editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini semakin menjadi pilihan utama dalam kalangan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sekali gus menepis tanggapan lama bahawa laluan itu hanya sesuai dijadikan pilihan kedua selepas pendidikan universiti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin berkata, perubahan landskap pekerjaan serta peningkatan permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi menjadikan TVET sebagai antara laluan pendidikan yang paling relevan dan berpotensi untuk masa depan.
Menurut beliau, setiap pelajar mempunyai minat, bakat dan kecenderungan yang berbeza, justeru kejayaan seseorang tidak seharusnya dinilai berdasarkan pencapaian akademik semata-mata atau kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam.
Katanya, persaingan yang semakin sengit untuk memasuki universiti awam, peningkatan kos pengajian serta keperluan industri yang semakin menjurus kepada kemahiran praktikal menyebabkan semakin ramai lepasan SPM memilih TVET sebagai laluan kerjaya yang lebih realistik dan berdaya saing.
“TVET menawarkan laluan yang lebih praktikal, realistik dan mempunyai kadar kebolehpasaran graduan yang tinggi kepada lepasan SPM,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, sistem TVET dibangunkan khusus untuk melahirkan tenaga kerja mahir menerusi pembelajaran berasaskan latihan praktikal, pendedahan kepada persekitaran industri sebenar serta pengalaman kerja yang membolehkan graduan bersedia memasuki pasaran pekerjaan sebaik sahaja tamat pengajian.
Menurut Mohd Asna, sistem TVET negara turut menyediakan laluan pendidikan yang tersusun sehingga Tahap 5 menerusi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM), sekali gus memberi peluang kepada pelajar untuk meningkatkan kelayakan dan kemahiran secara berperingkat.
Beliau berkata, graduan TVET kini semakin mendapat perhatian majikan kerana memiliki kemahiran khusus yang diperlukan oleh industri serta mampu melaksanakan tugas dengan lebih cepat tanpa memerlukan tempoh latihan tambahan yang panjang.
“Ramai majikan mencari pekerja yang mempunyai kemahiran teknikal dan pengalaman praktikal, bukan sekadar kelayakan akademik.
“Keadaan ini memberi kelebihan kepada graduan TVET untuk memperoleh pekerjaan dalam tempoh yang lebih cepat,” katanya.
Tambah beliau, perkembangan teknologi dan transformasi digital turut membuka peluang kerjaya baharu yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi, sekali gus meningkatkan nilai graduan TVET dalam pasaran pekerjaan.
Antara bidang yang kini mencatat permintaan tinggi termasuk Teknologi Kejuruteraan Penyelenggaraan Pesawat, Teknologi Kejuruteraan Penyelenggaraan Helikopter, Teknologi Kejuruteraan Penyelenggaraan Avionik, Kecerdasan Buatan (AI), Kenderaan Elektrik (EV) dan Keselamatan Siber.
Mohd Asna berkata, bidang-bidang terbabit menawarkan prospek kerjaya yang luas serta pendapatan yang kompetitif, sejajar dengan keperluan industri yang semakin berkembang dan memerlukan tenaga kerja mahir dalam pelbagai sektor strategik negara.
Beliau berharap lebih ramai lepasan SPM dan ibu bapa membuka minda terhadap potensi TVET sebagai laluan pendidikan yang mampu menjamin masa depan, selain memainkan peranan penting dalam menyokong agenda pembangunan ekonomi serta keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi negara.

