editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Semua kenderaan berat diwajibkan menjalani pemeriksaan berkala di bawah pengawasan ketat Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk memastikan kenderaan yang tidak selamat tidak dibenarkan berada di jalan raya.
Naib Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Manivanan Gowin berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) harus memperhebatkan usaha penguatkuasaan dengan mengenakan denda yang lebih berat serta tindakan tegas terhadap kenderaan berat yang gagal mematuhi piawaian keselamatan.
Menurutnya, pemantauan secara berkala dan menyeluruh amat penting bagi mencegah kenderaan yang tidak selamat daripada terus beroperasi di jalan raya.
“Kesedaran dan disiplin yang tinggi di kalangan pengendali dan pemandu adalah kunci utama untuk mengurangkan risiko kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengulas tragedi kemalangan maut yang berlaku di Kilometer 204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) yang meragut tujuh nyawa pada Isnin lalu.
Nahas ngeri itu membabitkan lima kenderaan, termasuk bas persiaran yang membawa 27 penumpang, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima, lori, treler, dan Perodua Bezza, berpunca daripada tayar lori yang tercabut dan berada di lorong tengah laluan terbabit.
Manivanan turut menekankan bahawa operator pengangkutan berat harus melaksanakan program latihan keselamatan secara berterusan dan lebih menyeluruh, khususnya untuk pemandu lori dan bas.
Latihan ini harus merangkumi pengetahuan mendalam mengenai pemanduan berhemah, pemahaman terhadap undang-undang jalan raya, serta penerapan prinsip keselamatan yang ketat.
Selain itu, beliau mencadangkan supaya penggunaan teknologi terkini seperti Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) dan telematik diwajibkan untuk semua kenderaan berat.
Teknologi ini dapat memberikan amaran awal mengenai kerosakan yang berpotensi membahayakan, seterusnya memastikan keselamatan yang lebih tinggi di jalan raya.
Manivanan turut menyeru agensi kerajaan, operator pengangkutan, pihak berkuasa tempatan, serta organisasi bukan kerajaan untuk bekerjasama dalam merangka pelan strategik jangka panjang bagi meningkatkan keselamatan jalan raya.
“Kerjasama ini membabitkan penyelidikan berterusan dan pelaksanaan dasar keselamatan yang lebih ketat dan efektif.
“NIOSH juga memiliki pasukan pakar untuk membantu pihak berkuasa dalam mengenal pasti punca kemalangan dan mencari penyelesaian yang lebih baik,” katanya.
Sebagai langkah proaktif, NIOSH juga menawarkan kursus pemanduan berhemah dan latihan berkaitan ISO Pengurusan Trafik yang bertujuan meningkatkan kesedaran di kalangan pemandu dan membantu organisasi mematuhi piawaian keselamatan antarabangsa.
Program-program ini adalah usaha untuk mengurangkan kemalangan membabitkan kenderaan berat, sekaligus meningkatkan keselamatan jalan raya negara.