editormaxinfo@gmail.com
PUTRAJAYA – Kerajaan Malaysia akan melaksanakan tempoh percubaan penggunaan Kod Respons Pantas (QR) bagi rakyat Malaysia bermula bulan ini, bertujuan mempercepatkan proses pelepasan imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Sistem ini akan diperkenalkan di 40 lorong khas di KLIA Terminal 1 (T1) dan KLIA Terminal 2 (T2).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, inisiatif penggunaan kod QR ini adalah sebagai penyelesaian terhadap isu kesesakan yang sering berlaku di pintu masuk negara, terutamanya pada waktu puncak dan musim perayaan.
Dengan teknologi ini, proses pelepasan imigresen dijangka menjadi lebih pantas dan efisien.
Salah satu kelebihan utama penggunaan kod QR adalah masa yang diambil untuk melalui pelepasan imigresen yang kini hanya memakan masa antara lima hingga tujuh saat, berbanding 15 hingga 25 saat menggunakan sistem pintu automatik konvensional.
Selain itu, sistem ini juga dapat meningkatkan tahap keselamatan dan kecekapan perkhidmatan.
“Dengan sistem kod QR ini, pengembara tidak perlu lagi mengeluarkan pasport semasa proses pelepasan imigresen, namun mereka tetap diwajibkan membawa pasport sepanjang perjalanan,” kata Saifuddin.
Walaupun sistem kod QR ini diperkenalkan, kaunter manual serta sistem pagar automatik konvensional masih akan tersedia untuk digunakan seperti biasa.
Inisiatif ini adalah langkah proaktif kerajaan untuk mengurangkan kesesakan di kaunter imigresen, khususnya di KLIA.
Sebelum ini, Disember lalu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah turut mengesahkan bahawa kerajaan sedang menilai penggunaan sistem kod QR sebagai usaha mempercepatkan proses pemeriksaan di kaunter imigresen.
Dengan pengimbasan kod QR yang mengandungi maklumat peribadi dan butiran perjalanan, pengembara dapat menikmati pengalaman perjalanan yang lebih lancar dan tanpa halangan.
Sistem baru ini dijangka memberi manfaat besar kepada pengembara, terutamanya bagi mengatasi kesesakan yang sering berlaku di KLIA pada musim puncak dan cuti umum.

