26.4 C
Kuala Lumpur
Friday, May 1, 2026

KP Maritim Malaysia adakan lawatan kerja rasmi ke BAKAMLA

editormaxinfo@gmail.com

JAKARTA – Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah, baru-baru ini mengadakan lawatan kerja rasmi ke Ibu Pejabat Badan Keamanan Laut Republik Indonesia (BAKAMLA RI) di Jakarta.

Lawatan itu juga menyaksikan kunjungan hormat kepada Kepala BAKAMLA RI, Laksamana Madya TNI Irvansyah.

Ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memperkukuh hubungan dua hala serta memperluas kerjasama strategik antara kedua-dua negara dalam bidang keselamatan dan penguatkuasaan maritim.

Sepanjang pertemuan, kedua-dua pemimpin agensi penguatkuasaan maritim ini membincangkan pelbagai isu berkaitan keselamatan maritim.

Topik yang dibincangkan termasuklah pemantauan dan pengawasan perairan, pencegahan jenayah rentas sempadan, serta pelaksanaan latihan dan operasi bersama.

Ini adalah bagi meningkatkan kecekapan aset dan kesiapsiagaan anggota dalam menghadapi ancaman keselamatan serantau.

Mohd Rosli berkata, komitmen Maritim Malaysia dalam memperkukuh mekanisme kerjasama keselamatan laut melalui pertukaran maklumat risikan, pelaksanaan operasi bersepadu, koordinasi bantuan kecemasan, serta misi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) di perairan yang dikongsi oleh kedua-dua negara.

“Kerjasama erat antara Maritim Malaysia dan BAKAMLA RI perlu diperkukuh dalam menghadapi cabaran keselamatan baharu seperti aktiviti penyeludupan, pencerobohan perairan, serta ancaman lain yang berpotensi menggugat kestabilan serantau.

“Kepercayaan dan keakraban antara kedua-dua agensi menjadi teras utama dalam memastikan perairan Malaysia-Indonesia kekal selamat,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada komitmen bersama, kedua-dua agensi turut memperkukuh pelaksanaan Patroli Koordinasi Optima (PATKOR OPTIMA) MALINDO.

Operasi rondaan bersepadu ini dilaksanakan secara tahunan di perairan negara masing-masing.

Operasi ini menyaksikan penglibatan aset maritim dari kedua-dua negara dalam meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan perairan yang strategik, sekaligus memastikan kelancaran laluan perdagangan dan mengurangkan risiko ancaman jenayah maritim.

Lawatan kerja rasmi ini juga disertai dengan sesi pertukaran cenderamata antara Mohd Rosli dan Laksamana Madya TNI Irvansyah, sebagai simbol keakraban dan kesepakatan dalam memperkukuh hubungan strategik antara Maritim Malaysia dan BAKAMLA RI.

Turut mengiringi beliau dalam lawatan ini adalah Pengarah Bahagian Perisikan Maritim Malaysia (MIND), Laksamana Pertama Maritim Datuk Md Fauzi Othman.

Kerjasama erat antara Maritim Malaysia dan BAKAMLA RI diyakini akan terus meningkatkan keupayaan penguatkuasaan maritim, memperkukuh keselamatan perairan serantau, dan memastikan kestabilan di rantau ini terpelihara.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular