33 C
Kuala Lumpur
Friday, April 17, 2026

Suria FM rangkul kategori ‘Rancangan Agama Radio Terbaik’  menerusi Anugerah Seri Angkasa 2024

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Suria FM sekali lagi melakar sejarah apabila berjaya merangkul anugerah menerusi kategori Rancangan Agama Radio Terbaik melalui program “30 Hari Mencari Cinta Ilahi bersama Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa” pada majlis malam kemuncak Anugerah Seri Angkasa (ASA) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam tadi.

Diterbitkan oleh Farhana Najlaa, program “30 Hari Mencari Cinta Ilahi bersama Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa” itu mengangkat tema cinta dan pengabdian kepada Tuhan yang disampaikan melalui perkongsian rohani, tazkirah, dan pengalaman kehidupan masyarakat.

Kejayaan ini membuktikan keupayaan Suria FM dalam menyampaikan mesej keagamaan dengan pendekatan yang lebih dekat kepada pendengar.

Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid (DJ Lin) berkata, pihaknya bersyukur dan terima kasih atas kemenangan ini.

“Kemenangan ini adalah hasil usaha gigih team Suria FM, terutamanya penerbit Farhana Najlaa dan semua yang terbabit dalam penghasilan program ini.

“Program “30 Hari Mencari Cinta Ilahi bersama Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa” bukan sahaja berjaya mendidik hati, tetapi juga berjaya menyentuh perasaan pendengar.

“Anugerah ini adalah penghargaan atas komitmen kami dalam menghasilkan kandungan yang bermanfaat, relevan, dan bermakna untuk masyarakat,” katanya.

Anugerah Seri Angkasa (ASA) adalah acara berprestij dalam industri penyiaran Malaysia yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi.

Anugerah ini diberikan kepada program dan personaliti penyiaran terbaik di Malaysia, dan pemenang ditentukan sepenuhnya oleh panel juri profesional berdasarkan kualiti produksi, kreativiti, dan impak kandungan.

Sebanyak 60 kategori (40 kategori televisyen, 16 kategori radio, 4 kategori media baharu) dipertandingan bagi ASA 2024.

Suria FM amat gembira di atas pengiktirafan ini dan akan terus komited untuk memberikan yang terbaik kepada pendengar dengan pelbagai program berkualiti tinggi dan berinformasi.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular