PETALING JAYA – Lokasi pertama Suriavolusi di pusat beli-belah the Curve, Mutiara Damansara yang diadakan Sabtu telah mencuri tumpuan hampir 3,000 pengunjung yang hadir memberi sokongan.
Suria FM dan AC Gas turut berbesar hati menyumbang sebanyak RM 11,000 ke Tabung Bantuan Khas Palestin, kelolaan Yayasan Nurjiwa dengan kerjasama organisasi Kita Fund di pentas Suriavolusi.
Pengurus Besar Suria FM Roslinda Abdul Majid (DJ Lin) berkata, pembukaan tirai Suriavolusi di lokasi pertama dipermudahkan walaupun dalam kadar sederhana bagi menghormati situasi yang sedang melanda rakyat Palestin.
“Kami di Suria FM turut prihatin dengan nasib yang sedang menimpa mereka saat ini, oleh itu sebagai tanda keprihatinan, Suria FM dan AC gas menyalurkan sedikit sumbangan ke ‘Tabung Bantuan Khas Palestin’ di samping berusaha untuk sentiasa mengingatkan pengunjung yang hadir untuk bersama-sama memberikan sokongan juga bersolidariti untuk Gaza,” katanya.

DJ Lin berkata, Suria FM dan AC Gas akan turut bekerjasama dengan organisasi Pertubuhan Cakna Palestin Malaysia di Suriavolusi, KB Mall, Kelantan pada Sabtu ini.
“Pengunjung yang hadir membanjiri pentas Suriavolusi di Kelantan berpeluang untuk berhibur sambil menyumbang menerusi badan organisasi terbabit.
“Suriavolusi di Kelantan akan turut disempurnakan dengan penyerahan sumbangan wang tunai daripada AC Gas kepada Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Dhuafa’ Darul Mizan, Masjid Al- Ridhuan Kubang Kerian dan Pertubuhan Cakna Palestin Malaysia.
“Kami agak berdebar kerana kami tidak tahu penerimaan warga Kelantan terhadap Suria FM bagaimana kerana sudah lama Suria FM tidak menemui peminat di Kelantan.
“Tetapi kami akan berusaha sedaya upaya, di samping terus berdoa agar segalanya dipermudahkan. Buat warga Kelantan, nantikan kedatangan barisan penyampai Suria FM juga berhibur dengan persembahan artis popular antaranya Azlan and The Typewriter, Aju Success, Halim Yazid & Dikir Barat dan Renggo Arrow,” katanya.

Lebih menarik, selain berhibur bersama barisan penyampai dan artis popular tanah air, terdapat juga pertandingan mewarna kanak-kanak yang akan berlangsung dari jam 12 tengah hari sehingga jam 2 petang, terbuka kepada kanak-kanak berusia dari 7 hingga 12 tahun dan kemasukan adalah percuma.

Pelbagai hadiah menarik seperti basikal, skuter kanak-kanak, beg sekolah dan hamper menanti pengunjung.


