editormaxinfo@gmail.com
PETALING JAYA – Dua syarikat Malaysia yang tersenarai di pasaran antarabangsa menjalinkan kerjasama strategik bagi meneroka pasaran kesihatan global menerusi pembangunan teknologi kolagen nano biri-biri dari Australia yang dijangka memberi impak besar kepada industri anti-penuaan, kesejahteraan dan perubatan moden dunia.
Kerjasama berprofil tinggi itu membabitkan Holista Colltech Limited yang disenaraikan di Bursa Sekuriti Australia (ASX) dan Swang Chai Chuan Limited yang tersenarai di Bursa Saham Hong Kong (HKEX) melalui penubuhan syarikat usaha sama dikenali sebagai Ovicoll Pty Ltd.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Holista Colltech, Leong Man Loong berkata, kerjasama strategik itu membuka peluang besar dalam sektor kesihatan global selain memperkukuhkan kedudukan teknologi berasaskan sains yang dibangunkan syarikat berkenaan.
Menurut beliau, Holista yang berpangkalan di Perth, Australia dan mempunyai operasi signifikan di Malaysia kini menjadi satu-satunya syarikat di dunia yang memiliki keupayaan mengekstrak kolagen daripada kulit biri-biri menerusi proses khusus yang sedang dalam permohonan paten.
Katanya, kolagen nano biri-biri itu mempunyai kelebihan tersendiri kerana diperoleh daripada biri-biri Australia yang bebas penyakit, sekali gus menawarkan tahap keselamatan dan ketulenan yang tinggi untuk pasaran antarabangsa.

“Kolagen nano biri-biri ini juga lebih mudah diterima secara universal kerana sifatnya yang neutral daripada sudut budaya dan agama berbanding sumber kolagen konvensional lain,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Holista Colltech dan Swang Chai Chuan.
Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Swang Chai Chuan Limited, Soon See Beng yang mewakili syarikat terbabit dalam kerjasama strategik berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Leong berkata, pembangunan kemudahan pengeluaran di Collie, Australia Barat bakal menjadi hab utama pengeluaran kolagen nano biri-biri bagi memenuhi peningkatan permintaan global terhadap produk kesihatan dan kesejahteraan premium.
Menurutnya, fasiliti berkenaan dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang penghujung tahun ini dan bakal memainkan peranan penting dalam memperluaskan pasaran antarabangsa melalui teknologi nano serta sistem penghantaran bahan aktif yang lebih efektif.

Beliau berkata, Holista turut memeterai perjanjian global bersama Regenerex Pharma dalam bidang penjagaan luka, sekali gus memperkukuhkan potensi teknologi kolagen syarikat itu dalam sektor perubatan moden.
Tambahnya, kerjasama strategik antara Holista Colltech dan Swang Chai Chuan turut menggabungkan kepakaran inovasi saintifik Holista dengan kekuatan rangkaian pengedaran serta modal dimiliki Swang Chai Chuan bagi mempercepat penembusan pasaran global.
“Ini bukan sekadar kerjasama perniagaan, tetapi satu langkah memperkenalkan inovasi yang lahir dari Malaysia ke pentas antarabangsa,” katanya.

