27.9 C
Kuala Lumpur
Monday, April 20, 2026

Dasar inklusif berasaskan suara rakyat kunci keharmonian nasional

editormaxinfo@gmail.com

SEPANG – Usaha merangka dasar yang tegas dan berkesan perlu dilaksanakan secara inklusif dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak, khususnya apabila membabitkan isu sensitif seperti agama, budaya dan keselamatan awam, demi memastikan keharmonian nasional terus terpelihara.

Pengerusi Teras Sosial Musyawarah Nasional, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, pendekatan konsultatif yang membabitkan pakar, badan bukan kerajaan, wakil masyarakat serta agensi berkaitan adalah elemen penting dalam proses penggubalan dasar yang mampan dan diterima secara meluas oleh rakyat.

Menurut beliau, sebarang usaha menggubal dasar tanpa mengambil kira pandangan kolektif, sebaliknya hanya berpaksikan suara minoriti atau pandangan terpencil, merupakan langkah berisiko tinggi yang boleh menjejaskan kestabilan sosial negara.

“Pendekatan eksklusif dalam pembentukan dasar berpotensi menimbulkan rasa terpinggir dalam kalangan masyarakat serta menghakis kepercayaan rakyat terhadap sistem perundangan sedia ada.

“Setiap dasar yang dirangka perlu mengambil kira realiti masyarakat majmuk di Malaysia dan tidak seharusnya digubal berdasarkan pandangan individu semata-mata,” katanya.

Dalam konteks itu, beliau turut menyentuh cadangan untuk tidak mengenakan hukuman berat terhadap kesalahan tertentu seperti pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah, yang menurutnya tidak boleh dipandang ringan kerana mempunyai implikasi besar terhadap struktur sosial dan keharmonian negara.

Mohammad Shatar berkata, dalam sebuah masyarakat berbilang kaum dan agama, setiap kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berautoriti berupaya mempengaruhi persepsi awam serta mencetuskan reaksi berantai dalam kalangan rakyat.

Walaupun statistik kemalangan jalan raya yang membabitkan pemandu di bawah pengaruh alkohol mungkin tidak tinggi, isu terbabit tetap membimbangkan kerana polemik yang timbul mampu menggugat keharmonian masyarakat.

Katanya, lebih membimbangkan, terdapat insiden tragis yang membabitkan kehilangan nyawa individu tidak bersalah yang menjadi mangsa kepada kecuaian pihak lain, sekali gus menimbulkan persoalan serius terhadap tahap keselamatan awam.

Dalam masa sama, majoriti rakyat Malaysia yang beragama Islam jelas menolak pengambilan alkohol sebagai sebahagian daripada sistem nilai mereka.

“Walaupun kebebasan individu perlu dihormati, saya berpandangan bahawa batasan wajar dikenakan apabila membabitkan aspek keselamatan dan kesejahteraan awam.

“Ingin saya tekankan kesalahan seperti pemanduan dalam keadaan mabuk atau khayal tidak boleh dipandang ringan kerana ia membabitkan risiko besar terhadap nyawa orang awam yang tidak bersalah,” katanya.

Katanya lagi, hukuman ringan hanya akan membuka ruang kepada pengulangan kesalahan dan gagal memberi kesan pencegahan yang efektif.

“Undang-undang yang tegas adalah manifestasi keadilan dalam melindungi kepentingan majoriti rakyat.

“Suara kolektif rakyat mesti dijadikan asas dalam setiap penggubalan dasar kerana di situlah terletaknya kekuatan sebenar Malaysia untuk mengekalkan keharmonian nasional,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular