KUALA LUMPUR – Syarikat-syarikat Malaysia, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), disaran merebut peluang mengembangkan perniagaan ke peringkat antarabangsa menerusi penyertaan dalam MEGA HALAL Bangkok 2026, yang dijangka menjadi antara platform perdagangan halal terbesar dan paling berpengaruh di Asia Tenggara.
Acara yang akan berlangsung pada 15 hingga 17 Julai 2026 di Queen Sirikit National Convention Center (QSNCC), Bangkok, bakal menghimpunkan pemain industri halal, pembeli perdagangan, pengimport, pengedar dan pelabur dari seluruh ASEAN serta pasaran global bagi meneroka peluang kerjasama strategik dalam sektor halal yang terus berkembang pesat.
Pameran itu dianjurkan oleh Comasia Limited dengan kerjasama SHAPERS, pengasas kepada Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) dan HALFEST Malaysia, selain Thailand Food Institute (NFI) serta Thai Muslim Trade Association (TMTA).
Lebih signifikan, MEGA HALAL Bangkok 2026 akan berlangsung serentak dengan MEGA SHOW Bangkok, sekali gus dijangka meningkatkan kehadiran pembeli perdagangan antarabangsa dan memperkukuhkan kedudukan Thailand sebagai hab perdagangan utama di rantau ASEAN.
Penganjuran berskala besar itu dijangka menghimpunkan lebih 200 pempamer daripada lebih 10 negara dan wilayah, membabitkan pelbagai sektor industri halal termasuk makanan dan minuman, kosmetik, penjagaan diri, kesihatan dan kesejahteraan, farmaseutikal, fesyen Muslim, gaya hidup serta teknologi halal.

Antara negara yang telah mengesahkan penyertaan ialah Malaysia, Thailand, Indonesia, Korea Selatan, Jepun, Tanah Besar China dan Taiwan.
Ia sekali gus menjadikan pameran itu sebagai platform strategik untuk mempromosikan inovasi, teknologi dan produk halal keluaran Asia kepada pasaran antarabangsa.
Bagi memastikan penyertaan lebih meluas, pihak penganjur telah melaksanakan siri jelajah promosi di beberapa hab halal utama termasuk Malaysia, Thailand, Indonesia, Jepun dan China sejak beberapa bulan lalu.
Kempen promosi itu turut mendapat sokongan pelbagai organisasi halal serta rakan media antarabangsa dari Afrika Selatan, Korea Selatan, Pakistan dan Bangladesh bagi memperkukuhkan capaian kepada komuniti perniagaan halal global serta menarik lebih ramai peserta dan pembeli perdagangan.
Di Indonesia, kerjasama dengan organisasi terkemuka seperti Halal Indo dan Debindo turut memainkan peranan penting dalam menggalakkan penyertaan syarikat tempatan, sekali gus memperkukuhkan penglibatan negara yang mempunyai populasi Muslim terbesar di dunia dalam pameran berkenaan.
Sebagai sebahagian daripada strategi memperluaskan rangkaian pembeli profesional antarabangsa, kempen promosi berskala besar turut dilaksanakan di beberapa lapangan terbang utama rantau ini termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Bangkok Suvarnabhumi, Soekarno-Hatta Jakarta dan Hong Kong International Airport.
Dalam masa sama, beberapa syarikat peruncitan terkemuka Asia seperti Big C dan Lotus’s dari Thailand serta Indomaret dari Indonesia telah mengesahkan penyertaan sebagai pembeli perdagangan, sekali gus membuka ruang kepada pempamer untuk menjalin kerjasama perniagaan secara terus dengan rangkaian pengedaran terbesar di rantau ini.

Bagi menggalakkan lebih banyak penyertaan antarabangsa, pihak penganjur turut menawarkan insentif eksklusif kepada pembeli perdagangan dan peserta yang layak berupa penginapan percuma selama dua malam di hotel lima bintang mesra halal.
Selaras dengan usaha memperkukuhkan pengalaman hospitaliti halal, Al Meroz Hotel Bangkok, hotel mewah pertama di Thailand yang diperakui halal, telah dilantik sebagai Rakan Hotel Rasmi MEGA HALAL Bangkok 2026.
Pihak penganjur percaya penyertaan dalam pameran ini mampu membuka lebih banyak peluang kepada syarikat Malaysia untuk mengembangkan rangkaian perniagaan, mendapatkan rakan strategik baharu serta menembusi pasaran halal ASEAN dan global yang kini dianggarkan bernilai trilion dolar.
Sehubungan itu, syarikat Malaysia khususnya pengeluar makanan, kosmetik, farmaseutikal, fesyen Muslim, produk gaya hidup halal serta PKS digalakkan mengambil peluang menyertai MEGA HALAL Bangkok 2026 sebagai platform memperluaskan eksport dan meningkatkan daya saing di peringkat antarabangsa.
Pendaftaran penyertaan kini dibuka dan orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut serta membuat pendaftaran melalui laman web rasmi MEGA HALAL Bangkok 2026 di www.megahalal-bangkok.com.

