32.8 C
Kuala Lumpur
Monday, May 18, 2026

Festival Rasa Sambal Perpaduan 2026 angkat warisan kuliner Malaysia ke pentas dunia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Festival Rasa Sambal Perpaduan terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai antara platform utama dalam memartabatkan warisan kuliner Malaysia apabila penganjuran edisi ke-10 festival itu berlangsung dalam skala lebih besar dengan menampilkan kira-kira 20 jenis sambal tradisional dan moden yang mencerminkan identiti masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Festival yang berlangsung di Muzium Negara sempena Sambutan Minggu Perpaduan Zon Tengah 2026 dari 15 sehingga 17 Mei itu turut mendapat sokongan pelbagai agensi termasuk Kementerian Perpaduan Negara.

Ia sekali gus memperlihatkan komitmen berterusan dalam memperkukuh perpaduan rakyat menerusi warisan makanan tradisional negara.

Pengerusi Persatuan Seni Warisan Artistik Digital Malaysia merangkap penganjur Festival Rasa Sambal Perpaduan, Azmi Jaffri berkata, festival berkenaan bukan sekadar acara makanan semata-mata, sebaliknya menjadi platform budaya yang menyatukan masyarakat pelbagai bangsa melalui warisan masakan yang dikongsi bersama sejak turun-temurun.

Menurut beliau, sambal dipilih sebagai fokus utama festival tahun ini kerana ia bukan sahaja melambangkan identiti rasa rakyat Malaysia, malah menjadi simbol penyatuan budaya dalam kehidupan masyarakat majmuk negara ini.

“Festival ini bukan hanya acara makanan, tetapi platform budaya yang menyatukan komuniti pelbagai bangsa melalui warisan masakan yang dikongsi bersama,” katanya pada festival berkenaan di Istana 1, Muzium Negara.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang yang menandatangani poster Festival Sambal sebaik tiba di pekarangan Muzium Negara bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Minggu Perpaduan Zon Tengah 2026 serta Program Bermalam di Muzium Bersama Belia di Dataran Muzium Negara.

Azmi berkata, sambal kini bukan lagi sekadar pelengkap hidangan, malah sudah menjadi elemen penting dalam budaya pemakanan rakyat Malaysia sehingga sering menjadi perkara pertama ditanyakan pelanggan ketika mengunjungi restoran atau gerai makanan.

“Orang datang ke gerai, mereka bukan tanya lauk lain dahulu, mereka tanya ada sambal atau tidak.

“Sebab itu kita perlu inovasikan sambal supaya terus hidup dan berkembang,” katanya.

Festival berkenaan turut mencuri perhatian pengunjung apabila membuka penyertaan antarabangsa menerusi pengenalan sambal dari Indonesia, sekali gus memperlihatkan persamaan budaya makanan serantau yang kaya dengan cita rasa pedas dan tradisional.

Dalam masa sama, penyertaan komuniti Sabah menyerlah menerusi hidangan unik seperti sambal perahu, buah bambangan dan pelbagai sajian etnik Borneo yang memperkayakan lagi kepelbagaian warisan kuliner dipamerkan sepanjang festival berlangsung.

Pelbagai jenis sambal tradisi yang diwarisi turun-temurun oleh komuniti tempatan turut diketengahkan, menjadikan Festival Rasa Sambal Perpaduan sebagai himpunan besar warisan rasa yang merentas latar budaya dan kaum di Malaysia.

Azmi turut menyuarakan keyakinan bahawa festival itu mempunyai potensi besar untuk diketengahkan sebagai produk pelancongan budaya negara yang mampu menarik lebih ramai pelancong tempatan dan antarabangsa pada masa akan datang.

Malah, pihaknya telah menerima tawaran untuk membawa Festival Sambal ke London pada tahun hadapan sebagai usaha memperkenalkan sambal Malaysia ke peringkat global.

“Saya telah menerima tawaran untuk membawa Festival Sambal ke London pada tahun hadapan.

“Ini satu pengiktirafan yang mampu mengangkat sambal sebagai ikon kuliner Malaysia di pentas dunia,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai pelbagai jenis sambal warisan yang masih belum diketengahkan sepenuhnya termasuk sambal biji getah yang mempunyai nilai budaya tinggi meskipun proses penyediaannya lebih mencabar.

“Apabila kita menggabungkan kreativiti dan warisan, kita boleh menjadikan sambal sebagai produk yang dibanggakan negara,” katanya.

Sementara itu, kehadiran cef selebriti, Dr Liza Zainol turut menambah kemeriahan festival apabila beliau tampil mempromosikan makanan warisan tempatan kepada pengunjung.

Menurut Dr Liza, industri sambal tempatan mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai produk komersial sekiranya wujud kerjasama lebih erat antara usahawan makanan dan pakar kulinari dalam memperkenalkan inovasi baharu kepada pasaran.

Beliau berkata, masih banyak resipi warisan daripada pelbagai etnik dan komuniti di Malaysia yang belum diteroka sepenuhnya dan berpotensi diketengahkan sebagai produk unik negara.

“Kita perlu melihat sambal bukan sekadar makanan tradisional, tetapi sebagai produk inovatif yang boleh dikomersialkan.

“Kerjasama antara cef dan usahawan sangat penting untuk membawa sambal Malaysia ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Dr Liza turut menyokong pembangunan produk sambal moden seperti pek segera atau ‘sambal pouch’ yang lebih praktikal, mudah dipasarkan dan sesuai dengan gaya hidup masyarakat masa kini.

Selain itu, beliau turut memperkenalkan beberapa inovasi menu termasuk sambal paru goreng garing yang digabungkan bersama telur itik dan nasi goreng sebagai hidangan kombo lengkap kepada pengunjung festival.

Selain pameran dan jualan produk makanan, festival itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti interaktif termasuk pertandingan makan sambal dan pertandingan inovasi sambal yang memberi peluang kepada peserta menghasilkan variasi kreatif berasaskan bahan tempatan.

Hadiah wang tunai bernilai RM250, RM150 dan RM100 turut ditawarkan mengikut kategori pertandingan sekali gus menambahkan keterujaan pengunjung yang hadir untuk mencabar tahap kepedasan masing-masing dalam suasana santai dan meriah.

Festival Rasa Sambal Perpaduan 2026 dilihat sebagai platform penting dalam memperkukuh perpaduan rakyat menerusi makanan tradisional, selain memainkan peranan besar dalam mengangkat sambal sebagai simbol identiti kuliner Malaysia yang semakin mendapat perhatian dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular