25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 17, 2026

Zalif digugurkan dari Dang Anum (The Untold Story) dan Cinta Ahmad Mutawakkil

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Berbaki kurang dua minggu, Persatuan Seni dan Budaya Redholah (The Redholah) terpaksa menggugurkan pelakon Zalif Sidek dari dua judul teater yang bakal dipentaskan.

“Kami terpaksa mengambil keputusan ini demi memastikan kelangsungan dan perjalanan dua teater yang masih dalam proses latihan,” kata pengarah, Amirul Haswendy Ashari.

Amirul berkata, The Redholah telah memberi peluang kepada pelakon itu kerana percaya pada bakatnya namun atas sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan, dia diganti dengan pelakon lain.

“Sebelum ini kami menawarkan pelakon itu untuk dua judul teater yakni Teater Cinta Ahmad Mutawakkil (CAM) dan teater Dang Anum (The Untold Story) (DATUS).

“Peluang itu ditawarkan atas dasar kepercayaan sebagai seorang rakan dan dia sendiri beberapa kali beritahu mahu menimba pengalaman bermain di pentas teater,” kata Amirul.

Susulan itu, Amirul telah menghubungi pelakon itu dan dia menerima keputusan pengguguran itu dengan hati terbuka.

“Sebelum ini, kami telah membawa nama Zalif ke peringkat pengurusan Perbadanan Putrajaya dan dipersetujui untuk menjadi salah seorang artis terbabit dalam CAM.

“Begitu juga untuk DATUS, kami telah melakukan sesi fotografi untuk poster promosi selain beberapa kali latihan bersama,” katanya.

Pun begitu, Amirul enggan berkongsi sebab utama pengguguran Zalif sebaliknya menganggap sebagai ‘tiada rezeki’ untuk bekerjasama pada masa ini.

Watak Zalif di dalam DATUS digantikan dengan Aman Salleh, pempengaruh Tiktok yang juga pelakon komedi sedang meningkat naik yang bakatnya dicungkil dari program Awesome Raja Lawak.

Manakala penyampai radio HotFM, AG Hafiz pula menggantikannya dalam Teater Cinta Ahmad Mutawakkil.

The Redholah bakal mementaskan dua judul teater yakni Cinta Ahmad Mutawakkil pada 20 sehingga 22 September terbitan Perbadanan Putrajaya bersempena Festival Budaya Putrajaya dan Dang Anum (The Untold Story) terbitan The Redholah pada 27 sehingga 29 September 2024.

Antara pelakon terbabit adalah Shah Iskandar, Mimi Enirda, Geoff Andre Feyarts, Adam Shahz, Along Eyzendy, AG Hafiz dan Ain Sufia.

Kedua-dua judul itu bakal dipentaskan di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Putrajaya.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular