editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Populariti sukan pickleball yang semakin mencuri perhatian rakyat Malaysia kini diterjemahkan ke dalam sebuah telefilem romantik berjudul Dink! I Love You yang boleh ditonton secara eksklusif menerusi platform penstriman UTV.
Diarahkan oleh Boy Koci dan diterbitkan oleh Motio Studio, telefilem berkenaan menampilkan gandingan pelakon muda popular Anna Jobling, Arfie Shah dan Aedy Ashraf dalam sebuah kisah yang menggabungkan elemen percintaan, persahabatan serta semangat kesukanan.
Keunikan naskhah ini terletak pada pemilihan pickleball sebagai latar utama penceritaan, selari dengan perkembangan sukan terbabit yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat tanpa mengira usia.
Bagi Arfie Shah, penglibatan dalam telefilem itu menjadi pengalaman yang cukup bermakna apabila minatnya terhadap pickleball akhirnya membawanya kepada peluang melakonkan watak seorang pemain sukan tersebut di layar.
Menurutnya, beliau tidak pernah menyangka aktiviti yang pada mulanya dilakukan sekadar untuk mengisi masa lapang akan membuka ruang kepada pengalaman baharu dalam kerjaya seni.

“Sejujurnya saya memang tak pernah sangka sukan yang saya paling minat, iaitu pickleball, akhirnya membuka pintu kepada saya untuk melakonkan watak sebagai atlet pickleball.
“Pada mulanya saya hanya bermain untuk berseronok dan mengisi masa lapang, tetapi takdir membawa saya ke set penggambaran.
“Bila dikenang semula, semuanya berlaku dengan begitu pantas dan saya sangat bersyukur dengan peluang ini,” katanya.
Dalam telefilem itu, Arfie memegang watak Ghazali, seorang pelajar cemerlang yang tidak mempunyai pengalaman dalam bidang sukan sebelum dipilih menjadi pasangan baharu pemain pickleball berbakat, Diba, lakonan Anna Jobling.
Menurut Arfie, perjalanan watak Ghazali menjadi antara aspek yang paling menarik kerana ia menggambarkan proses pembelajaran, keyakinan diri dan usaha berterusan dalam mencapai kejayaan.

Beliau berkata, mesej yang dibawa menerusi watak berkenaan cukup dekat dengan realiti kehidupan apabila membuktikan kejayaan tidak semestinya bergantung kepada bakat semula jadi semata-mata.
“Dia seorang pelajar yang pintar, tetapi langsung tidak mempunyai pengalaman dalam sukan.
“Cabaran terbesar adalah untuk menunjukkan proses perubahan seorang individu yang pada awalnya serba kekok sehingga akhirnya berani mencabar dirinya sendiri.
“Bagi saya, Ghazali membawa mesej yang sangat dekat dengan kehidupan. Dia membuktikan seseorang tidak perlu mempunyai bakat sejak awal untuk berjaya.
“Dengan disiplin, usaha yang konsisten dan sokongan daripada orang di sekeliling, kita mampu berkembang menjadi versi diri yang lebih baik,” katanya.

Arfie turut menyifatkan peluang bekerjasama dengan Anna Jobling dan Aedy Ashraf sebagai pengalaman berharga yang banyak membantu meningkatkan keyakinannya sepanjang penggambaran.
Katanya, kedua-dua pelakon itu sentiasa memberikan sokongan serta berkongsi pengalaman bagi memastikan setiap babak dapat dilaksanakan dengan baik.
Sementara itu, Anna Jobling mengakui dirinya tidak mempunyai sebarang pengalaman bermain pickleball sebelum menerima tawaran membintangi telefilem berkenaan.
Namun, demi memastikan wataknya sebagai Diba dapat dipersembahkan secara meyakinkan, beliau mengambil inisiatif mempelajari asas permainan dan menjalani latihan sebelum penggambaran dimulakan.
Menurut Anna, pengalaman itu membuka peluang untuk beliau memahami dengan lebih mendalam mengenai sukan yang kini sedang berkembang pesat di Malaysia.

“Demi menjayakan watak dan memberikan persembahan yang meyakinkan, saya meluangkan masa untuk mempelajari asas permainan serta menjalani latihan sebelum penggambaran bermula.
“Saya melihat peluang ini sebagai satu pengalaman yang sangat menyeronokkan kerana bukan saja dapat mencuba sesuatu yang baharu, malah memahami semangat kesukanan yang menjadi tunjang cerita ini,” katanya.
Beliau turut berharap penonton dapat merasai kesungguhan seluruh pasukan produksi dalam menjayakan telefilem tersebut selain menikmati mesej positif yang cuba disampaikan menerusi jalan ceritanya.
Dalam pada itu, Presiden UTV, Datuk Adzliana Hasan berkata pihaknya sentiasa mencari pendekatan baharu dalam menghasilkan kandungan yang relevan dengan minat dan perkembangan semasa masyarakat.
Katanya, pemilihan pickleball sebagai tema utama dibuat kerana sukan berkenaan kini berkembang pesat dan semakin popular dalam kalangan rakyat Malaysia.
Menurut beliau, industri kreatif perlu berani meneroka idea baharu agar kandungan yang dihasilkan mampu memberi kelainan kepada penonton.
“Kalau sebelum ini saya pernah menghasilkan drama berunsurkan komedi romantik, percintaan, seram dan thriller, kali ini kami mahu tampil dengan sesuatu yang berbeza.
“Pickleball sedang menjadi fenomena dan dimainkan oleh pelbagai lapisan masyarakat.
“Kalau badminton atau bola sepak sudah banyak dipaparkan dalam drama, mengapa tidak kita cuba sesuatu yang baharu? Harapan saya, telefilem ini bukan sahaja menghiburkan, malah dapat memperkenalkan lagi sukan pickleball kepada masyarakat,” katanya.

Dink! I Love You mengisahkan perjalanan Diba yang membuat keputusan meninggalkan pasangan regunya, Arman, sebelum memilih Ghazali sebagai rakan sepasukan baharu.
Hubungan yang pada awalnya terjalin atas dasar sukan akhirnya berkembang menjadi kisah cinta yang penuh cabaran dan emosi ketika mereka berusaha memburu kejayaan dalam pertandingan pickleball.
Selain mengetengahkan kisah romantik, telefilem ini turut membawa mesej mengenai pentingnya kepercayaan, semangat berpasukan, disiplin dan persahabatan dalam mencapai impian.
Dengan gabungan tema sukan yang sedang popular, jalan cerita ringan dan penampilan barisan pelakon terkenal, Dink! I Love You dilihat berpotensi menarik perhatian peminat drama tempatan serta memperkenalkan sukan pickleball kepada khalayak yang lebih luas.
Telefilem itu mula ditayangkan sejak 18 Jun lalu dan boleh ditonton secara eksklusif menerusi aplikasi UTV.

