29 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 28, 2026

UMNO Batu agih 600 paket daging korban kepada penduduk Parlimen Batu

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Batu terus memperkukuh hubungan bersama masyarakat setempat apabila berjaya melaksanakan program ibadah korban Aidiladha menerusi penyembelihan enam ekor lembu yang memberi manfaat kepada lebih 600 penerima di sekitar Parlimen Batu.

Program korban yang berlangsung meriah itu menyaksikan peningkatan jumlah haiwan korban berbanding tahun lalu yang hanya membabitkan empat ekor lembu, sekali gus membolehkan lebih banyak paket daging korban diagihkan kepada penduduk kurang berkemampuan.

Ketua UMNO Bahagian Batu merangkap Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata, pertambahan jumlah korban tahun ini mencerminkan rezeki serta sokongan berterusan pelbagai pihak dalam membantu masyarakat setempat sempena sambutan Aidiladha.

Menurut beliau, sebanyak lebih 600 paket daging korban berjaya disediakan dan diagihkan kepada warga Parlimen Batu yang memerlukan.

“Alhamdulillah tahun ini kita korbankan enam ekor lembu. Tahun lepas hanya empat ekor dan tahun ini rezeki bertambah.

“Lebih kurang 600 lebih paket daging korban dapat diagihkan kepada warga Parlimen Batu yang kurang berkemampuan,” katanya ketika ditemui selepas program.

Beliau berkata, pendekatan pengagihan pada tahun ini turut dilakukan secara lebih terbuka dan tersusun apabila UMNO Bahagian Batu memperkenalkan sistem pendaftaran menggunakan kod QR bagi memudahkan penduduk mendapatkan agihan daging korban.

Katanya, kaedah itu dilaksanakan bagi memastikan lebih ramai penduduk dalam kawasan Parlimen Batu berpeluang menerima sumbangan tanpa perlu melalui cawangan-cawangan tertentu.

“Kaedah pengagihan kali ini agak berbeza sedikit. Kami tidak melalui cawangan-cawangan, tetapi buka kepada semua penduduk dalam Parlimen Batu melalui pendaftaran QR Code.

“Alhamdulillah, respon begitu baik sekali diterima,” katanya lagi.

Program berkenaan turut mendapat sokongan padu kira-kira 200 urus setia daripada pelbagai peringkat UMNO Bahagian Batu termasuk cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri yang berganding bahu memastikan kelancaran proses penyembelihan serta pengagihan daging korban.

Sebagai tanda penghargaan kepada petugas yang bertungkus-lumus menjayakan program berkenaan, pihak penganjur turut menyediakan juadah makan malam khas buat semua sukarelawan dan urus setia yang terbabit.

Dalam pada itu, Gulam turut melahirkan rasa terharu terhadap sambutan luar biasa penduduk setempat yang hadir lebih awal bagi mendapatkan agihan daging korban.

Menurut beliau, orang ramai mula beratur panjang seawal jam 4 petang walaupun edaran asal dijadualkan bermula sekitar jam 5 petang.

“Saya begitu terharu kerana sambutan kali ini sangat baik. Saya jangkakan jam 5 petang baru buat edaran, tetapi jam 4 lebih orang ramai sudah beratur panjang untuk ambil sumbangan daging korban ini,” katanya.

Beliau berkata, pengagihan dilakukan berdasarkan konsep siapa cepat dia dapat memandangkan jumlah paket yang disediakan adalah terhad.

Ketika program sedang berlangsung, sebahagian besar daripada lebih 600 paket yang disediakan telah berjaya diagihkan kepada penerima.

Dalam masa sama, Gulam turut memohon maaf kepada mana-mana penduduk yang tidak sempat menerima sumbangan daging korban pada kali ini berikutan sambutan yang amat menggalakkan.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan UMNO Bahagian Batu akan menambah baik pelaksanaan program korban pada tahun hadapan termasuk meningkatkan jumlah sumbangan bagi memberi manfaat kepada lebih ramai penduduk di kawasan Parlimen Batu.

“Kalau ada yang tidak dapat, saya mohon maaf. Insya-Allah tahun depan kita akan memperbaiki dan menambah sumbangan daging korban kepada penduduk-penduduk dalam Parlimen Batu,” katanya.

Program korban itu sekali lagi membuktikan komitmen berterusan UMNO Bahagian Batu dalam menyemarakkan semangat kebersamaan, memperkukuh hubungan komuniti serta membantu golongan memerlukan sempena sambutan Aidiladha.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular