34 C
Kuala Lumpur
Monday, May 25, 2026

Cromok, Barbarik tampil tribute khas Kembara dalam ‘Black On White’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Peminat muzik rock dan metal tanah air bakal disajikan dengan sebuah persembahan luar biasa apabila dua nama besar industri muzik tempatan, Cromok dan Barbarik, bergabung menerusi konsert Black On White Cromok-Barbarik yang dijadual berlangsung pada 27 Jun ini di IdeaLive Arena.

Konsert anjuran KARL Legacy dengan kerjasama Pentas Barbarik itu dijangka menjadi antara acara muzik rock paling dinantikan tahun ini apabila menghimpunkan dua kumpulan berpengaruh dengan identiti dan pendekatan muzik yang berbeza dalam satu pentas eksklusif.

Lebih menarik, Black On White bukan sekadar menampilkan persembahan biasa, sebaliknya hadir dengan konsep penceritaan dan pengalaman konsert yang lebih menyeluruh bagi memberikan kelainan kepada penonton.

Antara tarikan utama yang bakal mencuri perhatian ialah segmen tribute khas kepada kumpulan legenda Kembara yang akan dipersembahkan dengan susunan muzik lebih segar tanpa menghilangkan keaslian melodi asal.

Gitaris Barbarik, Jobranko berkata, idea segmen tribute itu tercetus sebagai penghormatan kepada kumpulan yang banyak mempengaruhi perjalanan muzik mereka sejak usia remaja selain mahu memberikan pengalaman berbeza kepada peminat.

Menurutnya, konsert berkenaan tidak hanya tertumpu kepada persembahan lagu semata-mata, sebaliknya membawa penonton menikmati sebuah pengalaman muzik yang lebih bermakna dan bertenaga.

Tambah beliau, lagu-lagu Kembara dipilih kerana karya kumpulan itu mempunyai mesej yang kuat, dekat dengan jiwa masyarakat serta masih relevan sehingga kini walaupun ada antaranya dianggap underrated dalam industri muzik tempatan.

“Segmen tribute berkenaan turut bakal menyaksikan gabungan khas antara Barbarik dan Cromok dalam beberapa persembahan eksklusif sebagai penghormatan kepada legasi Kembara,” katanya.

Sementara itu, anggota Cromok, Karl Cromok menyifatkan tribute berkenaan sebagai perjalanan nostalgia yang diberikan nafas baharu menerusi identiti muzik moden kedua-dua kumpulan.

Menurut beliau, lagu-lagu Kembara sememangnya dekat dengan kehidupan mereka sejak zaman remaja dan sentuhan rock yang lebih moden dijangka memberikan pengalaman berbeza kepada peminat yang hadir.

Selain segmen tribute khas itu, peminat turut bakal disajikan dengan kolaborasi eksklusif antara Cromok dan Barbarik termasuk persembahan single baharu daripada kedua-dua kumpulan yang akan dipersembahkan secara langsung buat pertama kali.

Dalam pada itu, Karl berkata, konsert Black On White turut mencipta kelainan tersendiri menerusi penggunaan konsep No Noise Digital Stage yang menggunakan teknologi persembahan digital sepenuhnya.

Menurut beliau, pendekatan itui menggunakan sistem audio digital tanpa penggunaan amplifier gitar atau dram akustik di atas pentas, sekali gus membolehkan bunyi yang lebih bersih dan pengalaman audio yang lebih berkualiti kepada penonton menerusi penggunaan sistem pemantauan in-ear monitor.

Bagaimanapun, Barbarik masih mengekalkan pendekatan persembahan konvensional mengikut identiti kumpulan itu sendiri menerusi penggunaan monitor wedges dan susunan pentas yang lebih organik, namun tetap dibantu teknologi mixer digital.

Perbezaan pendekatan antara kedua-dua kumpulan itu dijangka menjadi antara keunikan utama konsert Black On White yang menghimpunkan dua karakter muzik berbeza dalam satu persembahan berskala besar.

Konsert Black On White Cromok-Barbarik menawarkan beberapa kategori tiket dengan harga bermula RM175 bagi CAT 1, RM195 (CAT 2), RM250 (CAT 3), RM350 (CAT 4), RM480 (CAT 5) dan RM998 bagi pakej VIP (CAT 6).

Tiket boleh didapati menerusi MyArteez bagi kategori CAT 1, CAT 2 dan CAT 6, manakala kategori CAT 3, CAT 4 dan CAT 5 pula dijual menerusi Fantopia.

Konsert berkenaan turut mendapat sokongan Kementerian Komunikasi menerusi MyCreative Ventures melalui Dana Kandungan Kreatif Industri Muzik dan Dana Persembahan Muzik sebagai usaha memperkasa pembangunan industri kreatif tanah air.

Karl turut merakamkan penghargaan kepada The Heritage Club dan Royale Chulan Kuala Lumpur atas kerjasama dan penyediaan venue bagi sidang media konsert berkenaan.

Sempena penganjuran konsert itu, Royale Chulan Damansara turut menawarkan pakej penginapan eksklusif kepada peminat dengan harga bermula RM238 nett termasuk sarapan pagi, baucar makanan serta perkhidmatan shuttle percuma dari hotel ke lokasi konsert.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular