editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Menjelang tayangan filem 5 Bomoh di pawagam seluruh negara bermula 4 Jun 2026, Aizu Group tampil dengan pendekatan promosi kreatif menerusi penganjuran kejohanan Pickleball 5 Bomoh yang menghimpunkan selebriti, pempengaruh media sosial serta pengamal media dalam satu acara sukan dan hiburan berkonsepkan gaya hidup moden.
Acara yang dijadual berlangsung pada 1 Jun 2026, jam 8 malam di Cave PP Club Pickleball, Jalan Ampang itu dijangka menjadi platform pertemuan santai antara dunia hiburan, media dan komuniti sukan yang semakin berkembang pesat di Malaysia, khususnya dalam kalangan generasi muda dan profesional.
Penganjuran itu turut menyaksikan penyertaan beberapa nama besar industri hiburan tanah air termasuk Datuk Amy Search, Datuk Aaron Aziz, Datuk Afdlin Shauki, Johan, Ozlynn Wati, Scha Al Yahya dan Ungku Hariz.
Acara itu turut mencuri perhatian apabila bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, yang juga membuat kemunculan khas dalam filem 5 Bomoh, dijangka hadir memeriahkan kejohanan berkenaan.
Selain selebriti, kejohanan berkenaan turut disertai pempengaruh media sosial serta pengamal media dari pelbagai platform, dengan sasaran penyertaan sebanyak 40 pasukan yang akan bertanding dalam kategori beregu campuran.
Menurut Datuk Aizuddin Ghazali, penganjuran Pickleball 5 Bomoh bukan sekadar acara sukan, sebaliknya menjadi platform untuk merapatkan hubungan antara selebriti, media dan masyarakat dalam suasana lebih santai dan positif.
“Penganjuran Pickleball 5 Bomoh ini bukan sekadar pertandingan sukan, tetapi platform untuk merapatkan hubungan antara selebriti, pempengaruh media sosial dan rakan media dalam suasana yang positif serta lebih santai.
“Pada masa sama, ia membawa mesej penting tentang gaya hidup sihat, kerjasama, toleransi serta semangat kebersamaan yang boleh diterapkan kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan berasaskan sukan dan hiburan itu juga mencerminkan evolusi strategi pemasaran industri filem yang kini lebih interaktif serta dekat dengan gaya hidup masyarakat, selaras dengan perubahan trend digital dan media sosial.
Fenomena pickleball yang semakin popular di peringkat global turut menjadi faktor utama pemilihan sukan terbabit sebagai medium acara, memandangkan ia bersifat inklusif, mudah dipelajari dan sesuai disertai pelbagai peringkat umur serta latar belakang.
Pertandingan itu akan dijalankan secara peringkat kumpulan sebelum diteruskan ke pusingan kalah mati bagi menentukan juara kejohanan, sekali gus menambah elemen kompetitif dalam suasana santai dan mesra industri hiburan.
Dalam pada itu, filem 5 Bomoh yang diterbitkan oleh Global Station Sdn Bhd, Skop Productions Sdn Bhd dan Aizu Group menampilkan genre satira komedi kekeluargaan yang menyentuh isu sosial berkaitan kepercayaan karut dan penipuan moden dalam masyarakat.
Filem berkenaan mengangkat realiti semasa mengenai individu yang menyalahgunakan kepercayaan orang ramai dengan menyamar sebagai bomoh atau dukun untuk memperdaya mangsa, namun disampaikan dalam bentuk komedi sinis yang sarat dengan mesej dan pengajaran.
Orang ramai dijemput hadir memeriahkan acara serta memberikan sokongan kepada barisan selebriti, pempengaruh dan pengamal media yang bakal beraksi dalam kejohanan Pickleball 5 Bomoh menjelang tayangan rasmi filem itu di seluruh negara pada 4 Jun 2026.

