32.7 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 19, 2026

Festival Sukan Air Kuantan 2026 tarik 10,000 pengunjung ke Teluk Cempedak

editormaxinfo@gmail.com

KUANTAN – Pantai Teluk Cempedak terus menjadi tumpuan pelancong dan pengunjung apabila lebih 10,000 orang membanjiri lokasi peranginan terkenal itu sempena Festival Sukan Air Kuantan 2026 yang berlangsung selama tiga hari.

Penganjuran festival berkenaan bukan sahaja berjaya menghidupkan suasana pelancongan di Kuantan, malah menjadi antara platform penting dalam menyemarakkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang digerakkan oleh Tourism Malaysia di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Sepanjang festival berlangsung, pengunjung disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik dan menghiburkan yang sesuai untuk seisi keluarga.

Antara tarikan utama ialah persembahan aksi bola sepak gaya bebas oleh Zuhairi Free Styler yang memukau penonton menerusi pelbagai teknik kawalan bola kreatif dan aksi akrobatik.

Lebih menarik, pengunjung turut diberi peluang untuk mencuba sendiri kemahiran bersama atlet gaya bebas itu yang kini berada dalam kelompok lima terbaik ASEAN serta pernah memenangi beberapa gelaran kebangsaan.

Festival terbabit turut dimeriahkan dengan pelbagai acara sukan dan rekreasi pantai termasuk pertandingan bola sepak pantai, sukaneka air, boling pantai buah kelapa dan aktiviti sauk ikan yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung tempatan serta pelancong luar.

Suasana di sekitar Pantai Teluk Cempedak juga dipenuhi dengan kehadiran keluarga yang mengambil peluang untuk bersantai sambil menikmati pelbagai pilihan makanan dan minuman di gerai jualan yang disediakan sepanjang festival berlangsung.

Tambah mencuri perhatian ialah kehadiran bekas bintang bola sepak Malaysia dan Pahang, Ahmad Shahrudin Rosdi, Azamudin Akil dan Juzaili Samion yang turut memeriahkan program berkenaan.

Selain meluangkan masa bertemu dan bergambar bersama peminat, mereka turut menyampaikan hadiah kepada pemenang acara bola sepak pantai yang dianjurkan sempena festival berkenaan.

Pengarah acara, Jazri Danish berkata, penglibatan bekas pemain bola sepak terkenal itu berjaya menambah kemeriahan program sekali gus menarik lebih ramai pengunjung hadir ke Pantai Teluk Cempedak.

Menurut beliau, festival berkenaan dianjurkan sebagai usaha memperkukuhkan industri pelancongan domestik serta mempromosikan Kuantan sebagai antara destinasi pelancongan pantai dan rekreasi utama di negara ini menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Beliau berharap penganjuran program seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan bagi membantu merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi setempat selain memperkenalkan lebih banyak aktiviti pelancongan berasaskan komuniti kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular