editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – TV3 membuat kejutan kepada umat Islam dengan memperkenalkan seruan azan versi baharu yang penuh makna.
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha besar oleh Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) untuk membawa pendekatan lebih segar, inovatif, dan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Azan yang dibawakan dengan suara syahdu dan merdu oleh Sheikh Abdul Karim Umar Al Makki dijadualkan untuk membuat kemunculan sulung pada 15 Januari 2025.
Pelancaran azan baharu ini disempurnakan dalam program Inspirasi Raudhah: Panggilan Jiwa, Penghubung Iman, yang disiarkan di TV3, TV9, serta Tonton.
Program istimewa ini menampilkan empat siri yang akan memberi pengisian rohani dan inspirasi kepada penonton, dengan menampilkan tokoh agama terkemuka serta tetamu jemputan yang berkongsi hikmah dan pengalaman hidup mereka berdasarkan topik-topik yang mendalam.

Program ini juga boleh disaksikan secara langsung di platform TikTok TV3.
Siri pertama program ini, yang berlangsung pada hari ini di Menara Kuala Lumpur, mengangkat ‘Azan’ sebagai fokus utama.
Program ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Ruzmi Kamarudin, Ketua Jabatan Pengisian Islam, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Aemizureen Kamarudin, Chief Business Development, Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd., serta Ustaz Khairul Anuar Basri sebagai panelis jemputan.
Inspirasi Raudhah: Panggilan Jiwa, Penghubung Iman dihoskan oleh Fedtri Yahya dan Ahmad Noor Sulaiman, mengajak penonton untuk mendalami nilai dan penghayatan azan dalam kehidupan umat Islam.
Panel jemputan yang berwibawa, Ustaz Adnin Roslan dan Ustaz Khairul Anuar Basri, turut mengupas topik-topik yang menyentuh hati tentang azan sebagai simbol perpaduan dan penghubung rohani.
Program ini juga dimeriahkan dengan persembahan istimewa daripada Child From The East, yang menambah keceriaan dan mencipta kenangan manis dalam setiap detik perjalanan siri pertama ini.

Ketua Jabatan Pengisian Islam, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad Ruzmi Kamaruddin berkata, mereka percaya azan adalah lambang perpaduan dan penghubung rohani bagi umat Islam di seluruh dunia.
“Pembaharuan ini bukan sahaja memberi sentuhan segar dari segi visual dan audio, tetapi juga mencerminkan penghormatan kami terhadap tradisi suci yang tidak pernah pudar nilainya.
“Azan baharu ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada pengalaman baharu yang lebih bermakna, sambil memperluas mesej keagamaan melalui platform digital dan televisyen sebagai medium skrin kedua,” katanya.
Dengan pembaharuan ini, TV3 berharap dapat terus menjadi suara inspirasi dan penghubung iman bagi umat Islam, serta membawa mesej keagamaan ke era digital yang lebih luas dan mendalam.

