editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Penyanyi Muna Shahirah kini tampil dengan single terbaru berjudul Datanglah Sayang, sebuah lagu bergenre dangdut yang dilancarkan pada Disember lalu.
Muna, yang dikenali dengan keupayaannya menyanyikan pelbagai genre, mengakui tiada masalah untuk mencuba genre baru, termasuk dangdut yang menjadi pilihan terbarunya.
“Tak salahkan mencuba sesuatu yang baru?” kata Muna Shahirah mengulas tentang single dangdut pertama dalam kariernya.
Menurut Muna, sebagai seorang penyanyi, beliau perlu bersedia untuk membawa pelbagai jenis lagu kerana industri muzik yang sentiasa berkembang dan mencabar.

“Sebagai penyanyi, kita kena berani dan versatil. Kalau setakat boleh nyanyi satu genre sahaja, susah nak bertahan lama.
“Kalau ada tawaran untuk menyanyi dalam pelbagai jenis genre, kita perlu bersedia. Jadi, saya memang sudah bersedia dari awal lagi,” katanya.
Muna yang baru sahaja mendirikan rumah tangga dengan Sean Tee Yeu Terng Abdullah, seorang lelaki berbangsa Cina Muslim, pada Mei 2023, berkata bahawa kehidupan perkahwinannya amat bahagia.
Walaupun kini lebih banyak menghabiskan masa di rumah sebagai suri rumah tangga, Muna tetap aktif dalam kerjaya seni.
“Alhamdulillah, Sean tidak pernah melarang saya untuk terus menyanyi, malah dia sentiasa memberi galakan.
“Apa yang saya suka lakukan, dia tidak pernah halang selagi ianya tidak salah atau mengaibkan keluarga,” kata Muna yang turut berkongsi pengalamannya menyambut Tahun Baru Cina bersama keluarga suaminya buat kali kedua tahun ini.

“Ini adalah tahun kedua saya merayakan Tahun Baru Cina bersama keluarga Sean. Pengalaman ini sangat menarik kerana saya dapat belajar tradisi yang baru dan berbeza dari kebiasaan.
“Alhamdulillah, keluarga Sean memahami bahawa saya telah memeluk Islam dan mereka tahu apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan,” kata Muna yang turut berkongsi kemeriahannya pada Tahun Baru Cina lalu.
Berkongsi kisah kehidupan selepas perkahwinan, Muna berkata, walaupun kehidupannya lebih tenang dan stabil, beliau masih menerima tawaran persembahan dan berterima kasih kepada FMC Music yang memberi kepercayaan padanya untuk tampil dengan single Datanglah Sayang.
“Saya memang agak berisi sedikit, tapi bukan sebab mengandung ya, mungkin belum ada rezeki lagi.
“Selepas berkahwin, saya banyak masa terluang, jadi bila tiada persembahan, saya lebih banyak berehat di rumah dan mendalami ilmu agama. Mungkin itu sebab badan naik sikit,” katanya.
Muna berkata, dia kini lebih fokus untuk mempelajari Fardhu Ain dan hal-hal agama kerana suaminya, Sean, sering bertanya soalan tentang agama.
“Sekarang ni saya kena banyak belajar tentang agama sebab bila Sean ada pertanyaan, dia akan rujuk saya dulu. Jadi saya memang perlu bersiap sedia,” katanya.

Muna berharap single dangdut itu diterima baik oleh pendengar. Lagu ini adalah hasil ciptaan Mas Dewangga, Jova Devito, dan Sabbala, dan Muna berharap peminat akan terus memberi sokongan.
“Alhamdulillah, walaupun belum ada rezeki untuk cahaya mata, saya bersyukur dengan rezeki yang lain, terutamanya single terbaru ini.
“Saya berharap peminat akan terus menyokong saya sekarang dan selamanya. Insya-Allah selepas ini, saya akan tampil dengan lagu bertema kampung pula,” katanya penuh harapan.
Dengan semangat baru dan lagu-lagu yang semakin berkembang, Muna Shahirah berharap untuk terus aktif dalam industri muzik dan menghiburkan peminat dengan karya-karya yang lebih pelbagai.

