32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, May 29, 2026

Akademi Sepaktakraw Malaysia dilancar, lonjak pembangunan bakat & prestasi sukan negara

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sukan tradisi negara terus melakar sejarah tersendiri apabila Akademi Sepaktakraw Malaysia secara rasmi dilancarkan, menandakan satu langkah besar dalam memperkukuh pembangunan bakat serta ekosistem sukan sepak takraw di peringkat nasional dan antarabangsa.

Pelancaran akademi sulung seumpamanya itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa sukan warisan yang telah lama menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.

Penubuhan Akademi Sepaktakraw Malaysia dilihat sebagai inisiatif strategik yang akan menjadi pusat utama latihan, pembangunan dan persediaan atlet berprestasi tinggi.

Ia bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan bakat dari peringkat akar umbi hingga ke elit, malah menyediakan laluan yang lebih tersusun dan mampan bagi memastikan kesinambungan kecemerlangan sukan ini.

Dibangunkan di bawah seliaan Persekutuan Sepaktakraw Malaysia, akademi ini turut berperanan melengkapi inisiatif sedia ada dengan memperkukuh saluran pembangunan bakat secara lebih bersepadu.

Usaha ini dijangka mampu meningkatkan daya saing Malaysia dalam arena sepak takraw serantau dan global.

Presiden PSM, Dato’ Mohd Sumali Reduan berkata, sepak takraw adalah sebahagian daripada identiti negara yang terus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Menurut beliau, penubuhan akademi ini membuka ruang kepada pembangunan bakat yang lebih sistematik, selain memastikan atlet menerima sokongan, kemudahan dan pendedahan terbaik untuk mencapai kejayaan.

Dalam masa sama, pelancaran ini turut menyaksikan Telekom Malaysia diumumkan sebagai Rakan Teknologi Rasmi dan Penyedia Ketersambungan Eksklusif akademi berkenaan.

Melalui peranan itu, TM menyediakan capaian jalur lebar berkelajuan tinggi bagi menyokong operasi harian, latihan atlet serta keperluan siaran perlawanan secara langsung.

Selain itu, TM menerusi perkhidmatan Unifi TV turut menawarkan kemudahan hiburan televisyen premium di fasiliti penginapan akademi, sekali gus meningkatkan pengalaman atlet sepanjang menjalani latihan dan program pembangunan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris menyifatkan kerjasama ini sebagai satu manifestasi komitmen syarikat dalam menyokong pembangunan sukan negara, selaras dengan aspirasi untuk memperkasa komuniti serta melahirkan bakat masa hadapan.

Beliau berkata, sokongan berterusan terhadap sepak takraw adalah sebahagian daripada usaha memperkukuh kedudukan Malaysia di pentas global.

Kerjasama antara PSM dan TM yang dimeterai sejak Mei 2025 merangkumi sokongan kepada pasukan sepak takraw lelaki dan wanita kebangsaan dalam pelbagai kejohanan utama termasuk ASTAF Asian Cup, Sukan SEA, Sukan Asia dan ISTAF World Cup.

Inisiatif ini turut membabitkan pembangunan bakat menerusi program seperti National Sepak Takraw Development Programme (NSTDP) dan Kursus Latihan Asas Sukan (KLAS).

Penubuhan Akademi Sepaktakraw Malaysia bukan sahaja memperkukuh landskap pembangunan sukan negara, malah menjadi pemangkin kepada usaha melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi.

Dalam masa yang sama, ia mengangkat kembali martabat sepak takraw sebagai simbol perpaduan, kebanggaan dan aspirasi generasi masa depan Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular