editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Ameer Safone jenama minyak wangi terkenal dengan bangganya memperkenalkan tiga koleksi minyak wangi eksklusif, dicipta khas untuk penggemar minyak wangi.
Bertemakan ‘‘Celebrating Resilience, the New Beginning’’, majlis pelancaran telah berlangsung meriah di WORQ KL Sentral, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Ameer Safone adalah jenama di bawah Ameer Safone Ventures, sebuah syarikat yang beroperasi di Malaysia, komited untuk meneroka pasaran minyak wangi tempatan dan juga di peringkat antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif Ameer Safone Ventures, Amirul Safuan Mohd Ishak berkata, beliau amat berbesar hati untuk memperkenalkan Ameer Safone.

“Saya percaya bahawa jenama kami berpotensi untuk menjadi sebahagian daripada kejayaan integral Malaysia dalam usaha mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Saya juga percaya ia mampu bersaing melalui sokongan daripada pihak kerajaan, memberi keyakinan dan membuka lebih banyak peluang ekonomi khususnya kepada golongan orang kurang upaya (OKU) untuk lebih aktif dalam pembangunan ekonomi negara,” katanya.
Majlis pelancaran itu dirasmikan oleh mantan pengerusi kumpulan CIMB Tan Sri Nazir Razak.
Turut hadir Datuk Dr Ras Adiba Radzi, Pengasas dan Presiden Persatuan OKU Sentral yang juga bekas Senator Dewan Negara mewakili komuniti OKU, dan Ketua Pegawai Eksekutif WORQ Stephanie Ping.
Berkongsi mengenai cetusan perniagaan, Amirul yang memulakan langkahnya dalam bidang keusahawanan sejak setahun yang lalu, mengakui bahawa dunia minyak wangi ini tidak asing bagi dirinya.
Beliau mempunyai minat yang mendalam dan juga seorang pengumpul koleksi minyak wangi jenama terkemuka dari seluruh dunia sejak sekian lama.
‘‘Minyak wangi mempunyai tempat yang istimewa di hati saya kerana ia mengingatkan saya kepada Allahyarhamah ibu tercinta.
“Ia benar-benar berfungsi sebagai sebuah mesin masa yang membawa kita kembali kepada memori, kenangan terindah atau detik-detik nostalgia,’’ kata Amirul pada majlis pelancaran Ameer Safone.
Amirul berkata, meskipun mempunyai persaingan sengit di dalam industri ini, khususnya bagi produk tempatan, beliau melihatnya sebagai sebuah peluang dan bukan sebagai halangan untuk meneroka potensi dalam bidang keusahawanan.
‘‘Pada mulanya, ramai yang ragu-ragu. Namun, dengan latar belakang saya dalam bidang perbankan dan pengurusan kewangan, saya memanfaatkan kepakaran dan pengalaman saya untuk menceburi bidang baharu.
“Saya kekal yakin dan sering mendapat sokongan yang cukup luar biasa daripada pelbagai agensi termasuk rakan usahawan. Ini mendorong saya untuk terus mengejar cita-cita,’’ katanya.
Amirul menekankan bahawa sokongan pengguna melalui kempen keutamaan dan pembelian barangan tempatan hari ini dilihat sebagai satu bonus kepada usahawan tempatan sepertinya, untuk memacu kehadapan.
Sementara itu, Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif WORQ Stephanie Ping berkata, pertama kali bertemu dengan Amirul di salah satu cara rangkaian perniagaan mereka, WORQ Quarterly NetWORQ, beliau sangat kagum dengan keupayaan Amirul untuk berhubung dan mencari rakan usaha sama.

“Dia berjaya memanfaatkan kekuatan komuniti kami dan menggunakan ruang kerja bersama untuk melancarkan perniagaannya.
“Dari mula mencari ruang kerja kepada penyertaannya dalam acara kami, yang membawanya hubungan baharu, kisah Amirul adalah bukti semangat keusahawanan Malaysia dan kuasa masyarakat dalam membantu individu mencapai kejayaan mereka.
“Kami amat berbangga dengan kesungguhan Amirul. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokongnya kerana menjayakan perkara ini, termasuk Tan Sri Nazir Razak.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua ahli komuniti dan penyokong kami dan berharap dapat menunjukkan kepada semua orang di Malaysia bahawa keusahawanan boleh diakses oleh sesiapa sahaja, tanpa mengira keadaan,” katanya.
Ketidakupayaan Bukan Penghalang
Dalam berkongsi mengenai motivasi diri dan sumber inspirasi, Amirul menjelaskan bahawa beliau tidak pernah menganggap ketidakupayaan atau statusnya sebagai orang kurang upaya (OKU) sebagai batu penghalang dalam membina empayar perniagaan.
Mengekalkan pemikiran yang positif, Amirul yakin bahawa tiada yang mustahil, dan kejayaan boleh digapai dengan semangat dan tekad yang kuat.
‘‘Terbabit dalam kemalangan pada tahun 2020 secara drastik telah mengubah hidup saya. Daripada menjalani kehidupan biasa, saya terlantar di katil hampir dua tahun.
“Walau bagaimanapun, saya enggan membiarkan kekurangan fizikal saya menjadi penghalang untuk saya berjaya. Sebagai seorang Muslim, saya berpandukan kepada kepercayaan bahawa Allah SWT telah menjadikan kita manusia berakal dan secara lahiriah, kita mempunyai daya tahan untuk berkembang maju.
“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), bantuan zakat, institusi korporat serta keluarga dan rakan-rakan atas sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi sepanjang perjalanan saya dalam pemulihan,’’ katanya.

Amirul percaya bahawa terdapat banyak lagi pengalaman dan pencapaian yang masih belum diraih.
Justeru, beliau berazam untuk terus bangkit dan cuba mengejar kejayaan walaupun di sebalik kekurangan dirinya kini. Beliau mendapat inspirasi daripada ramai individu kurang upaya yang berjaya dalam pelbagai bidang.
‘‘Satu perkara yang saya percaya adalah, kita harus kreatif dalam kehidupan ini. Kini terdapat pelbagai pelbagai kemudahan teknologi yang boleh membantu daya kreativiti kita walaupun dengan batasan fizikal, dan saya menggunakan kesemuanya.
“Ramai berkata, bidang keusahawanan mempunyai banyak risiko yang bakal dihadapi, tetapi hakikatnya semua perkara ada risiko dalam hidup ini.
“Perkara yang menarik dalam dunia keusahawanan ini adalah anda boleh mengawal dan melakar perjalanan anda sendiri,’’ katanya.
Amirul juga tidak menafikan kekuatan dan keberanian yang dimiliki selama ini diwarisi daripada Allahyarhamah ibunya yang turut berkecimpung dalam dunia perniagaan dan banyak mencurahkan ilmu pengetahuan yang kini dimanfaatkan dengan sebaiknya.
‘‘Bagi saya, Allahyarhamah ibu memang seorang pejuang. Mesikipun beliau diuji dengan kanser tahap empat, beliau masih boleh kekal tenang dan positif, manakala ayah saya sentiasa menjadi penyokong utama.
“Atas sebab itu, saya dedikasikan jenama Ameer Safone sebagai sebuah epitome keberanian dan daya tahan yang turut melambangkan semangat saya,’’ katanya lagi.
Ameer Safone memperkenalkan tiga haruman minyak wangi dalam koleksi sulung iaitu ‘‘Srikandi’’, ‘‘Bahaduri’’, dan ‘‘Mahkota’’.
Setiap haruman unik dihasilkan khusus bagi melengkapi personaliti si pemakai mengikut citarasa masing-masing, menggunakan bahan semula jadi.
‘‘Srikandi’’ menampilkan aroma manis yang melambangkan keanggunan, keyakinan dan feminin.
‘‘Bahaduri’’ bercirikan lelaki moden yang tampan bergaya, melambangkan kekuatan, keberanian, serta ketenangan.
‘‘Mahkota’’ menawarkan haruman yang diilhamkan oleh budaya Timur Tengah, membangkitkan unsur kemewahan dan misteri.
Produk dan sebarang maklumat lanjut boleh didapati di laman sesawang www.ameersafone.com.

