari yang sibuk, HONOR MagicBook Art 14 menonjol sebagai pembantu yang boleh diharapkan. Komputer riba ini menampilkan butang Copilot khusus yang memberikan akses segera kepada rakan AI milik Microsoft.

Ciri inovatif ini membawakan kemudahan yang tiada tandingan di hujung jari pengguna, menawarkan beberapa fungsi termasuk bantuan mengikut konteks, meningkatkan perkakasan produktiviti, penelitian data, transkripsi masa sebenar, dan rangkuman.

Selain itu, Microsoft Copilot mengintegrasikan dengan aplikasi Microsoft 365 dengan lancar, mewujudkan pengalaman yang padu sepanjang pelbagai perkakasan. Dengan memanfaatkan AI, ia meningkatkan kecekapan dan memperkemas aliran kerja, tugasan automatik dan menyampaikan penelitian yang kebiasaannya memerlukan usaha secara manual.

HONOR MagicBook Art 14, dengan integrasi Copilot, direka untuk meningkatkan produktiviti pengguna dan memudahkan tugasan yang sukar bagi memastikan pengalaman bekerja yang lebih lancar dan cekap.

Dengan penambahan perisian MagicOS 8.0.1, HONOR MagicBook Art 14 memberikan kolaborasi silang peranti dikuasakan AI yang termaju. Nikmati integrasi yang lancar melalui ciri-ciri seperti Multi-Screen Collaboration, HONOR Connect, AI HONOR Notes, dan AI Global Favorites. Fungsi-fungsi ini memudahkan perkongsian fail antara peranti dan mencatat nota secara lebih cekap semasa bergerak, memastikan tugasan dijalankan tanpa gangguan sepanjang pelbagai platform dan menghebatkan lagi produktiviti.

6. Ciri-ciri Flagship Peneraju Yang Lain

HONOR MagicBook Art 14 juga mengetengahkan beberapa ciri yang menonjol. Antara adalah Perlindungan Privasi Pintar untuk Pencerminan Skrin yang pertama dalam industri, bagi membolehkan pengguna memilih paparan jendela tertentu semasa berkongsi skrin. Ciri inovatif meningkatkan lagi privasi dan melindungi maklumat sensitive semasa melakukan pembentangan.

Di samping itu, komputer riba ini juga menggabungkan teknologi AI Bidirectional Noise Cancellation yang termaju. Teknologi ini menapis bunyian latar belakang secara efektif, memastikan suara penutur kekal jelas dan mudah dibezakan semasa panggilan dan siding video.

HONOR MagicBook Art 14 juga mempunyai Rekaan Bateri Heteroge yang besar dengan jangka hayat bateri sehingga 9.5 jam walaupun sedang menggunakan berbilang aplikasi hours secara serentak. Rekaan ini menyokong lanjutan produktiviti serta memastikan prestasi yang lebih dipercayai sepanjang hari.

Peranti ini turut dilengkapi dengan pad sentuh yang sensitif tekanan bagi menyokong pelbagai gerakan seperti menekan, mengklik dan menyeret. Ciri ini menawarkan kawalan yang lebih tepat dan tidak memerlukan tetikus berasingan.

Dalam pada itu, HONOR MagicBook Art 14 dilengkapi dengan pelbagai pilihan kesambungan yang menyeluruh, termasuk Thunderbolt 4, USB-C, USB-A, HDMI, dan bicu headphone/mikrofon 3.5mm. Seleksi port yang lebih banyak ini memastikan kesambungan yang lebih lancar kepada beberapa jenis peranti dan aksesori.

Pusat kecemerlangan belia negara pasca-perang bantu realisasi Malaysia jadi hab pendidikan global

editormaxinfo@gmail.com

SEPANG – Penubuhan Pusat Kecemerlangan dalam Pendidikan dan Latihan untuk belia dari negara-negara membangun dan pasca-perang mampu membantu merealisasikan hasrat menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi global.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, dengan kualiti pendidikan tinggi yang baik dan setaraf negara maju, usaha itu tidak mustahil dapat dicapai.

Beliau berkata, aspek kualiti bukanlah satu halangan bagi menarik minat pelajar antarabangsa untuk menyambung pengajian di negara ini kerana Malaysia mempunyai tahap pendidikan yang baik dan diiktiraf di persada global.

“Mandat diberikan kepada Malaysia untuk menyediakan akses pendidikan kepada belia rakyat negara-negara yang terbabit adalah satu kepercayaan serta penghormatan terhadap pendidikan tinggi negara di peringkat antarabangsa.

“Pengiktirafan ini besar ertinya buat kita kerana ia menjadi platform untuk membuktikan kemampuan sebenar negara dalam pendidikan tinggi,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir dilaporkan berkata, Malaysia akan membangunkan sebuah Pusat Kecemerlangan dalam Pendidikan dan Latihan untuk belia dari negara-negara membangun dan pasca-perang yang dipilih termasuk Afghanistan, Iraq, Libya, serta Timor Leste.

Perkara itu telah dipersetujui dalam pertemuan dua hala dengan Presiden Institut Kajian Ekonomi ASEAN dan Asia Timur (ERIA), Prof. Tetsuya Watanabe, dan Pakar Perdagangan Utama di Kumpulan Bank Dunia, Dr. Roberto Echandi semasa lawatannya ke Switzerland, baru-baru ini.

Pada peringkat awal, Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan menjadi penyelaras bagi program-program berkaitan dalam menjayakan inisiatif berkenaan.

Mohammad Shatar berkata, dalam menjayakan usaha murni itu, institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan perlu sentiasa bersedia dengan menonjolkan bidang tujahan atau bidang kepakaran masing-masing untuk ditawarkan kepada pelajar yang terbabit dalam inisiatif berkenaan.

Katanya, dengan kekuatan 20 universiti awam dan lebih 400 IPT swasta, pendidikan tinggi Malaysia mempunyai pelbagai kepakaran yang boleh diketengahkan.

“Dengan frasarana IPT yang baik di negara ini, pastinya usaha menubuhkan pusat kecemerlangan itu akan dapat direalisasikan dalam tempoh terdekat.

“IPT tempatan disaran untuk menyokong hasrat murni ini dengan mempertingkatkan keterlihatan keunikan kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) di institusi masing-masing,” katanya.

Tiga kes berkait GISBH dituduh di mahkamah Putrajaya, Negeri Sembilan pagi ini

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Tiga kes berkaitan kumpulan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) dijangka dituduh di tiga mahkamah berasingan masing-masing di Putrajaya dan Negeri Sembilan hari ini.

Berdasarkan maklumat dikongsi kepada media, satu kes iaitu membabitkan seorang ustaz dijangka dituduh di Mahkamah Majistret Port Dickson di Negeri Sembilan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Pertuduhan dijangka dilakukan jam 8.30 pagi berikutan kesalahan mencabul kehormatan guru praktikal di sebuah pusat pengajian di Port Dickson.

Di Mahkamah Sesyen Seremban 2 pula, seorang ustaz di pusat sama akan dituduh mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana kes amang seksual.

Sementara itu, Polis Kuala Lumpur melalui kenyataan memaklumkan seorang lelaki yang juga ahli kepada kumpulan GISBH dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya jam 8 pagi ini.

Berdasarkan makluman dikeluarkan kepada media, lelaki itu akan didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Seksyen 506 merujuk ugutan jenayah yang mana ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan tiga kes ini adalah yang pertama berkaitan GISBH selepas Op Global dilancarkan polis pada 11 September lalu.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan tiga daripada 33 kertas siasatan dibuka polis susulan Op Global sudah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara.

Razarudin berkata, tindakan itu bagi mendapatkan cadangan dan arahan lanjut bagi tujuan pertuduhan di mahkamah.

Katanya, dua kertas siasatan bagi kes mengikut Seksyen 14(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, manakala satu kertas siasatan bagi kes mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Razarudin juga berkata, sebanyak 30 kertas siasatan lain masih di peringkat siasatan yang mana siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 427 dan 505(b) Kanun Keseksaan, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sebelum ini GISBH dipalit kontroversi eksploitasi kanak-kanak sebagai pekerja selepas 20 premis dikaitkan dengan syarikat itu sebagai pusat jagaan dan rumah amal diserbu polis awal pagi 10 September lalu.

Dalam serbuan terbabit, polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia satu hingga 17 tahun, selain menahan 171 individu termasuk ustaz yang mengendalikan premis yang diserbu untuk siasatan lanjut.

Dalam sidang media di Kuantan sebelum ini, Razarudin dilaporkan berkata operasi GISB bermula selepas Darul Arqam diharamkan dan beberapa pemimpin kanannya ditahan polis pada 1994 mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Katanya, selepas pengharaman Darul Arqam, pengikut menubuhkan Rufaqa Corporation disusuli penubuhan GISBH pada 2008 sebagai organisasi perniagaan berasaskan agama dengan doktrinnya masih tarekat Aurad Muhammadiah yang diharamkan. -Berita Harian

Bantu atasi masalah ditanggung, rakan artis anjur ‘Konsert Amal Ali Terra Rossa’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Siapa yang tidak kenal dengan Mohd Ali Ismail atau lebih sinonim dengan panggilan Ali Terra Rossa atau kini melekat dengan gelaran Ali XPDC Militia.  

Peminat industri seni tanahair juga sudah maklum, penyanyi berusia 56 tahun itu kini berdepan dengan situasi kesihatan antaranya angin ahmar, masalah jantung dan beberapa penyakit lain.

Keadaan ini menyukarkan Ali untuk aktif menyanyi dan terpaksa berehat sehingga benar-benar sembuh, manakala tempatnya sebagai vokalis XPDC Militia kini diambil alih sementara oleh Zul Fazli atau Mamu.

Meskipun tabah dengan ujian yang menimpanya, apa yang berlaku sedikit sebanyak menjejaskan kehidupan seharian Ali terutamanya pendapatan keluarga.

Justeru, atas semangat setiakawan dan prihatin, sahabat-sahabat seperjuangan Ali terpanggil untuk

meringankan sedikit sebanyak bebanannya dengan menganjurkan Konsert Amal Ali Terra Rossa.

Konsert ini diilhamkan oleh sahabat lama Ali, yang juga pemain drum kumpulan pertama Ali bernama Kid Power iaitu Fuad Syahrin, sementara Attah Music dengan kerjasama Mentari Merah Entertainment bertindak selaku penganjur.

Fuad berkata, konsert yang menggunakan modal mereka sendiri sememangnya dianjurkan bertujuan membantu Ali sepenuhnya.

“Ia menampilkan barisan artis antaranya kumpulan Terra Rossa, Aju Success, Hatta & RockapaK Band, Korie dan Kroll dengan iringan band Cherish 2000.

“Turut tampil memeriahkan suasana ialah penampilan khas legenda muzik tanah Datuk Malek Ridzuan.

“Manakala antara lagu-lagu yang akan dibawa nanti termasuk lagu-lagu dari album Terra Rossa seperti Bunga Angkasa, Gering, Kehendaknya, Ratapan Memori Usang, Parasit Cinta Di Sula serta lain-lain termasuk dari album solo Ali seperti Kasih dan banyak lagi,” katanya.

Lagu-lagu lain pula antaranya adalah lagu-lagu yang selalu dimainkan oleh Ali dan Terra Rossa semasa ‘jamming’ ketika di awal penubuhan mereka.

“Kumpulan pertama Ali ialah Witness dan lagu yang sering dinyanyikan ialah lagu Search, Scorpions, Wings & Iron Maiden. Nash, Malek Ridzuan dan artis lain pula akan mendendangkan satu atau dua lagu dari album masing-masing.

“Untuk sumbangan pada Ali, kami harapkan jualan tiket yang menggalakkan dari peminat untuk sama-sama menyumbang.

“Sokongan peminat peminat muzik tanah air amatlah diharapkan untuk menjayakan usaha murni ini dengan pembelian tiket Konsert Amal Ali Terra Rossa.

“Konsert ini pasti menghiburkan dengan persembahan lagu lagu pop, nostalgia hits balada, irama rock dan sebagainya yang masih segar serta berterusan menambat perhatian para pendengar,” katanya.

Fuad menyeru peminat agar hadir beramai ramai menzahirkan sokongan untuk Konsert Amal Ali Terra Rossa yang telah tiga dekad lebih menghiburkan kita di samping menghargai jasa beliau terhadap industri seni tanah air.

“Ingatan, sokongan dan doa-doa anda amatlah disanjung tinggi. Anda juga berpeluang untuk menyantuni, beramah mesra dan bergambar bersama artis-artis yang terbabit sebelum dan selepas persembahan konsert nanti.

“Kami juga sedang cuba mendapatkan sumbangan tajaan untuk diserahkan kepada Ali serta wang tajaan ini juga digunakan untuk membayar dewan persembahan dan kru yang terbabit,” katanya yang mengalu-alukan mana-mana pihak untuk menghubunginya sekiranya berminat menaja.

Konsert Amal Ali Terra Rossa akan berlangsung pada Sabtu, 28 September di Warisan Hall Studio, Sijangkang.

Tiket berharga RM100.00 seorang boleh didapati melalui (MM 019-2407994), (Fuad 012-7363322), (Chip Malaya 019-6947784), (Kuna 016-8050202) dan (Linda 019-2333435).

Peperiksaan UPSR dan PT3 wajar diadakan semula – Mahdzir Khalid

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang dimansuhkan pada tahun 2022, dirasakan wajar untuk dikembalikan semula.

Mantan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, peperiksaan berkenaan sebelum ini telah terbukti menjadi teras kepada aspek kemenjadian murid.

“Saya berpandangan bahawa kedua-dua peperiksaan UPSR dan PT3 itu ada nilainya yang tersendiri dan ianya menjadi salah satu komponen yang penting di dalam sistem pendidikan kita sejak sekian lama kita menggunapakainya.

“Saya melihat perkara itu ada kewajarannya untuk kita adakan semula peperiksaan berkenaan kerana ianya telah terbukti menjadi teras kepada aspek kemenjadian murid sepertimana yang kita mahukan untuk anak-anak generasi pewaris masa depan negara kita,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-78 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, di Shah Alam semalam, berkaitan cadangan supaya sistem peperiksaan bagi Tahun 6 di sekolah rendah dan Tingkatan 3 di sekolah menengah dirombak.

Mahdzir berkata, pemansuhan UPSR dan PT3 oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, pada 2022 itu dibuat dalam situasi tergesa-gesa dan tanpa melakukan kajian mendalam.

Katanya, pemansuhan peperiksaan itu yang digantikan dengan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) juga telah memberi kesan kepada penilaian sebenar tahap pencapaian pelajar.

Justeru, saranan oleh Ahmad Zahid itu perlu diambil secara positif oleh Kementerian Pendidikan Malaysia kerana kesan pemansuhan UPSR dan PT3 mula terlihat apabila isu keciciran kira-kira 10,177 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu, berpunca daripada masalah membaca, menulis dan mengira (3М).

“Saya melihat kaedah pentaksiran PBD dan PBS itu tidak menggambarkan tahap sebenar kemampuan pelajar berbanding menerusi penilaian berasaskan sistem peperiksaan.

“Kaedah pentaksiran berkenaan juga saya fikir telah memberi beban tambahan kepada guru-guru kelas,” katanya.

Selain itu,  Mahdzir berkata, ada kedengaran suara-suara daripada ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan kaedah pelaksanaan PBD dan PBS yang telah menjejaskan peluang anak-anak mereka memasuki Sekolah Berasrama Penuh (SBP) atau Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

“Saya juga melihat dari sudut tahap persaingan dan kesungguhan murid Tahun 6 di sekolah rendah dan pelajar di Tingkatan 3 agak berkurangan apabila tidak ada peperiksaan khas seperti UPSR dan PT3 dahulu di mana murid dan pelajar berada dalam suasana persaingan dan kesungguhan yang cukup tinggi untuk mencapai kejayaaan.

“Begitu juga di peringkat ibu bapa yang bersemangat untuk melihat anak-anak mereka berjaya menerusi peperiksaan terbabit dengan memberi lebih perhatian kepada pembelajaran anak-anak mereka yang bakal menduduki peperiksaan,” katanya lagi. 

Untuk rekod, UPSR mula diperkenalkan pada tahun 1988 dengan tujuan asas pada ketika itu adalah 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul.

Manakala PT3 pula mula dilaksanakan pada tahun 2014 bagi menggantikan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).