editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Sebuah drama yang menggugah minda dan menyentuh hati, Langit Ke Tujuh akan mengangkat kisah penuh ketaksuban yang mengancam membawa kemusnahan, menampilkan manipulasi ajaran sesat yang berakar dari pengaruh kepercayaan yang membingungkan.
Drama ini disiarkan secara eksklusif di Tonton bermula 23 Januari 2025, setiap Isnin dan Khamis.
Langit Ke Tujuh mengisahkan dunia penuh kegelapan yang dibayangi oleh seorang pemimpin karismatik, Ayah Abdul (Zamarul Hisham), yang mengetuai komuniti agama Tanah Surgo.
Komuniti ini menganggap dirinya sebagai penyelamat umat, namun adakah kepercayaan yang dipimpin oleh Ayah Abdul benar-benar mengarah kepada Tuhan?
Saksikan bagaimana ketaasuban ini membawa kepada penyesatan yang lebih dalam, menjerat mereka yang terperangkap.

Drama ini bukan sahaja memperkenalkan kisah penuh pengajaran tentang bahaya ajaran sesat, tetapi juga menghadirkan elemen keagamaan yang mampu membuka mata penonton.
Diterbitkan oleh Luqsar Kreatif Sdn Bhd dan diarahkan oleh Heykal Hanifah, Langit Ke Tujuh menggabungkan barisan pelakon hebat seperti Zamarul Hisham, Nora Danish, Farahdhiya, Faezah Elai, Chacha Maembong, Nafiz Muaz, dan Datuk Fauziah Nawi.
Kisah ini berpusat pada Ayah Abdul, seorang pemimpin agama yang berpegang pada ajaran yang membenarkan segala bentuk ketaksuban.
Isteri-isteri Ayah Abdul, Kalsom (Nora Danish), Zaynab (Farahdhiya), dan Suhana (Faezah Elai), hidup di bawah cengkaman kepercayaan terbabit.

Namun, kedatangan Zahara (Chacha Maembong), wanita muda yang terpengaruh untuk menjadi isteri keempat, mencetuskan perubahan.
Setelah menyedari kebobrokan ajaran Tanah Surgo, Zahara berusaha keras untuk mengungkapkan kebenaran yang disembunyikan.
Pada masa yang sama, Yusuf (Nafiz Muaz) yang kembali ke Tanah Surgo untuk meluangkan masa bersama ibunya, Mak Ina (Datuk Fauziah Nawi), semakin meragui ajaran itu.
Ketika melihat ibunya semakin terjerat, Yusuf bertekad untuk menyelamatkannya daripada ajaran sesat yang semakin membelenggu.
Memegang watak Ayah Abdul, Zamarul Hisham berkongsi cabaran lakonannya dan mengakui watak Ayah Abdul sangat berbeza dengan apa yang pernah dibawakan sebelum ini.
“Ia benar-benar mencabar kerana membabitkan soal agama. Setiap kali melontarkan dialog yang menggerunkan, saya merasakan kesannya, walaupun hanya lakonan.
“Setiap kali selesai penggambaran, saya perlu beristighfar dan solat taubat untuk membersihkan hati saya.
“Langit Ke Tujuh penuh dengan pengajaran tentang bahaya penipuan, agenda tersembunyi, dan ketaasuban yang boleh membawa kepada kesesatan.
“Saya harap penonton akan mendapatkan kesedaran selepas menontonnya,” katanya.

Drama ini akan membawa penonton merasai pengalaman yang penuh ketegangan dan emosi, membuatkan mereka bertanya-tanya apakah ajaran seperti ini benar-benar wujud.
Jangan lepaskan peluang untuk menonton Langit Ke Tujuh, sebuah drama yang pasti membuka mata dan memberi kesedaran, hanya di Tonton.

