editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – CIMB Group Holdings Berhad (“CIMB” atau “Kumpulan”) kembali dengan CIMB Artober Art & Soul, acara tahunan yang meraikan seni, budaya dan gaya hidup, bermatlamat untuk menyokong dan memperkasa komuniti seni tanah air seterusnya meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai hab seni dan budaya bertaraf dunia.
Pameran seni ini diadakan dari Jumaat, 25 Oktober hingga Ahad, 27 Oktober di Dewan 1, Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (“MITEC”), Kuala Lumpur, dan masuk adalah percuma.
CIMB Artober dijalankan bagi mengetengahkan minda kreatif dan artistik Malaysia dengan lebih 1,000 karya seni menarik dipamerkan oleh lebih 100 artis seni, diwakili oleh 20 galeri tempatan termasuk Taksu, Sareng, Segaris, Galeri Puteh dan banyak lagi.
Selain itu, pameran seni ini juga akan mempamerkan 30 karya seni penting oleh The AFK Collection, koleksi berkualiti hasil kerja generasi pertama artis kontemporari Malaysia yang didedikasikan untuk memelihara dan memdokumentasikan seni kontemporari di negara ini.
Koleksi itu akan turut mempersembahkan karya seni transformatif Fauzan Omar, salah seorang artis kontemporari yang disegani di Malaysia.

Pelancaran CIMB Artober telah disempurnakan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, bersama Tan Sri Mohd Nasir Ahmad, Pengerusi Kumpulan CIMB serta barisan kepimpinan Kumpulan CIMB.
Royal Sembilan telah mempersembahkan pertunjukan fesyen bertajuk Bungolado dengan mempamerkan koleksi songket istimewa yang ditenun oleh banduan di Penjara Marang, menerusi salah satu program rehabilitasi penjara itu.
Tan Sri Mohd Nasir Ahmad berkata, CIMB Artober Art & Soul telah dibuktikan menjadi penggerak ekonomi yang penting untuk ekosistem seni Malaysia dengan menjana lebih RM15 juta setakat ini dan memanfaatkan sekurang-kurangnya 200 artis sejak mula diperkenalkan.
“Pameran seni ini telah meraih ikutan ramai, mendapat sambutan yang kukuh dan mempunyai jumlah pengunjung yang lebih besar, dan kami berharap agar legasi Artober dapat diteruskan bagi menyumbang kepada pemerkasaan ekonomi artis dan pereka fesyen tempatan.
“Dijalankan seiring sambutan 100 tahun sejarah CIMB, adalah penghargaan mendalam untuk bidang seni, yang membuktikan komitmen kami untuk mengukuhkan ekosistem seni dan budaya Malaysia.
“CIMB yakin terhadap seni sebagai nadi kepada pemeliharaan budaya dan pembentukan komuniti, selain dilihat penting dalam meningkatkan ekonomi kreatif tempatan.
“Kami berbangga dapat memainkan peranan kami dalam menyediakan akses kepada seni buat pengunjung yang lebih besar, memacu reputasi awal Kuala Lumpur sebagai pusat seni terkemuka di Asia Tenggara,” katanya.
Aktiviti yang dijalankan sepanjang hujung minggu ini di pameran berkenaan turut membabitkan beberapa siri pertunjukkan fesyen yang menarik degan memaparkan koleksi sedia dipakai oleh pereka fesyen veteran seperti Dato’ Radzuan Radziwill dan Ezuwan Ismail, serta pelajar fesyen berbakat daripada tiga institusi pengajian tinggi berprestij iaitu Universiti Teknologi MARA (Perak), Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology, dan Limkokwing University of Creative Technology, termasuk remaja berusia 13 tahun, LeiYa Lim.
Sebagai platform untuk pengunjung berinteraksi dan berbincang berkenaan seni, CIMB Artober akan turut mempersembahkan sesi dialog seni yang mengasah minda oleh tokoh terkemuka dalam bidang seni tempatan, dikendalikan oleh personaliti terkenal, Khairy Jamaluddin dan Dato’ Tiffanee Marie Lim dari Limkokwing University of Creative Technology.
Sempena sambutan ulang tahun ke-100 CIMB dan gerakan sosial baharunya, Kita Bagi Jadi, yang meraikan sejarah panjang Bank dalam memperjuangkan kesamarataan ekonomi dalam kalangan masyarakat serta menyokong bakat dalam pelbagai bidang, CIMB Artober juga akan mempersembahkan beberapa siri persembahan oleh pemuzik muda daripada Malaysian Philharmonic Youth Orchestra (“MPYO”) yang akan dijalankan sepanjang hujung minggu ini.
Sebagai sebahagian daripada CIMB Artober, pemegang kad CIMB akan berpeluang untuk menikmati diskaun 10 peratus untuk pembelian RM10,000 dan 15 peratus diskaun untuk perbelanjaan lebih RM25,000 dalam satu resit tunggal dengan mana-mana kad debit, kad kredit atau kad prabayar CIMB di galeri yang turut serta.

