25.2 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 2, 2026

Permohonan MyKid dibuka semula bermula 29 Julai ini

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Permohonan MyKid akan dibuka semula di semua Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bermula 29 Julai ini.

JPN dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan permohonan MyKid sebelum ini ditangguhkan sementara pengeluarannya berikutan kekurangan bekalan cip bagi kad mentah terbabit.

“Bagi yang sudah membuat permohonan sebelum ini (mempunyai resit permohonan MyKid), namun cetakannya ditangguhkan, pemohon diminta untuk membuat pengesahan cetakan di portal rasmi JPN di www.jpn.gov.my sebelum hadir membuat kutipan di Pejabat JPN yang dipilih.

“Tempoh semakan adalah tiga bulan bermula 29 Julai sehingga 31 Oktober ini.

“Selepas tempoh ini, status permohonan MyKid akan terbatal dan permohonan baharu perlu dibuat semula,” katanya.

Kenyataan itu berkata, kerjasama pemohon yang berkenaan diperlukan bagi memastikan MyKid yang dicetak akan dituntut oleh pemohon, sekali gus mengelakkan lambakan MyKid yang akan merugikan pihak kerajaan.

Pada Mei lalu, media melaporkan isu cetakan MyKid yang tertunggak akibat masalah perolehan bekalan mikrocip semasa pandemik Covid-19 dijangka dapat diselesaikan pada Julai ini secara berperingkat di seluruh negara.

Ketua Pengarah JPN, Badrul Hisham Alias dilaporkan berkata, ia sekali gus menyelesaikan 136,238 permohonan MyKid yang tertunggak dengan 135,459 permohonan bagi tahun 2023 dan 779 permohonan bagi 2024 setakat Mac lalu.

“Buat masa ini kita masih lagi menunggu bekalan kad MyKid, yang mana kita memberi surat setuju terima dari pembekal pada April lalu dan sesi pengujian sudah dilakukan.

“Untuk itu, kita harap ibu bapa dapat bersabar dan apabila sampai masanya permohonan yang dibuat akan dicetak dan ibu bapa boleh mengambilnya selepas diberitahu kelak,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular