editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Malaysia Music Rights Alliance (MMRA) menggesa kerajaan dan ahli Parlimen Malaysia untuk memperkukuh serta menegakkan undang-undang hak cipta negara bagi memastikan pembangunan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) tidak mengeksploitasi karya muzik dan kandungan kreatif berhak cipta tanpa persetujuan pemegang hak yang sah.
Menurut MMRA, perkembangan pesat teknologi AI menawarkan pelbagai manfaat kepada masyarakat dan industri, namun pada masa yang sama menimbulkan kebimbangan serius terhadap perlindungan harta intelek, khususnya dalam sektor muzik yang membabitkan penulis lagu, penyanyi, pemuzik, penerbit rakaman audio dan video serta pemegang hak cipta.
Sebagai langkah melindungi kepentingan industri muzik negara, MMRA telah menghantar surat terbuka bersama kepada Perdana Menteri, Menteri Digital, Menteri Komunikasi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Pengawal Hak Cipta merangkap Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) serta Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Kecerdasan Buatan Negara (NAIO).
Surat terbabit menggariskan kebimbangan mendesak industri muzik berhubung hala tuju tadbir urus AI di Malaysia dan keperluan mewujudkan perlindungan undang-undang yang lebih kukuh terhadap karya muzik serta rakaman bunyi yang berhak cipta.

MMRA berkata, walaupun AI berpotensi meningkatkan produktiviti dan inovasi dalam pelbagai sektor, penggunaan teknologi itu tanpa kawalan yang sewajarnya boleh membawa kepada penyalahgunaan kandungan berhak cipta.
Antara isu utama yang dibangkitkan ialah penggunaan muzik, rakaman bunyi dan harta intelek lain tanpa kebenaran pemilik hak cipta bagi tujuan melatih model AI.
Dalam masa yang sama, perikatan terbabit menyambut baik perbahasan yang berlangsung di Parlimen baru-baru ini berkaitan isu muzik janaan AI dan menyifatkannya sebagai langkah positif ke arah menangani cabaran baharu yang muncul dalam ekosistem industri kreatif.
MMRA turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan kerajaan dan ahli Parlimen dengan menawarkan kepakaran industri bagi membantu membentuk dasar yang lebih berkesan.
Menyentuh mengenai cadangan pengecualian Perlombongan Teks dan Data (Text and Data Mining – TDM), MMRA menegaskan pendiriannya untuk menolak sebarang usaha yang membolehkan pembangun AI menggunakan karya berhak cipta tanpa kebenaran atau pampasan kepada pencipta.

Menurut perikatan itu, sebarang cadangan untuk memperkenalkan pengecualian TDM dalam Akta Hak Cipta 1987 atau mana-mana perundangan berkaitan perlu diteliti dengan berhati-hati kerana berpotensi menjejaskan hak pencipta dan pemilik karya.
MMRA turut menegaskan persetujuan jelas daripada pemegang hak cipta mesti menjadi asas kepada sebarang penggunaan kandungan berhak cipta oleh pembangun AI.
Mereka berpandangan tiada karya berhak cipta seharusnya digunakan untuk melatih atau membangunkan sistem AI tanpa kebenaran terlebih dahulu daripada pencipta dan pemilik hak yang sah.
Menurut MMRA, ahli-ahlinya telah membangunkan satu rangka kerja bersama yang berasaskan prinsip bahawa hak cipta lahir daripada kreativiti, pengalaman, kemahiran dan usaha manusia, bukannya daripada sistem yang dijana oleh mesin.
Justeru, kandungan yang dihasilkan sepenuhnya oleh AI tidak seharusnya menikmati perlindungan hak cipta yang sama seperti karya yang dihasilkan oleh manusia.
Selain isu kebenaran penggunaan karya, MMRA turut menyeru supaya tahap ketelusan dan akauntabiliti dalam pembangunan AI dipertingkatkan.
Pembangun AI dicadangkan untuk diwajibkan menyimpan rekod lengkap berkaitan bahan berhak cipta yang digunakan dalam set data latihan bagi membolehkan pemegang hak mengesahkan penggunaan karya mereka serta menguatkuasakan hak yang diperuntukkan oleh undang-undang.
Perikatan itu juga menyokong pelaksanaan pelabelan mandatori terhadap kandungan yang dihasilkan oleh AI.
Langkah terbabit dianggap penting bagi melindungi pengguna serta memelihara integriti ekosistem industri kreatif negara.
Menurut MMRA, orang ramai berhak mengetahui sama ada sesuatu muzik atau kandungan yang digunakan dihasilkan oleh manusia atau dijana oleh teknologi AI.
Dalam hal ini, MMRA berpandangan bahawa penggunaan piawaian penanda air digital (watermarking) dan pelabelan yang jelas dapat membantu mengelakkan kekeliruan antara karya ciptaan manusia dan kandungan yang dijana mesin.
Langkah itu juga dilihat mampu mengurangkan penyebaran kandungan deepfake serta penggunaan karya AI yang tidak dibenarkan.
MMRA turut memberi amaran tanpa perlindungan yang mencukupi, sistem AI berisiko menggunakan lagu, suara artis, persembahan dan pelbagai karya kreatif lain untuk menghasilkan kandungan yang bersaing secara langsung dengan pencipta asal tanpa pengetahuan, persetujuan atau pampasan yang adil.

Keadaan ini bukan sahaja boleh menjejaskan sumber pendapatan penggiat seni, malah berpotensi mengurangkan nilai dan keaslian seni ciptaan manusia dalam industri kreatif negara.
Menurut MMRA, industri kreatif antara pemacu penting pertumbuhan ekonomi Malaysia. Sektor terbabit secara konsisten menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), mewujudkan peluang pekerjaan dan menjana hasil cukai kepada kerajaan.
Berdasarkan kajian impak ekonomi yang dijalankan oleh firma perunding antarabangsa Price Waterhouse Coopers atas penugasan Recording Industry Association of Malaysia (RIM) bagi tempoh 2016 hingga 2020, industri muzik menjana output ekonomi tahunan sebanyak RM19.4 bilion, menyokong lebih 111,000 peluang pekerjaan serta menyumbang kira-kira RM531 juta hasil cukai kepada kerajaan.
Sehubungan itu, MMRA menegaskan perlindungan harta intelek pada masa kini bukan lagi sekadar keperluan perundangan, sebaliknya merupakan satu keperluan ekonomi yang kritikal.
Rangka kerja hak cipta yang kukuh dan berkesan diperlukan bagi memastikan sumbangan sektor muzik kepada ekonomi negara dapat terus dipertahankan serta berkembang tanpa digugat oleh ancaman cetak rompak digital dan eksploitasi kandungan berhak cipta.
MMRA berkata, usaha melindungi hak pencipta hari ini adalah pelaburan penting bagi menjamin masa depan ekonomi kreatif Malaysia yang lebih mampan, berdaya tahan dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

